Tuesday, 5 October 2021

5 Lokasi Staycation Di Negeri Selangor Untuk Cuti Hujung Minggu Anda!

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera...

Setelah beberapa bulan duduk di rumah, akhirnya Kerajaan telah mengumumkan Negeri Selangor kini semakin menghampiri ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara. Tentu ada segelintir orang bergembira atas berita baik ini. Namun, hanya individu lengkap dua dos suntikan vaksin COVID-19 sahaja dibenarkan untuk bercuti ke negeri ini. Sejak kebelakangan ini, aktiviti staycation semakin menjadi trend bagi para pelancong domestik, khususnya pada cuti hujung minggu. Di samping bersantai bersama orang tersayang, sekiranya anda seorang yang suka menghasilkan video "content" di media sosial, anda boleh jadikan tempat penginapan yang tersenarai di bawah sebagai latar yang pasti menarik perhatian pengikut anda!

1) Carpe Diem, Serendah

Carpe Diem terletak di Pekan Serendah merupakan sebuah penginapan yang membawakan konsep gaya hidup kampung. Carpe Diem adalah perkataan Latin yang membawa maksud "merebut hari". Lokasi ini membawa anda melangkah ke pesona percutian ala kampung yang juga bertepatan sekiranya anda mencari tempat untuk menjalankan sesi latihan pasukan. Carpe Diem juga dikelilingi oleh tanaman menghijau yang subur, menjadikannya tempat yang sesuai untuk mencari ketenangan dan bersantai.

2) Sri Damai Resort, Kalumpang

Sri Damai Resort menawarkan penginapan berkonsepkan alam sekitar, dilengkapi dengan kolam renang dari air sungai untuk kanak-kanak serta kolam memancing bagi mereka yang suka menangkap spesies langka seperti ikan kelah dan baung. Bukan itu sahaja, pelbagai aktiviti riadah yang menyeronokkan ada ditawarkan di sini seperti aktiviti berbasikal air dan memandu kenderaan ATV. Selain itu, terdapat ladang rusa, kambing serta buah-buahan tempatan yang boleh dikunjungi semasa anda menginap di sini.

3) Resort Taman Eko Rimba Komanwel, Rawang

Resort Taman Eko Rimba Komanwel ini terletak di Hutan Simpan Bukit Lagong di jalan menuju ke Pekan Rawang. Sudah namanya taman rimba, ianya pilihan yang tepat untuk anda menikmati keindahan alam semulajadi dan menghirup udara segar. Apa yang lebih menarik di sini adalah, anda boleh melakukan pelbagai aktiviti menyihatkan seperti berkayak, jungle trekking, mountain bike trails dan banyak lagi sambil merakam detik-detik kegembiraan bersama orang tersayang. Ini adalah tempat yang tepat untuk menghabiskan masa hujung minggu anda dalam keindahan alam yang menghijau.

4) Rumah Hutan Bonda, Batang Kali

Hanya mengambil masa lebih kurang satu jam perjalanan dari Bandar Petaling Jaya, anda boleh kunjungi salah satu tarikan pelancongan di Daerah Hulu Selangor, iaitu Rumah Hutan Bonda. Ianya menampilkan konsep rumah Melayu asli yang pasti akan membuat anda terpegun melihatnya. Tempat penginapan ini turut dikelilingi keindahan hutan dan alam semulajadi. Rumah Hutan Bonda juga mempunyai kawasan yang luas dan sesuai untuk beriadah bersama keluarga dan rakan-rakan.

5) PulaiThree, Kuala Kubu Bharu

PulaiThree merupakan lokasi percutian yang terletak di Pekan Kuala Kubu Bharu, di tengah kawasan hutan hujan dan kawasan bukit milik peribadi. Konsepnya direka dengan ruang terbuka menghadap alam sekitar namun masih menerapkan unsur kelestarian. Villa yang dikelilingi keindahan alam dan suasana yang amat menenangkan ini menawarkan dua bilik tidur dengan pemandangan indah seperti gunung hijau zamrud di luar bandar. Selain itu, tempat penginapan ini yang dilengkapi dengan kolam renang dan dapur lengkap dengan set barbeku sememangnya akan memberikan pengalaman yang tiada tandingan.

Tentunya tempat penginapan yang tersenarai di atas bakal mengubati kerinduan anda kepada keindahan alam semulajadi, namun tidak mengetepikan faktor keselesaan. Tidak dapat dinafikan lagi, Negeri Selangor sememangnya mempunyai banyak tempat penginapan yang menarik. Tempah masuk sahaja ke tempat-tempat yang telah disenaraikan di atas jika berpeluang satu hari nanti!

Di samping itu, adalah diingatkan, ianya adalah tanggungjawab kita semua untuk sentiasa berdisiplin dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara dalam memastikan penjarakan sosial, memakai pelitup muka setiap masa, menggunakan cecair pembasmi kuman secara kerap, terutamanya ketika memasuki premis-premis di Negeri Selangor.

Anda juga boleh layari laman sesawang rasmi Tourism Selangor, www.selangor.travel untuk mendapatkan inspirasi dalam merancang perjalanan anda ke Negeri Selangor pada waktu kelak atau terus ikuti laman media sosial rasmi Instagram, Facebook, Twitter, TikTok dan saluran Youtube Tourism Selangor untuk mengikuti sebarang kemaskini. #ImagineNowExperienceSoon.

8 comments:

  1. byk tempat menariks kat selangor ni..best!

    ReplyDelete
  2. Wow.. Menarik tempat-tempatnya..

    ReplyDelete
  3. Wah! Al maklumlah dah boleh cuti2 sekarang ni...

    ReplyDelete
  4. What a nice places ... thanks for your sharing...

    ReplyDelete
  5. Semua best ni leya. Kak ana kena tggu hbs 14 hari vaksin baru plan nak bercuti dekat2 dulu. Tp semua list leya ni dkt je dgn rumah kak ana.

    ReplyDelete
  6. Menarik ni. Teringin nak ke Rumah Hutan tu...

    ReplyDelete
  7. Menarik semua tempat nie Leya. Dah lah boleh katakan semua tempat nie tak jauh dari rumah Kak Sue, macam teringin lah pulak nak cuba.. hehehe..

    ReplyDelete
  8. belum habis jelajah selangor. byk tempat menarik di sini yg cantik n mendamaikan...

    ReplyDelete

Untuk sebarang pertanyaan, pengiklanan, tajaan, kolobarasi dan jemputan boleh hubungi LeYa melalui email anagurlz87@gmail.com