Khamis, 26 Januari 2023

Siri Animasi 3D 'Nabi Musa a.s Kalimullah The Journey of Humankind' Ditayangkan di Nurflix

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera...

Menjelang Ramadan, kita akan dipertontonkan dengan satu siri animasi 3D istimewa menerusi platform penstriman Nurflix bermula 27 Januari 2023 ini. LeYa juga telah berkesempatan turut serta dalam Majlis Pelancaran The Journey of Humankind anjuran Nurflix Productions Sdn Bhd ini di Pawagam Mini P Ramlee, Finas, Ampang. The Journey of Humankind akan memaparkan secara menyeluruh kisah ketamadunan manusia sejak bermulanya penciptaan Nabi Adam a.s berdasarkan rujukan Al Quran, Hadith dan sumber-sumber Islam yang sahih.

Sejak pelancaran inisiatif Nurflix pada Julai 2020, Nurflix kekal komited dan terus mencapai visi penubuhannya untuk menjadi pusat kepada kandungan ilmu Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah dan hiburan sopan yang boleh dicapai dari seluruh dunia. Oleh itu, Nurflix memulakan pembangunan katalog penerbitan filem dari siri animasi 3D menggunakan teknologi Unreal Engine dan Virtual Actor

Siri Animasi Nabi Musa a.s Kalimullah Edisi Bahasa Melayu

Inisiatif pertama dalam penerbitan kisah-kisah 25 Rasul berdasarkan rujukan utama Kitab Qisas Al Anbiya' karya Ibnu Katsir. Siri animasi 'Nabi Musa a.s Kalimullah The Journey of Humandkind' karya penerbit dari Mesir ini mendapat sentuhan istimewa alih suara dari artis tempatan, antaranya Irma Hasmie dan Heliza Helmi.

Menurut CEO Nurflix, Syah Mohamed, "Kisah-kisah ini disampaikan daripada Allah SWT kepada Rasulullah SAW telah ditafsir oleh ulama sejak ribuan tahun dahulu, jadinya kami memfokuskan penyampaian kepada generasi hari ini menerusi pendekatan terkini." Penerbitan animasi ini adalah satu langkah besar untuk menguasai teknologi penerbitan virtual (virtual production) bagi membuka ruang penerokaan teknologi dan kepakaran baru kepada bakat tempatan untuk menghasilkan karya bertaraf dunia.

 

Sebanyak 13 episod untuk musim pertama diterbitkan dalam Bahasa Melayu agar dapat memenuhi kehendak pasaran di Malaysia. Ini akan dapat memberikan kefahaman jalan cerita yang jelas serta sesuai untuk ditonton oleh semua peringkat umur.

Istimewanya siri animasi ini menampilkan Rawi Al Hakim, watak pelakon maya (virtual actor) selaku penyampai cerita dan pengembara (lakon suara oleh Alwi Mustafa) yang dicipta untuk menyampaikan kisah-kisah dari dalah kitab Qisas Al Anbiya.

Selain itu, para penonton juga berpeluang untuk memenangi pelbagai hadiah menarik dengan menjawab soalan kuiz setiap minggu tayangan animasi 'Nabi Musa a.s Kalimullah'.

Tiga penonton bertuah yang berjaya menjawab kuiz di kesemua episod akan menerima hadiah utama pakej umrah. Manakala pemenang kuiz mingguan akan menerima hadiah seperti mini goldbar tajaan KABGold Sdn Bhd dan Al Quran edisi Al Ghufran tajaan Telaga Biru Sdn Bhd serta set buku Kembara Mahsyar tajaan Mahsyar Group.

Turut hadir dalam majlis pelancaran, barisan pelakon suara Irma Hasmie, Hazwani Helmi, Heliza Helmi, Dai' Syed Iqmal, Hana Ismail dan Ustazah Asni Mansor.


So korang, jangan lupa saksikan Siri Animasi 3D 'Nabi Musa a.s Kalimullah The Journey of Humankind' di platform penstriman Nurflix bermula 27 Januari 2023 ini. Jangan tak tonton tau!

0 beri komen di sini:

Catat Ulasan

Untuk sebarang pertanyaan, pengiklanan, tajaan, kolobarasi dan jemputan boleh hubungi LeYa melalui email anagurlz87@gmail.com