Jumaat, 23 Disember 2016

Linggi: Ada Tarikan Tersendiri

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...


Sukasuki travel ke Linggi, Negeri Sembilan memberikan satu pengalaman yang anda sendiri tidak akan lupakannya. Pasti ramai yang tidak tahu di sebalik Pekan kecil Linggi ini, ada tersirat keunikan yang boleh dilawati di situ. 


Sebuah pekan kecil yang kalau kita lalu seperti tidak punyai apa-apa menarik di situ. Tiada arus pemodenan seperti Shopping Complex yang besar, restoran-restoran mewah dan bangunan yang tinggi. Namun di sebalik pekan kecil Linggi ini, anda akan dapat nikmati satu pengalaman yang sangat menarik ketika di situ.


Sekolah Kebangsaan Linggi adalah sekolah Melayu pertama yang bertapak di Negeri Sembilan. Sekolah ini diasaskan oleh Lebai Abbas iaitu anak murid kepada Dato Syeikh Jamaluddin Al Linggi pada tahun 1887. 


Rumah lama beratap Minangkabau masih kekal di sini. Persekitaran kampung yang nyaman dan tenang memberikan anda jauh dari kesibukan di bandar. Bangun pagi, terasa dingin air di kolah, membuatkan anda segar dan sihat sepanjang hari.


Muzium Replika Astana Raja Melewar ini bertempat menuju ke arah Rembau. Bagi pencinta sejarah, ini adalah satu bonus kepada anda untuk merasai pengalaman dan mengumpul banyak informasi di sana. Secara amnya, Astana Raja Melewar adalah replika istana Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan pertama yang memerintah pada 1773 dan ia juga dibina di tapak asal istana baginda serta menyerupai bentuk asalnya.


Sungai Linggi yang kelihatan keruh seperti tiada tarikan istimewa di situ. Terdapat banyak misteri yang pernah terjadi di sini. Ia hanya lagenda lama. "Kita jangan usik-usik. Kita buat hal masing-masing. Insya-Allah kita akan selamat sehingga ke anak cucu," begitulah kononnya bunyi perjanjian itu dan ia mungkin benar kerana belum ada terdengar serangan buaya ke atas manusia sehingga sekarang di Sungai Linggi seperti mana yang terjadi di sungai-sungai di negeri Sarawak. LeYa tidak dapat memastikan kesahihannya. Namun di sebalik lagenda lama itu, Sungai Linggi merupakan kawasan tadahan air kawasan berdekatan Negeri Sembilan seperti Seremban dan Port Dickson. 

Sungai Linggi Cruise merupakan satu tarikan kepada anda untuk menyusuri hutan paya bakau yang terdapat di situ. Melihat keindahan ciptaan Allah di samping merasai kedamaian bersama keluarga.

Bukan sekadar buaya, bangau dan kelip-kelip sahaja yang menjadi tarikan Sungai Linggi ini kerana yang sebenarnya sungai ini kaya dengan sejarah.

Jika menyusuri sungai, pengunjung akan melihat kawasan Tebing Tinggi iaitu satu kawasan berbatu yang menjadi tempat Raja Melewar iaitu moyang kepada raja-raja di Negeri Sembilan hari ini menjalankan hukuman ke atas rakyatnya yang menderhaka.

Menurut cerita orang kampung, dahulu ada kubur di kawasan itu tetapi proses hakisan menyebabkan kubur yang dipercayai mereka yang telah dihukum bunuh itu terbenam ke dalam air sungai.

Pengunjung juga akan melihat satu tapak yang sebenarnya adalah bangunan mengutip cukai. Pada zaman dahulu kala, cukai-cukai ini dikenakan ke atas perahu atau kapal yang membawa barang dagangan ke Pengkalan Kempas.

Mengikut sejarah, Sungai Linggi adalah jalan pengangkutan yang sangat penting dan di beberapa kawasan di sungai itu terutama di kawasan Sungai Rembau dan Sungai Pedas ada dididirikan kubu pertahanan ketika berlaku peperangan dengan Inggeris satu masa dahulu.




Tiada hospital besar di situ. Hanya Klinik Kesihatan dan klinik swasta, Klinik Dr Azmi menjadi tempat rawatan penduduk-penduduk sekitar kawasan Linggi. Namun begitu, mereka bersyukur dan merasa tenang duduk di sana dengan tiada hiruk pikuk seperti di Bandar.

Siapa kata mereka tidak boleh bangkit dari arus pembangunan Internet yang semakin berleluasa kini. Pusat Internet 1Malaysia telah dibangunkan di kawasan berdekatan yang terletak di Kampung Pengkalan Durian, Linggi. Alhamdulillah, penduduk kampung dapat juga melihat dunia luar melalui perkembangan Internet, jalur lebar tanpa sempadan di sini.

Tidak cukup jika LeYa nak ceritakan pengalaman ketika menyusuri kawasan Pekan Linggi, Negeri Sembilan di sini. Walaupun ia adalah sebuah tempat yang kecil, namun di sebaliknya terdapat tempat menarik yang boleh kita kunjungi di situ. Ini membuktikan masih banyak lagi kawasan di Malaysia ini yang belum kita pelopori. 

2 ulasan:

  1. Sekali skala back no nature ke tmpt2 mcm ni lbh mnenangkn fikiran kan =)

    BalasPadam
  2. Wah best kalau boleh menikmati pemandangan disekitar sungai tu...

    BalasPadam

Untuk sebarang pertanyaan, pengiklanan, tajaan, kolobarasi dan jemputan boleh hubungi LeYa melalui email anagurlz87@gmail.com