Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera...
Tourism Selangor terus mengorak langkah mempromosikan destinasi pelancongan Negeri Selangor menerusi penyertaan dalam program "Jom Ngopi - Tourism Malaysia Network Sesh Sesi 1/2025: Surprising Selangor!".

“SURPRISING SELANGOR!” JADI TUMPUAN DALAM SESI PERTAMA JOM NGOPI – TOURISM MALAYSIA NETWORK SESH
Program santai berimpak tinggi ini menghimpunkan lebih 300 tetamu yang terdiri daripada wakil-wakil kementerian, agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi serta pemain industri pelancongan dari seluruh negara. Sesi ini memberi tumpuan kepada Negeri Selangor sebagai destinasi pelancongan utama dengan mengetengahkan tema "Surprising Selangor!", sekaligus memperkenalkan kempen pelancongan domestik 'Wah! Selangor Kan Ada!' sempena Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS2025).
TMS2025 bukan sekadar slogan pelancongan. Ia adalah inisiatif untuk memperkukuhkan kerjasama strategik antara Tourism Selangor, Tourism Malaysia serta penggiat industri pelancongan dalam memperkenalkan Negeri Selangor ke mata masyarakat Malaysia dan dunia. Penganjuran sesi ini bukan sahaja membuka ruang untuk mempromosi produk dan destinasi pelancongan baharu di Selangor, malah turut mewujudkan jaringan komunikasi yang kukuh antara semua pemegang taruh industri.

Terdapat 20 tapak pameran disediakan yang mana menampilkan pelbagai segmen pelancongan seperti perhotelan, taman tema, agro dan eko-pelancongan, gastronomi serta budaya dan warisan. Antara penyertaan di bawah Pavilion Selangor termasuklah GL Play by Gamuda Land, Sky Mirror Kuala Selangor, Rumah Hutan Terapi Alam Bonda Rozita, Chocolate Museum, Farm Fresh, Heritaste Jenjarom dan banyak lagi.


Selain pameran, turut diadakan sesi pembentangan produk pelancongan, cabutan bertuah dengan hadiah pakej pelancongan menarik serta persembahan istimewa lagu rasmi kempen "Surprising Selangor" dan persembahan istimewa oleh Naim Danial.

Penganjuran ini selari dengan strategi memacu pertumbuhan pelancongan domestik dan antarabangsa, di sampin meningkatkan kesedaran terhadap keunikan serta kepelbagaian produk pelancongan yang ditawarkan Negeri Selangor menjelang Tahun Melawat Selangor 2025.
