Jumaat, 13 Jun 2025

12 Gelanggang Pickleball Yang Menarik Di Selangor

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera...

Sukan Pickleball kini semakin mendapat tempat di Malaysia dan negeri Selangor tidak terkecuali! Tapi, apa sebenarnya sukan Pickleball ini? Ia merupakan sukan dengan pergerakan yang pantas dan menyeronokkan yang menggabungkan elemen tenis, badminton dan ping pong. Dimainkan di gelanggang yang lebih kecil menggunakan paddle dan bola plastik berlubang, pickleball sesuai untuk semua peringkat umur dan tahap kemahiran. Popularitinya yang semakin meningkat kerana ia mudah dipelajari dan cukup mencabar untuk membuat korang terus ketagih. Sama ada korang pemain baharu atau berpengalaman, Selangor menawarkan pelbagai lokasi menarik untuk korang bermain, berlatih dan bersosial. Ikuti 12 gelanggang pickleball yang menarik di Selangor yang wajib korang kunjungi.

1. Grand Rally Pickleball, Shah Alam  

Grand Rally Pickleball yang terletak di aras bumbung tingkat 5, Pusat Komersial A, Jalan Plumbum, Seksyen 7 Shah Alam, menawarkan 17 gelanggang bersaiz kejohanan termasuk pilihan VIP dan Grand VIP yang eksklusif. Dibuka setiap hari dari jam 8:00 pagi hingga jam 1:00 pagi, terdapat tiga pilihan gelanggang mengikut bajet korang iaitu Lounge Courts hanya RM45 sejam sebelum 5 petang pada hari biasa, RM65 selepas 5 petang dan hujung minggu, VIP Courts hanya RM50 sejam sebelum 5 petang, RM80 selepas 5 petang dan Grand VIP Court hanya RM110 sejam, memberikan korang pengalaman bermain pickleball yang tiada tandingan, pada bila-bila masa! Terdapat juga kedai makanan tersedia seperti BoiBoi Deli, kedai Pickle Parlour dan ruang lounge mezzanine, semuanya dalam satu tempat yang sama.

Klik pautan dibawah untuk maklumat lanjut 

https://www.facebook.com/grandrallypickleball/
https://www.instagram.com/grandrallypickleball/
https://www.courtsite.my/centre/grandrallypickleball 

2. DINKiT Pickleball, Kota Kemuning Shah Alam


Terletak di Kota Kemuning, Shah Alam, DINKiT Pickleball kini muncul sebagai salah satu destinasi pickleball paling meriah di Selangor! Dibuka setiap hari dari jam 7 pagi hingga 1 pagi, pusat ini menampilkan dua jenis gelanggang, VIP Fenced Courts dan BC Open Courts, gelanggang yang direka khas untuk memenuhi keperluan semua pemain, tidak kira tahap kemahiran korang. Kadar sewaan gelanggang bermula serendah RM29 sejam pada hari bekerja dan hanya mencecah RM55 sejam pada waktu puncak termasuk hujung minggu dan cuti umum. Lebih daripada sekadar gelanggang, DINKiT menawarkan pengalaman sukan yang lengkap dengan kemudahan seperti ruang istirahat yang bersih, kedai lengkap dengan peralatan pickleball, parkir percuma, serta makanan dan minuman untuk korang nikmati selepas bersukan. Selesai berpeluh, singgah minum kopi dan kudapan lazat di Kafe Brew N Bread, atau luangkan masa petang korang dengan berjalan santai, berkelah atau bergambar bersama keluarga di Taman Tasik Kota Kemuning yang hanya 6 minit dari pusat ini. 

Klik pautan dibawah untuk maklumat lanjut


3. The Pickle Vibe, Seri Kembangan


Terletak di The Atmosphere Commercial Park, Blok C, Tingkat 2, pusat ini menampilkan 14 gelanggang indoor yang luas dan selesa. Dibuka setiap hari dari jam 7 pagi hingga 1 pagi, The Pickle Vibe menawarkan dua jenis gelanggang – Standard Court dengan kadar RM55 sejam pada hari bekerja sebelum 5 petang dan RM69 sejam selepas 5 petang serta sepanjang hujung minggu, manakala gelanggang International Tournament bermula serendah RM45 sejam sebelum 5 petang dan RM59 sejam selepas 5 petang dan juga pada hujung minggu. Sesuai untuk yang mahu mula bermain Pickeball dan juga pemain berpengalaman, The Pickle Vibe turut menganjurkan permainan sosial, sesi latihan dan kejohanan secara berkala untuk membantu korang kekal aktif dan terus mengasah bakat.


