Friday, 12 June 2020

Sehari Di Selangor, Jom Ke Sepang!

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...

Memandangkan negara kita Malaysia sudah pun dibenarkan merentas negeri, apakata kita tenang-tenangkan fikiran dan rehatkan badan setelah duduk lama di rumah dengan menikmati pemandangan menarik di tempat lain. Tapi tidak perlu jauh-jauh. Jom, ikuti artikel di Blog LeYa ini.

Daerah Sepang yang mempunyai lebih daripada 190,889 populasi mula berpesat di Bandar Baru Salak Tinggi. Kini, bukan sahaja ia menjadi laluan keluar dan masuk utama Negara dengan adanya dua buah lapangan terbang antarabangsa, KLIA dan KLIA2, daerah ini juga terkenal dengan Litar Antarabangsa Sepang yang telah menjadi tempat untuk mengadakan pelbagai acara sukan motor pada setiap tahun.

Di samping itu, daerah Sepang juga menempatkan pusat membeli-belah premium pertama di Selangor. Sepang giat menarik ramai pelancong dari seluruh dunia menjadikannya salah sebuah daerah yang wajib dikunjungi jika datang ke Selangor.

Jom ikuti Trip Itinerary Satu Hari Berada di Daerah Sepang


8.00 a.m. : Berjoging di Taman Tasik Cyberjaya
Pagi yang indah, jom mulakan hari dengan berpakaian sukan dan singgah di Taman Tasik Cyberjaya yang sangat terkenal itu. Di sini, anda akan dapati ada beberapa trek larian terbaik yang boleh dicuba dengan rakan-rakan. Tidak ketinggalan juga persekitaran yang menenangkan serta udara yang nyaman dan segar. Di taman hijau ini sudah pasti akan memberikan anda rasa nyaman untuk bersenam.


9.00 a.m. : Singgah di Restoran Adik Abang untuk sarapan pagi
Dah penat berjogging, apakata tambahkan kembali tenaga anda dengan bersarapan di lokasi kegemaran ramai iaitu Restoran Adik Abang! Di sini, anda akan disajikan dengan pelbagai makanan Malaysia yang enak di mana anda boleh memesan dari menu mereka. Wajib untuk mencuba Lontong, Nasi Lemak dan Roti Canai yang ada di kedai ini. 


10.00 a.m. : Bergerak ke Litar Antarabangsa Sepang
Perut pun dah kekenyangan. Jom teruskan hari anda dengan melawati Litar Antarabangsa Sepang yang memang terkenal itu. Di sini, anda akan dibawa ke seluruh kawasan litar ini di mana anda boleh mengisi pengetahuan anda mengenai industri sukan permotoran! Lawatan ini merangkumi lawatan ke Grandstand, Race Control Room, Perdana Suite perdana dan banyak lagi. Jangan lupa juga untuk mengunjungi Muzium Automobil ketika anda berada di sana.


12.00 p.m. : Makan tengah hari di Restoran Nasi Padang Minang Batang Kapeh
Menjelang tengah hari, perut pun mula lapar kembali. Jangan lupa untuk singgah dan nikmati hidangan makanan di Restoran Nasi Padang yang terkenal di Kampung Salak Tinggi. Sekiranya anda sedang mencari masakan selera kampung dan tradisional yang sedap tak terhingga, anda boleh datang ke sini untuk mencuba menu ikan bakar dan ikan keli mereka. 

Selain daripada kedua-dua menu itu, hidangan lain yang turut disajikan di sini juga patut dicuba!


1.00 p.m. : Ikuti Mangrove Tour
Dikenali sebagai Taman Tema Aqua yang pertama dan terbesar di Malaysia, Aqua X menawarkan anda dengan pelbagai jenis aktiviti menyeronokkan yang boleh anda lakukan! Antaranya ialah Pakej Mangrove Tour yang akan membawa anda berlayar ke kawasan hutan yang penuh dengan pemandangan indah serta mendengar alunan bunyi burung eksotik di sekitarnya. Anda juga boleh mencuba senarai aktiviti menarik yang ditawarkan!


2.30 p.m. : Luangkan masa di Ladang Buah Naga Sepang
Semasa berjalan-jalan di Daerah Sepang, pastikan juga anda berkunjung ke Ladang Buah Naga yang menakjubkan ini. Terletak di Bagan Lalang, ladang ini dikenali dengan buah naga yang ditanam dan terdapat juga sebuah kafe yang boleh anda lawati untuk mencuba menu istimewa mereka iaitu Roti King Kong dan kentang tumbuk yang disajikan dengan kuah buah naga dan jus buah naga yang diperah segar!


