Jumaat, 6 November 2026

Visit Selangor Year 2026: Tourism Selangor Perluas Promosi Hingga ke Tokyo

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera...

Tourism Selangor terus memperluaskan promosi pelancongan negeri Selangor ke pasaran antarabangsa menerusi program Surprising Selangor: Asia 2026 Sales & Networking Programme Series 3 - Japan, bersempena Malaysia Fair 2026 di Tokyo.

Program ini bertujuan memperkenalkan Selangor kepada lebih ramai pelancong Jepun, selain mengukuhkan kerjasama dengan pemain industri pelancongan antarabangsa bagi menyokong kempen Visit Selangor Year 2026.

Diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Chua Yee Ling, pelbagai pertemuan dan sesi jaringan perniagaan diadakan bersama agensi pelancongan serta syarikat Jepun, termasuk Mitsui Fudosan dan Mitsui Shopping Park Lalaport. Kerjasama ini membuka peluang untuk pelaksanaan kempen promosi dan pakej pelancongan yang lebih menarik.

Menariknya, pengunjung Malaysia Fair 2026 Tokyo turut berpeluang mengenali keunikan Selangor melalui pelbagai aktiviti interaktif seperti:

  • Tourism Passport & Stamp Collection – Mengumpul cop kenangan daripada reruai pelancongan.

  • Pengalaman Pelancongan VR – Meneroka tarikan menarik Selangor secara maya.

  • Pakaian Tradisional Malaysia – Mengenali kepelbagaian budaya melalui pengalaman memakai pakaian tradisional.

  • Pameran Gastronomi Malaysia – Menikmati dan mengenali pelbagai hidangan serta makanan tradisional Malaysia.

 

Sebagai negeri yang menempatkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Selangor mempunyai budaya tarikan pelancongan yang boleh diterokai termasuk keindahan alam semula jadi, warisan budaya, makanan tempatan, pusat beli belah, aktiviti keluarga dan pelancongan kesihatan.

Menurut Chua Yee Ling, penyertaan dalam program ini diharap dapat menarik lebih ramai pelancong Jepun untuk mengenali dan merasai sendiri keunikan Selangor.

Usaha ini membuktikan komitmen Tourism Selangor dalam memperkukuhkan kedudukan Selangor sebagai salah satu destinasi pelancongan pilihan di Malaysia, khususnya menjelang Visit Selangor Year 2026.

Khamis, 30 Julai 2026

Cerita Hari Ini... Telur Masak Lemak Cili Api

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera...

Awal pagi LeYa terjaga untuk ke tandas sebab sakit perut. Alih-alih tengok LeYa dah datang bulan. Pakej senggugut yang memang tahap guling macam tenggiling atas katil. Maka, jam 7.00 pagi LeYa pun memberitahu boss dan team untuk ketidakhadiran LeYa ke pejabat hari itu.

Jam 8.45 pagi, En. Suami bawa LeYa ke klinik berdekatan untuk check-up, ambil ubat dan sijil cuti sakit (MC). Selesai klinik, LeYa dibawa pulang ke rumah untuk berehat dan En. Suami terus keluar mencari rezeki buat kami sekeluarga.

LeYa makan roti Gardenia 2 keping untuk alas perut sebelum makan ubat.

Selesai sarapan pagi dan makan ubat yang disyorkan doktor, LeYa berehatlah di atas sofa depan TV. Tahu-tahu dah hanyut sampai ke bumi Norway... Hehehe.... Tengok jam dah pun pukul 2.00 petang. Terfikir lah untuk masak buat En Suami pulang dari kerja. Minta anak dara untuk masak nasi sementara LeYa mencari tenaga untuk masak lauk makan malam.

TELUR MASAK LEMAK CILI API. Menu simple dari LeYa untuk petang ini. Itupun sebab tengok telur ayam sahaja yang ada dalam peti ais. Kami belum shopping barang dapur lagi. Tapi it's okay . Janji ada lauk untuk dimasak dan perut kami sekeluarga pun kenyang. 

Kebetulan ada pula ulam timun dan tomato. Jadi LeYa tambahkan sekali sebagai menu tambahan untuk dinikmati bersama dinner ini.

RESIPI TELUR MASAK LEMAK CILI API

Bahan-Bahan:-

  • 4 biji telur ayam
  • 10-15 biji cili api (blender)
  • 1 inci kunyit hidup (blender)
  • 1 cawan santan pekat
  • 1/2 cawan air
  • 1 keping asam keping
  • Garam secukup rasa 

  • Cara Memasak:-

  • Satukan bahan yang diblender tadi (cili api dan kunyit), santan, dan air di dalam periuk.
  • Masak atas api sederhana sambil kacau selalu supaya santan tidak pecah minyak berketul.
  • Masukkan asam keping dan perasakan dengan garam.
  • Apabila kuah mula mendidih, pecahkan telur satu persatu perlahan-lahan ke dalam kuah.
  • Biar telur masak dan jangan dikacau terlalu kerap supaya kuning telur tidak hancur.
  • Setelah telur keras dan kuah mendidih, tutup api dan sedia dihidang.