Klik pautan dibawah untuk maklumat lanjut


4. Pickleball Factory, Subang Jaya

 

Pickleball Factory terkenal dengan lima gelanggang tertutup dan satu gelanggang terbuka yang sesuai untuk semua peringkat pemain. Suasananya cukup meriah, terutamanya selepas waktu kerja atau hujung minggu. Gelanggang ini menawarkan harga sewa peralatan yang sangat berpatutan dengan raket berharga hanya RM4 sahaja, waktu operasi yang fleksibel termasuk sesi lewat malam dan bola yang berkualiti tinggi untuk permainan santai mahupun tahap profesional. Pada luar waktu puncak, korang boleh bermain di gelanggang tertutup dengan hanya RM45 sejam dan RM40 sejam untuk gelanggang terbuka. Manakala waktu puncak selepas 5 petang pada hari bekerja dan sepanjang hujung minggu pulak berharga RM65 bagi gelanggang tertutup dan RM60 bagi gelanggang terbuka. Apa yang menjadikan tempat ini lebih menarik? Pickleball Factory bukan sekadar tempat bermain sukan. Korang juga boleh mengikuti kelas yoga, pilates atau barre untuk keseimbangan badan dan mengisi semula tenaga dengan sajian lazat di Kaiizo Café & Restaurant yang turut berada di sini. Semuanya tersedia dalam satu lokasi! 

Klik pautan dibawah untuk maklumat lanjut


5. Pickle Park, Petaling Jaya 


Pickle Park yang terletak di Seksyen 13 menjadi destinasi wajib dikunjungi! Dengan tujuh gelanggang terbuka, ia sesuai untuk pemain dari semua peringkat. Dibuka setiap hari dari jam 7:00 pagi hingga 1:00 pagi, memudahkan korang untuk menikmati permainan ini bila-bila masa. Korang juga boleh sertai sesi latihan, permainan sosial dan acara bulanan untuk mempertingkatkan kemahiran serta berkenalan dengan komuniti pemain lain. Kadar sewa gelanggang ialah RM80 sejam pada hari bekerja, manakala pada hujung minggu dan cuti umum, kadar adalah RM70 sejam. Apa yang membezakan Pickle Park ialah suasananya yang meriah dan fasiliti yang baik, termasuk ruang istirahat serta ruang acara terbuka. Tambahan pula, terdapat kafe Flour, Fire & Stone yang selesa, menawarkan segala-galanya daripada kopi di waktu pagi sehinggalah pelbagai juadah istimewa di waktu malam. Semuanya tersedia di sini! Tempahan gelanggang juga mudah melalui aplikasi mudah alih. Korang boleh kumpul jam bermain melalui aplikasi untuk menebus ganjaran seperti diskaun serta masa bermain percuma. Hanya muat turun melalui Apple App Store atau Google Play Store. Atau korang boleh terus lawati media sosial rasmi atau laman sesawang rasmi mereka. 

Klik link dibawah untuk maklumat lanjut


6. Hyprground Pickleball Cyberjaya

 

Tunjukkan aksi hebat korang di Hyprground Pickleball Court. Terletak di Tamarind Square, Cyberjaya, gelanggang tertutup trendy ini menawarkan dua jenis gelanggang yang sesuai untuk semua. Gelanggang Komuniti bermula serendah RM30 sejam dari jam 1:00 pagi hingga 7:00 pagi, RM35 sejam pada waktu pagi di hari bekerja dan RM50 sejam pada waktu petang serta pada hujung minggu dan cuti umum. Mahukan pengalaman yang lebih eksklusif? Pilih Gelanggang Lounge yang hanya RM30 sejam pada waktu lewat malam. Apa yang paling menarik, Hyprground turut menawarkan perkhidmatan katering lengkap untuk acara, dengan pilihan makanan yang lazat dan sihat untuk melengkapkan pengalaman pickleball korang disini. Mereka juga menganjurkan permainan sosial, acara komuniti dan kejohanan yang menjadikan suasana di sini sentiasa meriah! Tiada peralatan yang cukup? Jangan risau, penyewaan paddle hanya RM5 dan bola turut dijual di sini.

