Khamis, 30 Julai 2026

Cerita Hari Ini... Telur Masak Lemak Cili Api

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera...

Awal pagi LeYa terjaga untuk ke tandas sebab sakit perut. Alih-alih tengok LeYa dah datang bulan. Pakej senggugut yang memang tahap guling macam tenggiling atas katil. Maka, jam 7.00 pagi LeYa pun memberitahu boss dan team untuk ketidakhadiran LeYa ke pejabat hari itu.

Jam 8.45 pagi, En. Suami bawa LeYa ke klinik berdekatan untuk check-up, ambil ubat dan sijil cuti sakit (MC). Selesai klinik, LeYa dibawa pulang ke rumah untuk berehat dan En. Suami terus keluar mencari rezeki buat kami sekeluarga.

LeYa makan roti Gardenia 2 keping untuk alas perut sebelum makan ubat.

Selesai sarapan pagi dan makan ubat yang disyorkan doktor, LeYa berehatlah di atas sofa depan TV. Tahu-tahu dah hanyut sampai ke bumi Norway... Hehehe.... Tengok jam dah pun pukul 2.00 petang. Terfikir lah untuk masak buat En Suami pulang dari kerja. Minta anak dara untuk masak nasi sementara LeYa mencari tenaga untuk masak lauk makan malam.

TELUR MASAK LEMAK CILI API. Menu simple dari LeYa untuk petang ini. Itupun sebab tengok telur ayam sahaja yang ada dalam peti ais. Kami belum shopping barang dapur lagi. Tapi it's okay . Janji ada lauk untuk dimasak dan perut kami sekeluarga pun kenyang. 

Kebetulan ada pula ulam timun dan tomato. Jadi LeYa tambahkan sekali sebagai menu tambahan untuk dinikmati bersama dinner ini.

RESIPI TELUR MASAK LEMAK CILI API

Bahan-Bahan:-

  • 4 biji telur ayam
  • 10-15 biji cili api (blender)
  • 1 inci kunyit hidup (blender)
  • 1 cawan santan pekat
  • 1/2 cawan air
  • 1 keping asam keping
  • Garam secukup rasa 

  • Cara Memasak:-

  • Satukan bahan yang diblender tadi (cili api dan kunyit), santan, dan air di dalam periuk.
  • Masak atas api sederhana sambil kacau selalu supaya santan tidak pecah minyak berketul.
  • Masukkan asam keping dan perasakan dengan garam.
  • Apabila kuah mula mendidih, pecahkan telur satu persatu perlahan-lahan ke dalam kuah.
  • Biar telur masak dan jangan dikacau terlalu kerap supaya kuning telur tidak hancur.
  • Setelah telur keras dan kuah mendidih, tutup api dan sedia dihidang.


  • Siap masak rasa rajin sikit petang ni, LeYa share kan lah juga resipi. Alhamdulillah... sakit bukan penghalang untuk menyediakan hidangan buat keluarga. Nak pedas lagi, boleh tambah cili api. Ikutlah gaya dan citarasa korang nak masak macam mana. Ni cara LeYa masak. 

    Moga Allah berikan kesembuhan buat LeYa hari ini. Terima kasih juga buat En. Suami yang sentiasa ada dan memahami diri ini. Moga Allah pelihara hubungan kami dari segala hasutan dan bisikan syaitan. Aaminnn...

    Selasa, 28 Julai 2026

    Citrawarna 2026 Kembali Menyemarakkan Warna-Warni Warisan dan Budaya Malaysia

    Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera...

    Hampir 7 tahun, Citrawarna 2026 kembali memeriahkan Dataran Merdeka sebagai salah satu acara utama Tourism Malaysia sempena Kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026). Acara Citra Perarakan (Colours of Parade) menampilkan seramai 3,500 penari yang mewakili 13 negeri dan tiga Wilayah Persekutuan serta masyarakat pelbagai budaya di negara ini.

