Rabu, 13 Jun 2018

Kasih Ramadhan 2018 Bertaut Di ASWARA Bersama Golongan Kurang Upaya

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...

Dalam usaha meningkatkan kesedaran sosial dalam kalangan masyarakat hari ini terhadap komuniti cacat penglihatan, pada 18 Mei 2018 lalu, pelajar dari tahun 2 Fakulti Pengurusan Seni dan Budaya, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) telah mengambil langkah dengan menganjurkan Kasih Ramadhan 2018 "Majlis Berbuka Puasa" bersama komuniti kurang upaya dan rakan-rakan media.


Kasih Ramadhan 2018 ini merupakan aktiviti yang bukan sahaja mementingkan serta menjalankan acara berbentuk kesenian dan kebudayaan, malah mereka turut memberi kerihatinan mereka terhadap pelaksanaan tanggungjawab sosial kepada masyarakat. Dalam bulan Ramadhan yang mulia ini, para pelajar ASWARA mengambil peluang untuk rasa prihatin dan kasih sayang dalam kalangan kakitangan dan pelajar kepada golongan kurang bernasib baik yang mana terdiri daripada 33 orang pelajar jemputan daripada Gurney Training Centre (GTC).

GTC merupakan sebuah pusat latihan vokasional milik Malaysia Association for the Blind (MAB) iaitu sebuah pertubuhan sukarela utama di Malaysia yang memberikan perkhidmatan terhadap komuniti cacat penglihatan. 


Dalam majlis tersebut, pelajar jemputan telah membuat persembahan on-the-spot yang mereka hanya berlatih dalam 2 jam sahaja. Uniknya anak-anak kurang upaya ini, mereka bersih hati dan jiwa serta mendengar arahan setiap warga pendidiknya. Seramai 110 orang telah memeriahkan majlis itu termasuklah kakitangan dan VIP ASWARA, jemputan VIP dari MAB, pelajar ASWARA dan rakan-rakan media.




Apa yang menarik dalam majlis berbuka puasa kali ini, ia bukan semata-mata berbuka puasa sahaja tetapi ia lebih memberikan satu pengalaman baru kepada pelajar GTC dengan menjalankan aktiviti bengkel muzik wayang kulit Kelantan bagi memberi pendedahan terhadap alatan muzik tradisional. Kemudian, mereka juga melaksanakan persembahan menarik di atas pentas.



Selain itu, turut diadakan juga aktiviti 'ice breaking' dan 'games session' antara pelajar ASWARA dan pelajar GTC di sebelah petang. Ketika semua tetamu menjamu selera setelah selesai solat Maghrib berjemaah, pelajar GTC diberi penghormatan untuk menjalankan persembahannya di atas pentas. Aktiviti diteruskan lagi dengan solat Isyak dan solat Terawih serta tazkirah ringkas dan diakhiri dengan jamuan moreh.




Syukur atas kehadrat Ilahi, majlis berjaya dilaksanakan dengan sempurna. Semoga pada masa-masa akan datang, kesedaran sosial seperti ini tidak diluputkan malah ditambah lagi demi saham kita di akhirat. InsyaAllah.

Maklumat lanjut mengenai program komuniti ini, boleh hubungi seperti yang tertera:

Iffah Nadhilah
Pengurus Publisiti Kasih Ramadhan 2018
Tel.: 011 - 3988 0353

0 beri komen di sini:

Catat Ulasan

Untuk sebarang pertanyaan, pengiklanan, tajaan, kolobarasi dan jemputan boleh hubungi LeYa melalui email anagurlz87@gmail.com