Klik pautan dibawah untuk informasi  lebih lanjut


7. ATP Pickleball Centre, Klang 


Terletak di Klang, ATP Pickleball Centre sentiasa meriah dengan semangat permainan dan dibina khas untuk pemain santai mahupun kompetitif. Dibuka setiap hari dari 7:00 malam hingga 1:00 pagi, pusat ini menjadi pilihan utama buat yang ingin beraksi selepas waktu bekerja. Lebih menarik, kadar sewaan hanya RM10 sejam dari jam 7:00 pagi hingga 11:00 pagi dan korang akan menerima 4 paddle secara percuma setiap sesi, sesuai untuk ajak kawan-kawan datang bersama! Sama ada korang baru berjinak atau sudah mahir, ATP Pickleball Centre menawarkan suasana yang mesra dengan adanya  tempat bersantai. Lepas bersukan, teruskan hari korang dengan bersiar-siar di GM Klang atau Klang Parade, dua pusat beli-belah paling popular di Klang yang hanya beberapa minit dari gelanggang.

Klik pautan dibawah untuk informasi lanjut


8. Pickle Drive @ Talent Champs Sports Complex, Kajang


Berada di Kajang, Pickle Drive di Talent Champs Sports Complex adalah lokasi ideal untuk pemain di semua peringkat. Dibuka setiap hari dari jam 8:00 pagi hingga 1:00 pagi, pusat ini menampilkan enam gelanggang premium dan tiga gelanggang terbuka yang memenuhi keperluan semua tahap permainan. Kadar sewa gelanggang tertutup adalah RM29 sejam pada hari bekerja termasuk hujung minggu dan cuti umum. Untuk gelanggang terbuka, kadar sewa hanyalah RM24 sejam pada waktu siang hari bekerja, manakala kadar pada waktu malam dan hujung minggu adalah sama seperti gelanggang tertutup. Bukan itu sahaja, sewaan paddle juga disediakan pada harga hanya RM5 bagi setiap sewaan termasuk satu bola untuk sesi selama dua jam. Selain gelanggang, pemain turut boleh menikmati kemudahan yang lengkap yang disediakan seperti ruang rehat, bilik mandi, parkir percuma, minuman menyegarkan dan juga surau untuk menunaikan solat.

Kilik pautan dibawah untuk maklumat lanjut


9. High on Pickle, Puchong


High On Pickle adalah destinasi yang wajib korang kunjungi! Terletak di Bandar Puchong Jaya, fasiliti ini menawarkan gelanggang berkualiti tinggi serta komuniti yang mesra dan mengalu-alukan semua pemain. Beroperasi sepanjang hari dalam ruang tertutup, pusat ini menyediakan pelbagai pilihan gelanggang yang sesuai untuk setiap tahap dan gaya permainan. Gelanggang VIP disewakan pada kadar RM49 sejam, Gelanggang HOPE yang lebih mesra bajet pada RM39 sejam dan Gelanggang Latihan hanya RM29 sejam pada hari bekerja sebelum jam 5 petang. Tiada peralatan untuk bermain? Jangan risau. Sewaan paddle hanya RM5 satu sesi dan bola juga boleh dibeli di sini. Sama ada korang baru bermula atau sudah berpengalaman, korang boleh sertai sesi sosial, latihan dan kejohanan yang dianjurkan bagi meningkatkan kemahiran dan mengenali rakan baharu. 

Klik pautan dibawah untuk maklumat lanjut


10. Pickle Crown @ Tropicana Sport Center, Sungai Buloh


Ayuh beraksi di Pickle Crown @ Tropicana Sports Centre, Sungai Buloh. Spot pickleball premium dengan 11 gelanggang bersaiz kejohanan yang penuh dengan aura semangat sukan! Dibuka setiap hari dari jam 8:00 pagi hingga 12:00 tengah malam bermula 1 Jun, kadar sewaan gelanggang ialah RM45 sejam pada hari bekerja sebelum jam 5 petang, manakala pada hujung minggu dan cuti umum kadar tetap ialah RM65 sejam sepanjang hari. Berita gembira untuk warga emas berumur 60 tahun ke atas, promosi Golden Years, Golden Deals menawarkan kadar diskaun dari jam 8.00 pagi hingga 4.00 petang. Selain gelanggang berkualiti tinggi, kemudahan di sini turut merangkumi ruang istirahat yang bersih, tempat untuk bersantai yang selesa dan kedai untuk melengkapkan peralatan permainan korang. 