  • Siap masak rasa rajin sikit petang ni, LeYa share kan lah juga resipi. Alhamdulillah... sakit bukan penghalang untuk menyediakan hidangan buat keluarga. Nak pedas lagi, boleh tambah cili api. Ikutlah gaya dan citarasa korang nak masak macam mana. Ni cara LeYa masak. 

    Moga Allah berikan kesembuhan buat LeYa hari ini. Terima kasih juga buat En. Suami yang sentiasa ada dan memahami diri ini. Moga Allah pelihara hubungan kami dari segala hasutan dan bisikan syaitan. Aaminnn...

    Selasa, 28 Julai 2026

    Citrawarna 2026 Kembali Menyemarakkan Warna-Warni Warisan dan Budaya Malaysia

    Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera...

    Hampir 7 tahun, Citrawarna 2026 kembali memeriahkan Dataran Merdeka sebagai salah satu acara utama Tourism Malaysia sempena Kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026). Acara Citra Perarakan (Colours of Parade) menampilkan seramai 3,500 penari yang mewakili 13 negeri dan tiga Wilayah Persekutuan serta masyarakat pelbagai budaya di negara ini.

    Penganjuran Citrawarna 2026 oleh Tourism Malaysia dengan sokongan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Warisan Kuala Lumpur, Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan (JKKN), Istana Budaya dan Muzium Tekstil Negara mencerminkan komitmen bersama untuk mempromosikan pelancongan seni, budaya dan warisan Malaysia kepada pengunjung tempatan dan antarabangsa.

    Acara penuh gilang-gemilang itu turut dihadiri oleh YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia serta YB Dato Sri Tiong King Sing, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia. Kehadiran kedua-dua tetamu kehormat ini mencerminkan kepentingan Citrawarna sebagai satu acara pelancongan utama negara dalam menyokong VM2026.

    Bersempena dengan Citra Perarakan, para pengunjung dissajikan dengan peragaan busana tradisional, persembahan muzik dan tarian serta pelbagai pertunjukan kebudayaan oleh kontinjen yang mewakili kesemua 13 negeri dan tiga Wilayah Persekutuan, bersama-sama masyarakat pelbagai budaya Malaysia. Persembahan ini turut mencerminkan tradisi, kisah dan identiti yang menjadi asas kepada pembentukan jati diri masyarakat berbilang kaum di negara ini.


    Citrawarna 2026 turut berjaya menarik lebih 700 pelancong antarabangsa menerusi pakej pelancongan yang dirangka khas, melibatkan pelancong dari negara China, India, Mauritius, Jepun, Vietnam, Indonesia, Singapura, Kazakhstan, Itali, Belanda, Switzerland dan Perancis. Penyertaan mereka mencerminkan minat antarabangsa terhadap pengalaman pelancongan budaya Malaysia, di samping memberi peluang kepada para pengunjung untuk merasai sendiri warisan, tradisi dan hospitaliti negara.

    Sepanjang tiga hari penganjurannya, Citrawarna 2026 digerakkan menerusi empat komponen utama yang menjadi nadi sambutan seperti Citra Perarakan (Colours of Parade), Citra Rasa (Colours of Flavour), Citra Budaya (Colours of Culture) dan Citra Seni (Colours of Arts). Acara ini menampilkan lebih daripada 70 gerai makanan dan minuman, 20 reruai aktiviti kebudayaan serta 10 reruai seni dan kraf tangan, di samping persembahan, demonstrasi warisan, permainan tradisional dan pengalaman interaktif.




    Penghargaan terhadap budaya dapat dipupuk melalui penghayatannya. Selain persembahan budaya Malaysia di atas pentas menerusi Citra Perarakan, Citrawarna 2026 juga menggalakkan pengunjung untuk meneroka secara langsung elemen kebudayaan negara melalui seni canting batik, anyaman ketupat, demonstrasi juadah tradisional serta aktiviti interaktif lain yang dikendalikan oleh para artisan dan penggiat budaya. Pengalaman ini membantu generasi muda menghayati warisan mereka, di samping meningkatkan pemahaman pengunjung antarabangsa terhadap kekayaan tradisi serta kepelbagaian budaya di Malaysia.

    Di samping itu, para pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan kontemporari oleh barisan artis tempatan seperti Wani Kayrie, Bulan Asyraff, Dr Soo Wincci, Santesh Kumar, Ernie Zakri dan Aina Abdul serta Kumpulen Balle-Balle.


    Citrawarna 2026 turut mengalu-alukan peserta program Mega Fam Tourism Malaysia, menyediakan peluang kepada media antarabangsa, wakil industri pelancongan dan pencipta kandungan untuk merasai sendiri pengalaman kebudayaan Malaysia sambil menyokong promosi VM2026 di pasaran antarabangsa.

