Sabtu, 17 Jun 2023

Konsert Rendy Pandugo Live in Kuala Lumpur Lakar Kenangan Terindah Buat Peminat di Malaysia!

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera...

LeYa sangat meminati muzik. Ada sahaja persembahan tidak kira berskala besar mahupun secara kecilan, LeYa akan cuba untuk menghadirkan diri ke situ. Baru-baru ini, LeYa berkesempatan menghadirkan diri ke Konsert Rendy Pandugo Live in Kuala Lumpur yang berlangsung di Gudang Space @ The Paddock, Petaling Jaya, Selangor.


Siapa Rendy Pandugo ni?

Rendy Pandugo sendiri tidak asing lagi dalam kalangan peminat muzik Indonesia. Penyanyi berusia 38 tahun ini sudah mencetak namanya dalam belantika muzik sejak tahun 2012. Namanya sudah cukup popular jika mengingatkan kembali betapa enaknya nyanyian lagu fenomena milik Sheila On 7, Sebuah Kisah Klasik dinyanyikan dalam versinya tersendiri. Malah hit Dewa 19, Lagu Cinta yang menyaksikan kolaborasi dengan rakan seperjuangan iaitu Afgan dan Isyana juga dilantunkan dengan cukup indah dalam versi mereka bertiga.

Bagi penggemar Rendy, lagu-lagu berbahasa Inggeris miliknya seperti Edge Of the Heart, 7 Days, I Don't Care dan Never Let Go juga bukan untaian asing bagi mereka.


Konsert yang berlangsung di Gudang Space @ The Paddock, Petaling Jaya ini dimulakan dengan persembahan pembukaan oleh Talitha dan Iqbal M. Mana mungkin penonton akan berdiam diri kerana kesemua lagu dibawakan adalah antara lagu hit yang berjaya mencuri peminat mereka. Malam itu, memang kelihatan meriah dan terdapat beberapa kejutan buat penonton yang hadir.



Usai Talitha dan Iqbal M membuat persembahan, Rendy Pandugo melangkah masuk ke pentas membawakan lagu Secret. Histeria sekali satu ruang gudang. Sebanyak 16 lagu telah dibawakan beliau pada malam itu yang rata-rata adalah lagu popular dari Rendy. 




Sementara itu, pihak Nusafest yang dibawakan oleh Shiraz Projects menyifatkan kesempatan membawa Rendy Pandugo ke Malaysia sebagai peluang yang baik dalam usaha membantu menyalurkan muzik-muzik segar dan boleh dikomersilkan di tanah air dengan lebih meluas.


Konsert Rendy Pandugo Live in Kuala Lumpur 2023 ternyata melakar kenangan paling indah terutamanya kolaborasi bersama Talitha menjadi kenyataan dan amat dinantikan para peminat muzik di Malaysia, Indonesia dan Brunei. 

 

0 beri komen di sini:

Catat Ulasan

Untuk sebarang pertanyaan, pengiklanan, tajaan, kolobarasi dan jemputan boleh hubungi LeYa melalui email anagurlz87@gmail.com