3.30 p.m. : Berbelanja di Mitsui Outlet Park
Luangkan hari anda di Mitsui Outlet Park yang terkemuka ini untuk mendapatkan satu pengalaman membeli-belah yang terbaik di Sepang! Di sini terdapat pelbagai barangan berjenama dan mewah yang dipasarkan dengan harga yang menarik dan lebih murah berbanding pusat membeli-belah yang lain. Anda pasti tidak ingin ketinggalan mendapatkan tawaran yang diberikan oleh setiap kedai di Pusat Membeli-Belah premium ini!


5.00 p.m. : Minum petang di Book Barter Cafe
Berehatlah seketika dan bersantai di kafe yang menarik di Tamarind Square ini sambil menikmati waktu minum petang anda! Ruang dalaman kafe ini menggayakan konsep kedai buku di mana ia telah menjadi salah satu tempat yang digemari ramai, terutamanya para pelajar bagi menyiapkan tugasan kuliah mereka. Bukan sahaja persekitaran kafe ini menenangkan, pencuci mulut dan kopi di sini juga semestinya akan menggiurkan anda juga! Jangan lupa untuk turut mencuba Japanese Cottony Cheesecake dan kopi flat-white mereka semasa anda berada di sana.


6:00 p.m. : Bersiar-siar di sekitar Tamarind Square Cyberjaya
Setelah meluangkan masa anda di kafe, pastikan anda terokai Tamarind Square ini! Selain terkenal dengan tempatnya yang amat Instagram-worthy, anda juga boleh menyertai beberapa aktiviti mingguan di sini. Antaranya ialah aktiviti Zumba Fitness, Pound Fitness, Yoga dan aktiviti Piloxing! Juga, terdapat pasar malam yang berkonsepkan urban yang diadakan pada hari Rabu ke-2 dan ke-4 yang boleh anda lawati pada setiap bulan. Turut terdapat sebuah majlis hiburan yang dipanggil Lepaq yang akan diadakan pada hari Sabtu terakhir pada setiap bulan di sini.


7.00 p.m. : Makan malam di HM Sri Bagan Sepang 
Satu penutup yang terbaik untuk hari anda adalah dengan makan malam sambil menikmati bayu laut yang sangat menenangkan! Bunyi ombak dan udara yang sejuk pasti akan mengubahkan mood anda agar lebih tenang. Disini, anda boleh memilih hidangan dari menu ala-carte atau pakej mereka yang penuh dengan pilihan! Semua menu di sini wajib anda cuba terutamanya Ikan Talapia Bakar, Ikan Siakap Steam dan Sambal Udang Petai mereka yang amat disyorkan!

Aha! Sekiranya anda sudah sampai sejauh ini, ianya bermakna anda sudah membaca kesemua lokasi yang telah LeYa sertakan dalam jadual perjalanan ini. Cukuplah 10 tempat yang anda boleh lawati di Daerah Sepang dalam masa satu hari. Daerah Sepang ini sudah pasti akan membuat anda kagum kerana tarikannya yang luar biasa! 


Maklumat lanjut, layari laman web rasmi Tourism Selangor di
Reaksi kOrang:

6 comments:

  1. teringin jugak ke sana lagi. Tahun lps pi balik Dengkil, umah isteri. Dia plan nak jual je umah tu tp x de yg sudi.....

    ReplyDelete
    Replies
    1. Bolehlah singgah Sepang nanti.. Hehe.. Ha? Rumah nak jual.. Berapa tu..

      Delete
  2. Tak pernah lagi jalan2 dekat area sepang. Lepas ni boleh lah plan sebab kena travel dalam Malaysia ja kan. Jd manfaat kan semua tempat di Malaysia

    ReplyDelete
    Replies
    1. Betul... Ni la masanya kita tingkatkan ekonomi kita semula..

      Delete
  3. Banyak tempat menarik kt Sepang nie..mesti orang selangor pun x habis pusing lagi nie

    ReplyDelete
    Replies
    1. Betul.. Tempat2 Malaysia walau dah pergi byk kali pun... Nanti esok2 dah berubah.. Tu yg best

      Delete

Untuk sebarang pertanyaan, pengiklanan, tajaan, kolobarasi dan jemputan boleh hubungi LeYa melalui email anagurlz87@gmail.com