    Acara ini berlangsung sehingga 26 Julai 2026 di Dataran Merdeka dengan menampilkan pengisian merangkumi keempat-empat pengalaman utama, termasuk persembahan, aktiviti kulinari, demonstrasi seni dan kraf tangan serta aktiviti warisan interaktif.

    Ahad, 29 Mac 2026

    Lebaran Raya 2026

    Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera...

    Selamat Hari Raya Aidilfitri buat semua rakan-rakan blogger!

    Tahun ni mesti ramai confuse sebelum pengumuman raya kan. Alhamdulillah... bila dah diumumkan meriah suasana jalan raya dengan semuanya balik kampung. Tak terkecuali juga LeYa. Tahun ni, LeYa beraya di Terengganu. Dengan keadaan cuaca yang panas, memang berpeluh juga lah LeYa ketika pusing-pusing berjalan raya rumah sanak-saudara.

    But, raya is raya. LeYa gagahkan diri juga kesana kesini sebab nak jumpa sanak-saudara pun setahun sekali je. 

    Dua Hari Menjelang Aidilfitri

    LeYa dan keluarga bertolak dari Kuala Lumpur petang lepas waktu kerja hari Rabu. Alhamdulillah, jam hanya di Genting Sempah menghala ke tol Bentong. Kemudian, traffic mulai laju terus sampai ke Terengganu. 

    Disebabkan rumah kampung dah tiada siapa yang mampu nak menjaganya, jadi adik-beradik suami decide untuk disewakan. Dan LeYa serta suami dan anak bila balik ke sana duduk di hotel mahupun homestay berdekatan. Lebih mudah dan tak perlu pening-pening nak fikir stay kat mana. Hehe...

    Keesokan harinya, sempatlah LeYa dan Encik Suami ziarah kubur Emak dan Abah.

    Cerita di Petang dan Malam Raya

    Cerita raya bermula di petang dan malam raya. Di mana sementara menunggu waktu berbuka petang tu, LeYa dan suami mencari lemang untuk dinikmati. Dan, pada sebelah malamnya pula, setelah bising dan meriah main bunga api dan mercun, En Suami dan rakan-rakan sekampungnya membuat aktiviti bakar ayam.



    Hari Raya Pertama

    Pagi 1 Syawal. Bersiaplah LeYa dan keluarga untuk meraikannya. Seawal pagi kami dah mandi dan bersolat sunat Hari Raya di masjid berdekatan. Usai itu, bersalam dan bermaaf-maafan serta bergambar di pagi raya sebelum bergerak ke rumah sanak-saudara.

     
     

    Next, kami bergerak menuju ke Dungun untuk beraya di rumah kakak no-2 En Suami. Alhamdulillah... raya di pantai timur, juadah pagi raya kebanyakannya semua Nasi Minyak. Memang lari kejap diet dan perut memang kenyang gilerrr...



    Okay... Malas LeYa nak tulis panjang-panjang. Seterusnya LeYa ke Marang, Terengganu untuk singgah rumah Abg Ju, Kak Long dan Kak Teh. LeYa letak gambar-gambar je sebagai kenangan lah ya.




    Seharian kami beraya di hari 1 Syawal tu. Memang sampai malam. Bersambung terus sampai di kawasan Batu Burok. Memang penat tapi sangat seronok dapat berkumpul ramai-ramai. 

    Hari Raya Kedua


    2 Syawal, sebelum berangkat balik dan beraya di side LeYa pula di Port Dickson, kami singgah dan ziarah dulu rumah Mak Saudara di Dungun. Kalau tak singgah memang tak kenal kan. Jadi kami beramah mesra untuk mengeratkan lagi hubungan silaturrahim. Macam biasa selesai makan, kami berbual seketika dan apa lagi gambar jangan dilupa. 


    Selesai di Dungun, kami ke Bandar Cukai. Encik Suami bertemu dengan kawannya pula. Beramah mesra seketika, dan kami pun bergerak luncur menuju ke Port Dickson, Negeri Sembilan.



    Hari Raya Ketiga

    Hari raya ketiga, kami beraya ke rumah sebelah LeYa di Rantau, Siliau dan Linggi, Negeri Sembilan.




     

    Hari Raya Keempat

    LeYa bergambar dengan keluarga, Ibu dan Ayah.


     
     

    Alhamdulillah, dapat berkumpul dengan adik-beradik, pakcik-makcik, sepupu sepapat. Tahun ni dan seperti tahun-tahun sebelumnya LeYa memang akan mengambil gambar bila beraya rumah saudara-mara. Almaklumlah untuk menghargai setiap momen dengan setiap ahli keluarga. 

    Anyway, doakan LeYa kembali menulis semula di blog ni dengan konsisten. Hehehe...

    Have a nice day and Eid Mubarak everyone! Jaga diri, minum banyak air suam dalam cuaca yang panas ni ya. Assalamualaikum dan bertemu lagi!