Klik pautan dibawah untuk maklumat lanjut


11. Seven Fit Sports Centre 


Bakar kalori, tingkatkan koordinasi dan kekal aktif di Seven Fit Sports Centre! Pusat sukan ini menawarkan kemudahan terbaik untuk korang mula bermain pickleball. Dibuka setiap hari dari jam 7:00 pagi hingga 2:00 pagi, ia sesuai untuk semua lapisan pemain! Dengan kadar serendah RM20 hingga RM50 sejam pada waktu puncak termasuk hujung minggu dan cuti umum, korang boleh bermain tanpa had. Sewaan paddle pula hanya RM5 untuk setiap sesi, sesuai untuk yang ingin mencuba buat pertama kali. Pusat ini juga lengkap dengan zon santai, tempat letak kereta percuma, surau untuk beribadah dan minuman untuk menyegarkan diri selepas permainan. Dengan kemudahan bertaraf tinggi dan komuniti yang mesra, Seven Fit sememangnya lokasi terbaik untuk menyemarakkan semangat pickleball korang!


Klik pautan dibawah untuk maklumat lanjut


12. 9pickle Setia Alam


9Pickle merupakan salah satu hab pickleball terbaik di Setia Alam dengan 10 gelanggang separa tertutup bertaraf kejohanan! Terletak bersebelahan Menara Top Glove, pemain boleh memilih daripada tiga kategori gelanggang iaitu Standard, VIP dan Grand. Gelanggang Grand bermula dari RM75.60 sejam, VIP dari RM54 sejam dan Standard dari RM45 sejam, bergantung kepada masa dan hari. Dibuka setiap hari dari jam 12:00 tengah malam hingga 12:00 tengah malam, pusat ini turut dilengkapi dengan kedai, kawasan makanan dan minuman, ruang santai yang selesa serta kemudahan lengkap untuk pengalaman premium yang sempurna. Tahun ini, 9Pickle bukan sekadar tempat bermain ia juga menjadi tuan rumah kepada acara utama seperti PPA Asia pada Julai 2025 dan PANAS CUP 2025! Daftar sekarang. Inilah vibe sebenar yang korangcari.

Klik pautan dibawah untuk maklumat lanjut


Sudahkah korang bersedia untuk menyertai dunia pickleball yang penuh dengan keseronokan? Dari aksi di bumbung hingga perlawanan tengah malam, demam pickleball kini melanda Selangor! Dengan gelanggang untuk setiap bajet dan gaya permainan, inilah masa terbaik untuk ambil paddle, ajak kawan-kawan dan beraksi dengan penuh gaya. Jom mulakan permainan korang sekarang!

Khamis, 5 Jun 2025

"Surprising Selangor!" Jadi Tumpuan Dalam Sesi Pertama Jom Ngopi - Tourism Malaysia Network Sesh

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera...

Tourism Selangor terus mengorak langkah mempromosikan destinasi pelancongan Negeri Selangor menerusi penyertaan dalam program "Jom Ngopi - Tourism Malaysia Network Sesh Sesi 1/2025: Surprising Selangor!".

“SURPRISING SELANGOR!” JADI TUMPUAN DALAM SESI PERTAMA JOM NGOPI – TOURISM MALAYSIA NETWORK SESH

Program santai berimpak tinggi ini menghimpunkan lebih 300 tetamu yang terdiri daripada wakil-wakil kementerian, agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi serta pemain industri pelancongan dari seluruh negara. Sesi ini memberi tumpuan kepada Negeri Selangor sebagai destinasi pelancongan utama dengan mengetengahkan tema "Surprising Selangor!", sekaligus memperkenalkan kempen pelancongan domestik 'Wah! Selangor Kan Ada!' sempena Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS2025).

TMS2025 bukan sekadar slogan pelancongan. Ia adalah inisiatif untuk memperkukuhkan kerjasama strategik antara Tourism Selangor, Tourism Malaysia serta penggiat industri pelancongan dalam memperkenalkan Negeri Selangor ke mata masyarakat Malaysia dan dunia. Penganjuran sesi ini bukan sahaja membuka ruang untuk mempromosi produk dan destinasi pelancongan baharu di Selangor, malah turut mewujudkan jaringan komunikasi yang kukuh antara semua pemegang taruh industri. 