    Penganjuran Citrawarna 2026 oleh Tourism Malaysia dengan sokongan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Warisan Kuala Lumpur, Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan (JKKN), Istana Budaya dan Muzium Tekstil Negara mencerminkan komitmen bersama untuk mempromosikan pelancongan seni, budaya dan warisan Malaysia kepada pengunjung tempatan dan antarabangsa.

    Acara penuh gilang-gemilang itu turut dihadiri oleh YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia serta YB Dato Sri Tiong King Sing, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia. Kehadiran kedua-dua tetamu kehormat ini mencerminkan kepentingan Citrawarna sebagai satu acara pelancongan utama negara dalam menyokong VM2026.

    Bersempena dengan Citra Perarakan, para pengunjung dissajikan dengan peragaan busana tradisional, persembahan muzik dan tarian serta pelbagai pertunjukan kebudayaan oleh kontinjen yang mewakili kesemua 13 negeri dan tiga Wilayah Persekutuan, bersama-sama masyarakat pelbagai budaya Malaysia. Persembahan ini turut mencerminkan tradisi, kisah dan identiti yang menjadi asas kepada pembentukan jati diri masyarakat berbilang kaum di negara ini.


    Citrawarna 2026 turut berjaya menarik lebih 700 pelancong antarabangsa menerusi pakej pelancongan yang dirangka khas, melibatkan pelancong dari negara China, India, Mauritius, Jepun, Vietnam, Indonesia, Singapura, Kazakhstan, Itali, Belanda, Switzerland dan Perancis. Penyertaan mereka mencerminkan minat antarabangsa terhadap pengalaman pelancongan budaya Malaysia, di samping memberi peluang kepada para pengunjung untuk merasai sendiri warisan, tradisi dan hospitaliti negara.

    Sepanjang tiga hari penganjurannya, Citrawarna 2026 digerakkan menerusi empat komponen utama yang menjadi nadi sambutan seperti Citra Perarakan (Colours of Parade), Citra Rasa (Colours of Flavour), Citra Budaya (Colours of Culture) dan Citra Seni (Colours of Arts). Acara ini menampilkan lebih daripada 70 gerai makanan dan minuman, 20 reruai aktiviti kebudayaan serta 10 reruai seni dan kraf tangan, di samping persembahan, demonstrasi warisan, permainan tradisional dan pengalaman interaktif.




    Penghargaan terhadap budaya dapat dipupuk melalui penghayatannya. Selain persembahan budaya Malaysia di atas pentas menerusi Citra Perarakan, Citrawarna 2026 juga menggalakkan pengunjung untuk meneroka secara langsung elemen kebudayaan negara melalui seni canting batik, anyaman ketupat, demonstrasi juadah tradisional serta aktiviti interaktif lain yang dikendalikan oleh para artisan dan penggiat budaya. Pengalaman ini membantu generasi muda menghayati warisan mereka, di samping meningkatkan pemahaman pengunjung antarabangsa terhadap kekayaan tradisi serta kepelbagaian budaya di Malaysia.

    Di samping itu, para pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan kontemporari oleh barisan artis tempatan seperti Wani Kayrie, Bulan Asyraff, Dr Soo Wincci, Santesh Kumar, Ernie Zakri dan Aina Abdul serta Kumpulen Balle-Balle.


    Citrawarna 2026 turut mengalu-alukan peserta program Mega Fam Tourism Malaysia, menyediakan peluang kepada media antarabangsa, wakil industri pelancongan dan pencipta kandungan untuk merasai sendiri pengalaman kebudayaan Malaysia sambil menyokong promosi VM2026 di pasaran antarabangsa.

    Acara ini berlangsung sehingga 26 Julai 2026 di Dataran Merdeka dengan menampilkan pengisian merangkumi keempat-empat pengalaman utama, termasuk persembahan, aktiviti kulinari, demonstrasi seni dan kraf tangan serta aktiviti warisan interaktif.