Isnin, 23 Ogos 2021

Betul Ke Sayur Bendi Boleh Bantu Kawal Paras Gula Darah Bagi Pesakit Diabetes?

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera...

Sumber gambar dari HelloDoktor.com

Tahukah anda bahawa kacang bendi mempunyai khasiat yang amat baik terhadap pesakit diabetes?

Bukan hanya satu, tetapi terdapat banyak khasiat kacang bendi yang mungkin kita belum tahu. Jom teruskan membaca jika anda ingin tahu khasiat sayur bendi terhadap pesakit diabetes.

Khasiat Kacang Bendi: Adakah bendi boleh menjadi ubat untuk pesakit diabetes?

Ada ang gemar memakan bendi yang digoreng dan ada juga yang gemar memakannya dengan cara direbus.

Apa pun cara penyediaannya, bendi telah lama dianggap sebagai antara tumbuhan yang menjadi ubat diabetes.

Ini kerana, antara khasiat kacang bendi ialah ia dapat mengawal paras gula darah dalam tubuh manusia.

Sumber gambar dari HelloDoktor.com

Selain daripada mengawal paras gula darah, kacang bendi juga mempunyai beberapa manfaat khusus terhadap pesakit diabetes.

Berikut ialah lima khasiat sayur bendi khusus bagi penghidap diabetes.

Khasiat sayur bendi 1: Mengandungi serat yang tinggi

Sayur bendi merupakan antara jenis sayur yang tinggi dengan kandungan serat. Bagi setiap 100 gram bendi, ia mengandungi sekitar 3.6 gram serat.

Bagi penghidap diabetes, makanan yang tinggi serat sememangnya amat baik untuk diambil.

Ini kerana, makanan yang tinggi serat dapat membantu mengawal paras gula darah dengan melambatkan proses pembentukan gula dalam tubuh manusia.

Kajian ada menunjukkan, peningkatan pengambilan serat boleh mencegah gula darah daripada naik secara mendadak dalam kalangan pesakit diabetes jenis 2.

Selain itu, sayuran yang tinggi serat seperti sayur bendi ini juga boleh menurunkan risiko penyakit kardiovaskular dan buah pinggang dalam kalangan pesakit diabetes.

Khasiat kacang bendi 2: Menurunkan gula darah

Salah satu khasiat kacang bendi yang terbesar ialah ia dapat menurunkan paras gula darah dalam tubuh kita.

Oleh sebab itu, sayur bendi sering digunakan sebagai tumbuhan semula jadi dalam merawat diabetes.

Satu kajian telah dilaksanakan terhadap tikus penghidap diabetes bagi melihat khasiat sayur bendi ini.

Hasil kajian tersebut menyatakan bahawa, pengambilan ekstrak bendi yang kaya dengan antioksidan dapat menyekat tekanan oksidatif dan kerintangan insulin.

Oleh itu, sayur bendi dapat membantu memperbaiki paras gula darah dalam kalangan pesakit diabetes.

Namun kajian ini hanya tertakluk kepada tikus sahaja. Masih banyak kajian lanjutan diperlukan bagi menguatkan manfaat sayur bendi terhadap kawalan gula darah.

Sumber gambar dari HelloDoktor.com

Khasiat sayur bendi 3: Menurunkan kadar kolesterol dalam tubuh

Ramai yang tidak tahu bahawa antara khasiat kacang bendi adalah menurunkan paras kolesterol dalam tubuh kita.

Kandungan serat yang tinggi dalam sayur bendi sangat bermanfaat dalam menurunkan paras kolesterol yang tinggi, yang biasa dialami oleh penghidap diabetes.

Persatuan Jantung Amerika menyatakan bahawa, individu yang menghidap diabetes lebih cenderung untuk mempunyai kadar kolesterol yang lebih tinggi.

Kolesterol yang tinggi boleh memberikan kesan yang amat buruk kepada penghidap diabetes disebabkan oleh kesan negatifnya terhadap kesihatan jantung.

Khasiat kacang bendi 4: Bendi mempunyai kesan antistres

Stres boleh menjadi antara salah satu punca kepada keadaan hiperglisemia dalam kalangan pesakit diabetes.

Hiperglisemia ialah keadaan di mana paras gula darah menjadi terlalu tinggi.

Oleh itu, penghidap diabetes juga perlu mengetahui cara untuk mengawal stres yang dialami mereka bagi mengelakkan hiperglisemia.

Jangan risau kerana antara khasiat sayur bendi ialah ia memiliki kesan antistres.

Kajian ada menyatakan bahawa, ekstrak biji kacang bendi mempunyai kesan antioksidan dan juga antistres apabila ia diuji terhadap tikus makmal.

Khasiat sayur bendi 5: Mencegah keletihan

Antara manfaat lain sayur bendi ialah ia berkemampuan untuk mencegah keletihan. Ini kerana sayur bendi mempunyai sifat atau ciri anti keletihan.

Sekiranya anda menghidap diabetes dan sedang melakukan sebarang aktiviti, makanlah sayur bendi untuk mengelakkan anda menjadi terlalu letih atau penat.

Sekiranya anda kerap memakan sayur ini, anda mungkin tidak mudah untuk berasa letih ketika bersenam atau melakukan aktiviti fizikal lain.

Perhatikan perkara ini sebelum mula makan sayur bendi

Walaupun sayur bendi mempunyai pelbagai manfaat dan khasiat, ia bukanlah satu-satunya jalan atau ubat bagi merawat diabetes.

Anda tidak boleh sekali-kali meninggalkan ubat yang telah diberikan oleh doktor kerana ubat tersebut merupakan ikhtiar utama bagi penyakit diabetes anda.

Sekiranya anda ingin mula memasukkan sayur bendi dalam diet anda, bertanyalah kepada doktor terlebih dahulu.

Doktor akan memberikan cadangan pemakanan yang bersesuaian dengan keadaan semasa anda.

Anda berkemungkinan tidak digalakkan untuk memakan bendi jika anda ada mengambil ubat metformin.

Ubat metformin berfungsi mengawal paras gula darah.

Jika anda memakan bendi ketika mengambil ubat ini, dikhuatiri ia boleh menyekat penyerapan ubat tersebut ke dalam tubuh.

Kesannya, ia mungkin menyebabkan ubat tersebut tidak begitu berkesan dalam mengawal keadaan diabetes anda.

Artikel ini telah disemak oleh panel Perubatan Hello Doktor dan telah disiarkan di Hello Doktor. Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke anagurlz87@gmail.com

8 ulasan:

Untuk sebarang pertanyaan, pengiklanan, tajaan, kolobarasi dan jemputan boleh hubungi LeYa melalui email anagurlz87@gmail.com