Jumaat, 16 Jun 2023

Review Filem Komedi Vik2Ria Secret

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera...

Dunia perfileman tempatan semakin hari semakin rancak. Mana tidaknya, banyak filem tempatan sudahpun ditayangkan di pawagam. Terbaru, filem komedi "Vik2Ria Secret" baru sahaja berlabuh di pawagam Malaysia. LeYa berkesempatan menghadiri majlis Tayangan Perdana & Sidang Media filem ini yang telah diadakan di TGV Cinema Suria KLCC baru-baru ini. Kenapa LeYa terpanggil dan berminat untuk hadir ke acara ini? Jawapannya adalah kerana LeYa diberitahu filem ini dijayakan bersama Metrowealth International Group (MIG), MDEC dan penampilan semula pengarah AR Badul yang telah lama berundur dari arena filem. 

Untuk pengetahuan korang lagi, Producer Richard Ung yang telah lama bekerjasama dengan AR Badul dalam penerbitan Program TV drama dan telemovie sejak Badul berundur dari pentas Filem era 90-an. AR Badul kemudiannya diminta pihak syarikat untuk mengarahkan Siri Animasi walaupun tanpa pengalaman. Ternyata AR Badul berjaya mengarah lebih dari 100 episod x 30 minit siri animasi untuk siaran TV.

Vik2Ria Secret merupakan filem pertama yang mendapat Geran DKD Finas oleh pihak penerbit selepas lebih dari 10 filem telah diproduksi oleh Richard. Penggambaran telah dijalankan sejurus tamat PKP di mana ia bertujuan memberi peluang pekerjaan kepada artis dan crew seperti yang disarankan pihak Finas. Vik2Ria Secret sudah dipelankan penerbitannya hasil idea dari Tuan Ata, pegawai khas mantan pengerusi Finas, Allahyarham Dato Kushairi yang memberi tajuk 'Bra Merah' dan ditukar kepada Vik2Ria Secret.


Filem
Vik2Ria Secret

Pengarah
AR Badul

Genre
Komedi

Pelakon
Ropie, Annie Arifin, Keena Mentor, Fiza Halim, AR Badul, Man Raja Lawak, Wan Gegau

Penerbit
Metrowealth International Group

Sinopsis Filem Vik2Ria Secret

Viki (anak yatim piatu) pergi ke Kampung Horni dalam kegembiraan tetapi perjalanan dia penuh dengan dugaan. Dia bertemu dengan Ria dan mereka menjadi kawan karib sehingga membuka butik pakaian dalam wanita yang mereka namakan "Vik2Ria Secret". Tok KK, ketua kampung flamboyant dan Cross Dresser mahu bertanding sebagai wakil rakyat (YB) kawasan itu dan pesaingnya Zamri. Peluang cerah timbul kepada Zamri dengan kehadiran Viki dan pembukaan butik itu. Pelbagai kontroversi buat Tok KK semakin bertindak tak rasional dan menimbulkan kemarahan kepada Viki yang rasa kurang senang mengapa dia dan butiknya menjadi sasaran Tok KK yang kononnya perbuatan mereka mempunyai agenda yang merosakkan akhlak orang kampung.

Pembukaan Vik2Ria Secrets mengundang gelagat lucu kepada penduduk Kampung Horni dan disambut baik. Ini buat Tok KK rasa lebih gelisah kerana hasrat dia bagi menghindarkan Viki terus tinggal di kampung makin susah kerana Viki mungkin merupakan anaknya hasil hubungan intim dengan pelayan bar tempat dia menyanyi sebagai "paperdoll" waktu dulu-dulu. Bagi mengelakkan perkara anak luar nikahnya diketahui yang boleh merosakkan imejnya, kuncu-kuncu dia telah bertindak sabotaj butik Vik2Ria Secrets tanpa pengetahuannya. Banyak insiden lucu berlaku akibat dari tindakan sebegitu terutama sekali Saad, pembantu Tok KK sehingga Viki hampir menyerah kalah dan tinggalkan Kampung Horni. Apapun air yang dicincang takkan putus dan Tok KK akhirnya terima kenyataan Viki adalah anaknya dan semua perancangan buruk Zamri terbongkar. Tok KK tetap diterima orang kampung sebagai YB. 


Berbaloi Tak Tengok? Review Filem Vik2Ria Secret

Sejujurnya LeYa bukanlah peminat tegar filem Malaysia, namun bukanlah bermaksud LeYa tidak suka menonton filem tempatan. Senang cerita LeYa boleh pilih bilamana nak tonton filem. LeYa membuat pilihan untuk menonton filem ini kerana memikirkan asyik-asyik filem cinta ataupun kisah orang kaya. Jadi, LeYa berfikiran dan berpendapat untuk kali ini pergi menonton filem komedi dan lihat hasil positif filem ini.

Kita mula dengan ulasan positif dulu lah kan. Filem Vik2Ria Secret cukup santai dan plot twist seperti sudah dijangka. Gandingan Ropie dan Man Raja Lawak memang memainkan watak mereka dan menghidupkan suasana dalam filem tersebut. Terus terang LeYa katakan tanpa watak mereka berdua, filem ini pasti bosan. Namun, tidaklah bermaksud pelakon lain tidak bagus. Pada LeYa, kesemua pelakon dalam filem ini telah memberi komitmen yang terbaik.

Yang membuatkan LeYa kurang suka tentang filem ini ialah bilamana watak-wataknya bercakap agak sedikit menjerit berbanding bercakap biasa membuatkan telinga LeYa bingit. Selain itu, penamaan tajuk filem dan Kampung Horni juga agak menimbulkan kontroversi. Cukuplah sekadar apa yang LeYa cuba isukan sedikit kekurangan pada filem ini. Ini kerana LeYa bukanlah pakar dan pada pandangan LeYa sendiri setiap pengarahan filem itu mempunyai maksudnya tersendiri.

Jadi kepada korang yang belum tengok dan ingin santai serta bergelak tawa, apa kata pergi tonton Filem Vik2Ria Secret di pawagam berdekatan korang sekarang! Jangan lupa tonton tau!

0 beri komen di sini:

Catat Ulasan

Untuk sebarang pertanyaan, pengiklanan, tajaan, kolobarasi dan jemputan boleh hubungi LeYa melalui email anagurlz87@gmail.com