Terdapat 20 tapak pameran disediakan yang mana menampilkan pelbagai segmen pelancongan seperti perhotelan, taman tema, agro dan eko-pelancongan, gastronomi serta budaya dan warisan. Antara penyertaan di bawah Pavilion Selangor termasuklah GL Play by Gamuda Land, Sky Mirror Kuala Selangor, Rumah Hutan Terapi Alam Bonda Rozita, Chocolate Museum, Farm Fresh, Heritaste Jenjarom dan banyak lagi.


Selain pameran, turut diadakan sesi pembentangan produk pelancongan, cabutan bertuah dengan hadiah pakej pelancongan menarik serta persembahan istimewa lagu rasmi kempen "Surprising Selangor" dan persembahan istimewa oleh Naim Danial.

Penganjuran ini selari dengan strategi memacu pertumbuhan pelancongan domestik dan antarabangsa, di sampin meningkatkan kesedaran terhadap keunikan serta kepelbagaian produk pelancongan yang ditawarkan Negeri Selangor menjelang Tahun Melawat Selangor 2025.

Rabu, 14 Mei 2025

Kolaborasi antara Good Virtues Co. bersama Richiamo Coffee & Watsons Malaysia Memperkenalkan Habbatus Sauda dalam Minuman

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera...

Good Virtues Co., Jenama produk Halal Clean Beauty dan penjagaan diri terkemuka di Malaysia telah memperkenalkan cara baharu untuk menikmati kelebihan Habbatus Sauda menerusi secawan kopi. Buat julung kalinya ia berkerjasama antara Richiamo Coffee dan Watsons Malaysia yang mana ia menggabungkan elemen kesihatan, kecantikan, minuman dan ruang beli-belah.

Kerjasama ini memperkenalkan siri minuman pertama di Malaysia yang kaya dengan Habbatus Sauda, dihasilkan bersama Richiamo Coffee dan juga diinspirasikan oleh bahan utama Good Virtues Co. Kolaborasi ini berkonsepkan 'Rejuvenate Your Skin, Awaken Your Senses', menyunting semangat meraikan kecantikan dan kesihatan yang bermula dari dalaman. Good Virtues Co. menawarkan rangkaian penuh produk penjagaan diri untuk wawjah, rambut dan badan. Produk Good Virtues Co. bukan sahaja membersih, malah menyihatkan badan. Good Virtues Co. menggalakkan kita untuk 'Celebrate Your Noor' yang bermaksud meraikan kecantikan dalaman & luaran dalam kalangan wanita muslim. Pada masa yang sama, minuman Habbatus Sauda dari Richiamo Coffee membantu menyegarkan dari dalam, sekaligus menyerlahkan kecantikan dan kesihatan luar dan dalam.

Siri minuman Habbatus Sauda ini dicipta khas untuk memberi manfaat melalui cara yang lebih menyegarkan dan mudah dinikmati. Dengan pilihan kopi dan bukan kopi, setiap minuman memberi detik keselesaan dan berkhasiat sama ada dinikmati secara panas atau sejuk. Kini, siri minuman ini boleh didapati di semua cawangan Richiamo Coffee.

 

“Kami amat teruja dapat bekerjasama dengan Good Virtues Co.–sebuah jenama yang berkongsi semangat kami dalam mencipta sesuatu yang berteraskan nilai tempatan,”menurut Dato’ Muhamad Zamry, Pengarah Urusan Richiamo Coffee Sdn Bhd.“Sebagai jenama kopi pertama di Malaysia yang memperkenalkan minuman berasaskan Habbatus Sauda, kolaborasi ini merupakan satu penanda aras bagi kami–menampilkan bahan yang dikenali dengan penuh kebaikan dan manfaatnya, terutama dalam kalangan muslim. Dengan adanya kerjasama ini, kami berharap dapat menyampaikan rasa keselesaan dan keakraban dengan cara baharu–menggabungkan kecantikan, kesihatan dan rasa dalam setiap cawan untuk dinikmati setiap momen kehidupan seharian.”

Good Virtues Co. boleh didapati secara eksklusif di lebih 700 cawangan Watsons seluruh Malaysia sejak 10 tahun lalu, menjadikannya salah satu jenama pilihan Halal Clean Beauty dalam kalangan generasi muda wanita Muslim. Watsons Malaysia kini terus menjadi rakan kongsi jualan yang dipercayai dan penting buat Good Virtues Co., dengan kehadiran yang kukuh di pasaran dan menyediakan pelbagai pilihan produk kecantikan serta penjagaan diri yang mesra pengguna.

