Ahad, 8 November 2026

Makan-Makan di MOWLA Cendol @ Gombak – Port Menarik Untuk Peminat Cendol!

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera...

Sebelum tu LeYa nak ucapkan Selamat Hari Deepavali kepada yang meraikannya. Ok... Hujung minggu ni LeYa nak kongsikan satu lagi tempat makan menarik yang korang boleh masukkan dalam senarai port makan-makan korang, iaitu MOWLA Cendol yang terletak di Gombak.



Sesekali keluar dan cuba tempat makan baharu memang seronok. Bukan sekadar nak mengisi perut, tetapi inilah masanya untuk menikmati suasana santai sambil meluangkan masa bersama keluarga dan insan tersayang.

Ok korang... LeYa pasti kalau sebut sahaja cendol, mesti ramai yang terus terbayangkan semangkuk cendol yang sejuk, ais yang dikisar halus, santan yang lemak berkrim serta gula Melaka yang manis harum. Memang cukup menyelerakan lebih-lebih lagi kalau cuaca panas!

Singgah MOWLA Cendol @ Gombak

Kadang-kadang kita tak perlukan hidangan yang terlalu mewah untuk menikmati waktu makan bersama keluarga atau kawan-kawan. Cukup sekadar dapat duduk santai, menikmati makanan kegemaran dan bersembang sambil mengisi masa lapang. 

Bagi LeYa, aktiviti makan-makan macam inilah antara perkara kecil yang mampu mencipta kenangan manis. Tak perlu tempat yang terlalu mewah, asalkan makanan sedap dan dapat menikmati masa bersama-sama, itu pun sudah cukup menggembirakan. Itulah antara sebab seronoknya aktiviti makan-makan begini.

Cendol - Pencuci Mulut Kegemaran Ramai

Bagi peminat cendol, hidangan ini memang antara pencuci mulut yang sukar ditolak. Gabungan rasa manis, lemak dan tekstur cendol yang kenyal menjadikan setiap suapan terasa cukup menyegarkan. Hari tu, LeYa memilih untuk menikmati Cendol Jagung. Manakala Encik Suami, Mr. H memilih Cendol Special dan anak dara pula dengan Cendol Pulut.

Cendol Jagung untuk LeYa

Selain itu, kami juga ada memesan makanan lain seperti Mi Kari dan Tauhu Bakar.

Mi Kari buat Encik Suami

Cendol yang dipesan tadi memang sangat sesuai dijadikan pencuci mulut selepas menikmati hidangan utama ataupun sekadar singgah untuk menikmati sesuatu yang sejuk pada waktu petang.


Tauhu Bakar kongsi makan LeYa dan anak dara

Laksa Telur Sarang

Oh ye! Kalau tak salah LeYa Laksa Telur Sarang ni antara makanan hot mereka. Kalau berkesempatan singgah lagi nanti boleh lah try. Perut LeYa dah kekenyangan sangat. Jadi tak mampu nak masuk menu lain lagi.

Kalau korang berada di Gombak dan sekitarnya, bolehlah cuba singgah ke MOWLA Cendol ni. Mana tahu, mungkin korang juga akan jumpa menu kegemaran sendiri di sini!

Secara keseluruhannya, singgah makan-makan di MOWLA Cendol @ Gombak menjadi salah satu aktiviti santai yang menyeronokkan. Sesekali bolehlah masukkan tempat ini dalam senarai destinasi makan-makan korang apabila berada di sekitar Gombak.

Apa yang penting, nikmati setiap momen dan jangan lupa luangkan masa bersama keluarga serta insan tersayang.

Jumpa lagi dalam perkongsian makan-makan LeYa yang seterusnya.

Jumaat, 6 November 2026

Visit Selangor Year 2026: Tourism Selangor Perluas Promosi Hingga ke Tokyo

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera...

Tourism Selangor terus memperluaskan promosi pelancongan negeri Selangor ke pasaran antarabangsa menerusi program Surprising Selangor: Asia 2026 Sales & Networking Programme Series 3 - Japan, bersempena Malaysia Fair 2026 di Tokyo.

Program ini bertujuan memperkenalkan Selangor kepada lebih ramai pelancong Jepun, selain mengukuhkan kerjasama dengan pemain industri pelancongan antarabangsa bagi menyokong kempen Visit Selangor Year 2026.

Diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Chua Yee Ling, pelbagai pertemuan dan sesi jaringan perniagaan diadakan bersama agensi pelancongan serta syarikat Jepun, termasuk Mitsui Fudosan dan Mitsui Shopping Park Lalaport. Kerjasama ini membuka peluang untuk pelaksanaan kempen promosi dan pakej pelancongan yang lebih menarik.

Menariknya, pengunjung Malaysia Fair 2026 Tokyo turut berpeluang mengenali keunikan Selangor melalui pelbagai aktiviti interaktif seperti:

  • Tourism Passport & Stamp Collection – Mengumpul cop kenangan daripada reruai pelancongan.

  • Pengalaman Pelancongan VR – Meneroka tarikan menarik Selangor secara maya.

  • Pakaian Tradisional Malaysia – Mengenali kepelbagaian budaya melalui pengalaman memakai pakaian tradisional.

  • Pameran Gastronomi Malaysia – Menikmati dan mengenali pelbagai hidangan serta makanan tradisional Malaysia.

 

Sebagai negeri yang menempatkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Selangor mempunyai budaya tarikan pelancongan yang boleh diterokai termasuk keindahan alam semula jadi, warisan budaya, makanan tempatan, pusat beli belah, aktiviti keluarga dan pelancongan kesihatan.

Menurut Chua Yee Ling, penyertaan dalam program ini diharap dapat menarik lebih ramai pelancong Jepun untuk mengenali dan merasai sendiri keunikan Selangor.

Usaha ini membuktikan komitmen Tourism Selangor dalam memperkukuhkan kedudukan Selangor sebagai salah satu destinasi pelancongan pilihan di Malaysia, khususnya menjelang Visit Selangor Year 2026.