Tuesday, 21 June 2022

Filem MAT KILAU Arahan Syamsul Yusof Menelan Kos Belanja RM8 Juta!

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera...

Karya terbaharu yang diterbitkan oleh Studio Kembara ini membentangkan sejarah penting dalam filem biografi epik, Mat Kilau.

Latar perjuangan Mat Kilau disifatkan amat berharga bukan sekadar untuk mencetak rekod di dunia hiburan, tetapi juga mahu berkongsi kehebatan dan jati diri pahlawan dalam menyelamatkan negara kepada generasi masa kini.

Aktor Datuk Adi Putra diberi tanggungjawab menghidupkan darah pahlawan Mat Kilau Imam Rasu atau Mat Kilau. Beliau kemudian dibantu dengan barisan pelakon yang bukan calang-calang.

Ini termasuklah Wan Hanafi Su sebagai ayah Mat Kilau iaitu Tok Gajah, Beto Kusyairy (Wahid), Khir Rahman (Usup), Fattah Amin (Awang), Johan As'ari (Yassin) dan aktor aksi handalan Indonesia, Yayan Ruhian sebagai Toga.

Sinopsis Filem Mat Kilau

Filem yang mengisahkan seorang pahlawan Melayu Mat Kilau bersama ayahandanya Tok Gajah dan sahabat-sahabatnya, bangkit menentang penjajahan British ini turut dikuatkan dengan barisan aktor dan aktres terbaik tanah air seperti Datuk Jalaluddin Hassan (Hj. Muhammad), Datuk Rahim Razali (Imam Bottoqh), Namron (Hj. Sulong), Shaharuddin Tamby (Datuk Bahaman) dan Ellie Suriaty (Ibu Yassin).

Pada tahun 1892, pihak kolonial British telah menduduki tanah-tanah di Pahang. British mengaut hasil bumi Pahang milik orang-orang Melayu dan mencampuri urusan adat dan agama orang-orang Melayu. Tidak membiarkan kebiadaban British di bumi Pahang berleluasa, Mat Kilau, Tok Gajah dan sahabat-sahabatnya bangkit menentang British.

Kebijaksanaan Mat Kilau dan Tok Gajah merancang penentangan telah menyebabkan pihak British mengalami tekanan dan kerugian sehingga berlakunya pertempuran yang sengit. 

Menelan belanja RM8 juta, Mat Kilau menjalani penggambaran selama 100 hari dengan sebahagiannya dijalankan di Perak dan beberapa lokasi lain termasuk Pahang, Melaka dan Selangor.

"Sebagai penerbit kami berharap seluruh masyarakat Malaysia menonton filem ini dan terhibur."

"Filem arahan Syamsul Yusof ini akan membawa kita kembali ke zaman tersebut, merasai kepayahan, keberanian, pengorbanan dan jiwa kepahlawanan yang ada dalam memperjuangkan tanah air kita. Ini adalah sebuah sejarah yang sangat memberi inspirasi," kata penerbitnya, Shahruddin Dali.

 

Tontonlah filem aksi tanpa henti ini yang menyaksikan pengorbanan, keberanian dan kesatuan pahlawan-pahlawan Melayu untuk membebaskan tanahair tercinta.

Poster rasmi filem Mat Kilau telah dipamerkan sejak 13 Mei 2022 di semua laman sosial. Manakala trailer rasmi telah dipertontonkan pada 16 Jun yang lalu. Filem hebat ini akan menemui penonton di 90 pawagam seluruh negara bermula 23 Jun 2022 depan.


Maklumat lanjut, boleh layari laman web dan platform media sosial di bawah

0 beri komen di sini:

Post a Comment

Untuk sebarang pertanyaan, pengiklanan, tajaan, kolobarasi dan jemputan boleh hubungi LeYa melalui email anagurlz87@gmail.com