Good Virtues Co., Richiamo Coffee dan Watsons Malaysia bersatu dalam kolaborasi ini dengan matlamat bersama memperkenalkan Habbatus Sauda dengan cara dari dalaman dan luaran. 

Untuk maklumat lanjut, boleh layari www.goodvirtuesco.com dan ikuti juga laman media sosial di Instagram dan Tiktok @goodvirtuesco

#GoodVirtuesCoXRichiamoCoffee #AComboThatClicks #Watsonsmy

Jumaat, 31 Januari 2025

Syurga Makanan Laut Segar dan Sedap di Wira Seafood Ikan Bakar, Selangor

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera...

Alhamdulillah... Akhirnya mood nak mengarang di blog ni dah kembali lagi. Kali ni LeYa nak kongsi lagi tempat makan menarik sekitar Selangor. Ke mana LeYa terjah? Port seafood ikan bakar terbaik yang korang boleh cuba ada di Wira Seafood Ikan Bakar, Taman Sri Gombak, Batu Caves, Selangor

Menariknya kat sini korang memang akan dikelilingi dengan makanan laut yang cukup segar dan paling penting saiznya pun besar-besar. Baru puas hati weyyyhhh!!! Memang sangat-sangatlah teruja tengok ikan, udang, sotong, ketam dia yang besar-besar tu. Suasana restoran dia pun cukup selesa, kemas dan lengkap segala kelengkapan seperti surau, tempat parking kereta yang luas. Pendek kata, memang tak rugi lah singgah makan kat sini.

Lokasi yang cukup strategik, tetapi agak tersorok sedikit ke dalam. Hanya dengan menggunakan aplikasi Google Maps atau Waze, korang dah boleh je jumpa restoran ni.


Dengar cerita sebenarnya, Wira Seafood Ikan Bakar ni dah pun menjadi bualan ramai di media sosial dan sangat viral. Cuma LeYa je yang baru berkesempatan jumpa restoran ni. Ternyata bila sampai sahaja di restoran ni LeYa terkesima tengok hidangan seafood dia yang segar-segar dan banyak. 

So... apa tunggu lagi? Teruslah buat pesanan dengan masakan yang enak-enak untuk dinikmati. Lagipula waktu tu LeYa sedang berpuasa. Sedang elok lah tu dapat menikmati juadah berbuka puasa yang sedap dan segar. 

Okay... Jom tengok menu apa yang LeYa order untuk juadah berbuka puasa LeYa ketika itu. 

 

Kali ni LeYa memilih Ikan Jenahak masak stim. Ternyata ikan yang dihidangkan tu sedap, manis dan segar. Incik suami pula menambah lauk Udang Masak Salted Egg manakala anak dara LeYa memilih menu favourite nya iaitu Tomyam Ayam. Menu tambahan lain Sayur Kailan Ikan Masin dan Kerang Rebus. Dilawan pula dengan Jus Apple, perrggghhhh memang terangkat brooo... Sedap!!!

Peminat tomyam macam anak dara Leya pun cakap kuah tomyam dia sangat sedap dan pekat. Memang perfecto! Selain seafood dan tomyam, menu masakan panas lain juga boleh korang dapati di sini. Jadi, korang boleh lah buat pilihan menu juga. 


Selain itu, di Wira Seafood Ikan Bakar ini juga korang akan disajikan dengan ruangan untuk menyambut pelbagai majlis seperti majlis hari lahir, majlis perjumpaan, hari keluarga, majlis perpisahan dan sebagainya. Jadi, korang bolehlah membuat tempahan awal dahulu untuk mendapatkan tempat dan tidak perlu nak tunggu lama.

Yang paling best, korang mesti tak percaya dengan harga yang ditawarkan sangatlah murah dan berbaloi. Dengan suasana restoran yang cantik, kemas, teratur dan makanan laut yang sedap dan segar, korang patut singgah dan rasai keenakan di sini. 


Untuk maklumat lanjut, boleh hubungi yang tertera :

Alamat
No 18 & 19, Jalan SG 1/10, Taman Sri Gombak Batu Caves, Selangor

No Telefon
+6012 411 1304

Facebook
Wira Seafood Ikan Bakar

Instagram
@WiraSeafood

Khamis, 30 Januari 2025

Buffet Ramadan 2025 : From Kampung Street to Jalan Ampang di Cornerstone IPC

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera...

