Jumaat, 3 Ogos 2018

Segeralah Bertaubat Jika Berburuk Sangka

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...

Semua orang pasti tahu akan natijahnya berburuk sangka pada orang. Buruk sangka dan suka mencari salah orang lain adalah satu perbuatan yang sangat dimurkai Allah S.W.T. Sifat buruk sangka ini boleh membawa kepada perpecahan ummah. 


Buruk sangka adalah satu sifat mazmumah manakala mencari kesalahan orang lain pula hadir apabila wujudnya prasangka buruk dalam hati. Ustaz Muhammad Abdullah al-Amin ada berkata, jauhilah prasangka buruk ini kerana ia adalah satu tindakan yang mengundang dosa. 

"Apabila timbul buruk sangka, sudah tentu akan ada rasa untuk mencari kesalahan sehingga terbuka kesalahan, aib atau kelemahan seseorang itu."

Firman Allah SWT yang bermaksud, "Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah sesetengah dari kamu mengumpat sesetengahnya. Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan berkenaan) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima Taubat lagi Maha Mengasihani." (Surah al-Hujurat, ayat 12)

Prasangka Buruk Kerana Iri Hati

Allah SWT mengingatkan juga, sebahagian dari prasangka itu perbuatan dosa kerana ia timbul daripada rasa iri hati atau dengki terhadap seseorang. Ia juga menyebabkan timbul tuduhan tidak berasas kerana orang lain turut melakukan perbuatan serupa yang menambahkan prasangka sedia ada.

Teknologi hari ini yang tiada sempadan meluaskan penyebaran maklumat turut menyumbang kepada meracuni akal manusia yang tidak tahu membuat pertimbangan antara fitnah dan hak. Oleh itu, sebagai hamba yang beriman kepada Allah SWT, kita hendaklah menjaga pertuturan atau berdiam diri.

Rasulullah SAW pernah bersabda; "Barang siapa yang beriman dan bertakwa kepada Allah SWT dan Hari Akhirat maka hendaklah ia berkata-kata yang baik atau hendaklah ia diam." (Riwayat Imam al-Bukhari)

Menurut Ustaz Muhammad, seseorang itu mudah benar terpengaruh dengan sangkaan yang dibuat oleh orang lain atas tiga sebab. Pertama, disebabkan tidak kenal orang itu. Elakkan mencari kekurangan orang lain, tetapi bergaullah dengan baik.

Seterusnya, bagi mengelakkan terpengaruh dengan segala perkhabaran yang tidak dipastikan kesahihannya, penting untuk kita sentiasa peka dan memahami situasi yang dilalui oleh individu berkenaan.

Jika diabaikan perkara sebegini, sifat buruk sangka akan sentiasa berlanjutan. Jiwa akan hancur luluh, perasaan tertekan, rumah tangga runtuh, kedamaian musnah, masyarakat menjadi porak-peranda.


Semua itu terjadi kerana buruk sangka. Islam mendesak umatnya supaya mendahulukan bersangka baik daripada cepat bersangka buruk. Hukuman tidak harus dijatuhkan hanya berdasarkan kepada sangkaan.

Selain itu, individu yang tidak mempunyai pendirian akan mudah juga terpengaruh dengan segala sangkaan negatif yang diterima daripada pihak lain. Apabila menerima maklumat atau berita negatif mengenai sesuatu berkaitan peribadi seseorang, selidik (tabayyun) terlebih dahulu.

Jangan terus mempercayai atau memberi maklum balas secara negatif. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Hai orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti supaya kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu." (Surah al-Hujurat, ayat 6)

Kesimpulannya, dalam melayari kehidupan di dunia ini, disarankan agar tidak sesekali berburuk sangka dan mudah terpengaruh dengan pihak lain yang sememangnya suka mencari kesalahan orang lain.

Sumber: Berita Harian

5 ulasan:

Untuk sebarang pertanyaan, pengiklanan, tajaan, kolobarasi dan jemputan boleh hubungi LeYa melalui email anagurlz87@gmail.com