Ramadan 2025 kembali lagi! Rasa sekejap sahaja masa berlalu. Pejam celik pejam celik dah nak berpuasa semula. Korang dah habis ganti puasa ke belum tu? Kalau belum baik cepat-cepat ganti ya. Hehehe... 

Ok lah... back to story... Kali ni LeYa dengan berbesar hatinya nak kongsi dengan korang semua tentang salah satu port berbuka puasa menarik yang terdapat di ibu negeri kita iaitu Kuala Lumpur. Lokasinya berada di Cornerstone IPC, Jalan Ampang.

BUFFET RAMADAN 2025: FROM KAMPUNG STREET TO JALAN AMPANG

Sempena bulan Ramadan yang mulia ini, sudah tentu seluruh umat Islam akan berkumpul seisi keluarga mahupun rakan-rakan untuk berbuka puasa. Selain dari melaksanakan ibadah puasa, ia juga dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim sesama keluarga. Jadi, ayuh kita sama-sama raikannya!

Suri Catering & Event Services dan Merindu Savior Events & Management yang telah bekerjasama hampir 10 tahun dalam perniagaan acara dan majlis telah mencetuskan Buffet Ramadan 2025 dengan temanya From Kampung Street to Jalan Ampang 2.0. Ini seterusnya menjadikan lokasi wajib yang korang patut cuba jika berada di Kuala Lumpur.

Duo gabungan Zaza Sabran, Pengasas Merindu Savior Events & Management dan Ahmad Anas B. Mustafa Kameel, Ketua Pegawai Eksekutif Suri Catering & Event Services menjadikan pengalaman pengunjung untuk berbuka puasa dengan ledakan gastronomi menerusi seleksi menu dalam suasana eksklusif.

Okay... Pasti ramai tertanya-tanya apakah menu menarik yang mereka tampilkan di Cornerstone IPC? Bertepatan dengan tema, konsep, menu dan dekorasi From Kampung Street to Jalan Ampang, terdapat lebih 150 jenis hidangan tradisional Melayu dari seluruh negeri. Antara menu yang ditawarkan kepada pengunjung dan merupakan sajian signature adalah Gulai Kawah, Lauk Pauk Ala Kampung seperti Itik Salai Masak Lemak Cili Api, Ikan Pekasam, Tempoyak Daun Kayu, Menu Warisan seperti Lempeng, Ubi Kayu Rebus dan banyak lagi.



Menu kampung yang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas ini dihasilkan oleh barisan chef berpengalaman dan mempunyai air tangan yang mempu menyempurnakan buka puasa korang.

Tidak ketinggalan juga bagi peminat pemanis mulut pasti akan dapat mengakhiri sajian korang dengan Aneka Dessert, Kuih Muih, Bubur dan semangkuk ABC yang enak. Paling istimewa minuman panas dia iaitu Teh Tarik. Memang terbaik dan sedap!



Lokasi yang strategik untuk pengalaman berbuka puasa yang unik di Cornerstone IPC, Jalan Ampang menjadi pilihan kerana lokasinya yang berada di tengah bandaraya Kuala Lumpur. Ia pasti dapat memberikan peluang kepada warga kota yang merindukan makanan asal usul mereka dengan menikmati hidangan tradisional di sini.






HARGA BUFFET RAMADAN 2025: CORNERSTONE IPC JALAN AMPANG

Buffet Ramadan 2025 - From Kampung Street to Jalan Ampang 2.0 menawarkan tawaran sebanyak 

  • KANAK-KANAK : RM49.90 (berusia 6 tahun - 12 tahun)
  • WARGA EMAS : RM69.00
  • DEWASA RM129.90
Selain itu, Merindu Savior dan Suri Catering telah melancarkan harga promosi menarik sebanyak RM103.90 kepada pengunjung yang membuat tempahan awal sebelum 28 Februari 2025.

Jadi, jangan lepaskan peluang untuk menikmati hidangan gabungan tradisi, rasa dan kreativiti yang sempurna di Buffet Ramadan 2025 - From Kampung Street to Jalan Ampang 2.0.

 

Untuk pertanyaan lanjut mengenai tempahan Ramadan, boleh hubungi :

ABDUL MUTALIB B. ABDUL SHUKOR | +6018-2255 465