Memaparkan catatan dengan label Pelancongan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pelancongan. Papar semua catatan

Selasa, 28 Julai 2026

Citrawarna 2026 Kembali Menyemarakkan Warna-Warni Warisan dan Budaya Malaysia

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera...

Hampir 7 tahun, Citrawarna 2026 kembali memeriahkan Dataran Merdeka sebagai salah satu acara utama Tourism Malaysia sempena Kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026). Acara Citra Perarakan (Colours of Parade) menampilkan seramai 3,500 penari yang mewakili 13 negeri dan tiga Wilayah Persekutuan serta masyarakat pelbagai budaya di negara ini.

Penganjuran Citrawarna 2026 oleh Tourism Malaysia dengan sokongan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Warisan Kuala Lumpur, Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan (JKKN), Istana Budaya dan Muzium Tekstil Negara mencerminkan komitmen bersama untuk mempromosikan pelancongan seni, budaya dan warisan Malaysia kepada pengunjung tempatan dan antarabangsa.

Acara penuh gilang-gemilang itu turut dihadiri oleh YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia serta YB Dato Sri Tiong King Sing, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia. Kehadiran kedua-dua tetamu kehormat ini mencerminkan kepentingan Citrawarna sebagai satu acara pelancongan utama negara dalam menyokong VM2026.

Bersempena dengan Citra Perarakan, para pengunjung dissajikan dengan peragaan busana tradisional, persembahan muzik dan tarian serta pelbagai pertunjukan kebudayaan oleh kontinjen yang mewakili kesemua 13 negeri dan tiga Wilayah Persekutuan, bersama-sama masyarakat pelbagai budaya Malaysia. Persembahan ini turut mencerminkan tradisi, kisah dan identiti yang menjadi asas kepada pembentukan jati diri masyarakat berbilang kaum di negara ini.


Citrawarna 2026 turut berjaya menarik lebih 700 pelancong antarabangsa menerusi pakej pelancongan yang dirangka khas, melibatkan pelancong dari negara China, India, Mauritius, Jepun, Vietnam, Indonesia, Singapura, Kazakhstan, Itali, Belanda, Switzerland dan Perancis. Penyertaan mereka mencerminkan minat antarabangsa terhadap pengalaman pelancongan budaya Malaysia, di samping memberi peluang kepada para pengunjung untuk merasai sendiri warisan, tradisi dan hospitaliti negara.

Sepanjang tiga hari penganjurannya, Citrawarna 2026 digerakkan menerusi empat komponen utama yang menjadi nadi sambutan seperti Citra Perarakan (Colours of Parade), Citra Rasa (Colours of Flavour), Citra Budaya (Colours of Culture) dan Citra Seni (Colours of Arts). Acara ini menampilkan lebih daripada 70 gerai makanan dan minuman, 20 reruai aktiviti kebudayaan serta 10 reruai seni dan kraf tangan, di samping persembahan, demonstrasi warisan, permainan tradisional dan pengalaman interaktif.




Penghargaan terhadap budaya dapat dipupuk melalui penghayatannya. Selain persembahan budaya Malaysia di atas pentas menerusi Citra Perarakan, Citrawarna 2026 juga menggalakkan pengunjung untuk meneroka secara langsung elemen kebudayaan negara melalui seni canting batik, anyaman ketupat, demonstrasi juadah tradisional serta aktiviti interaktif lain yang dikendalikan oleh para artisan dan penggiat budaya. Pengalaman ini membantu generasi muda menghayati warisan mereka, di samping meningkatkan pemahaman pengunjung antarabangsa terhadap kekayaan tradisi serta kepelbagaian budaya di Malaysia.

Di samping itu, para pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan kontemporari oleh barisan artis tempatan seperti Wani Kayrie, Bulan Asyraff, Dr Soo Wincci, Santesh Kumar, Ernie Zakri dan Aina Abdul serta Kumpulen Balle-Balle.


Citrawarna 2026 turut mengalu-alukan peserta program Mega Fam Tourism Malaysia, menyediakan peluang kepada media antarabangsa, wakil industri pelancongan dan pencipta kandungan untuk merasai sendiri pengalaman kebudayaan Malaysia sambil menyokong promosi VM2026 di pasaran antarabangsa.

Acara ini berlangsung sehingga 26 Julai 2026 di Dataran Merdeka dengan menampilkan pengisian merangkumi keempat-empat pengalaman utama, termasuk persembahan, aktiviti kulinari, demonstrasi seni dan kraf tangan serta aktiviti warisan interaktif.

Isnin, 1 Disember 2025

Magika Studios Tarikan Eko-Pelancongan dan Edutainment Baharu Di Selangor

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera...

Okay... Kali ni LeYa nak kongsikan cerita mengenai satu pengumuman kerjasama strategik antara Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB), pemaju induk projek, Selangor Maritime Gateway (SMG) dan KRU Entertainment Sdn Bhd (KRUESB) dalam melancarkan pembangunan Magika Studios, yang juga merupakan sebuah destinasi eko-pelancongan dan didik-hibur terbaharu di Mangrove Point, Pelabuhan Klang. Tarikan ini menggabungkan keindahan alam semula jadi, teknologi moden dan elemen penceritaan kreatif bagi meningkatkan kesedaran terhadap pemuliharaan Sungai Klang.

Terletak di kawasan Mangrove Point seluas 70 ekar, yang merupakan sebahagian daripada Hutan Simpan Raja Lumu, Magika Studios bakal menjadi tarikan unik yang mempamerkan keindahan hutan paya bakau serta mempromosikan nilai kelestarian melalui hiburan dan pendidikan.

Projek ini merupakan sebahagian daripada inisiatif pembangunan berasaskan ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus) di bawah SMG, yang menekankan penggunaan teknologi dan hiburan sebagai medium pendidikan alam sekitar kepada masyarakat. Ia menonjolkan bagaimana pembangunan mampan dapat diwujudkan selaras dengan pemeliharaan ekosistem semula jadi, sekali gus menjadikan Sungai Klang bukan sekadar sungai yang dipulihkan, tetapi nadi baharu kepada ekonomi hijau dan pelancongan negeri.

Melalui persembahan cahaya imersif dan penceritaan kreatif menggunakan watak-watak dongeng tempatan, Magika Studios dibangunkan dengan matlamat untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap inisiatif LLSB sebagai agensi di bawah Kerajaan Negeri Selangor yang bertanggungjawab memulihkan dan memelihara ekosistem Sungai Klang.


Menurut Pengarah Urusan LLSB, Syaiful Azmen Nordin,, "Pembangunan Magika Studios merupakan satu pencapaian penting di bawah Fasa II Pelan Pembangunan Selangor Maritime Gateway (SMG) iaitu Pembangunan Berdaya Impak (2024-2030), yang bertujuan untuk merealisasikan potensi ekonomi melalui usaha pemuliharaam dan pembangunan mampan di sepanjang Sungai Klang."

"Projek ini mencerminkan komitmen kami terhadap prinsip ESG, khususnya dalam memperkukuh kesedaran awam tentang pemuliharaan alam sekitar melalui pendidikan kreatif dan pelancongan bertanggungjawab. Dengan menggabungkan elemen alam semula jadi, inovasi dan penceritaan, Magika Studios bukan sahaja dapat meningkatkan penghargaan masyarakat terhadap pemuliharaan sungai, malah merangsang aktiviti ekonomi dan pelancongan di Selangor, menjadikan Sungai Klang lambang kelestarian dan kebanggaan negeri."

Antara tarikan utama yang ditawarkan termasuklah:
  1. Persembahan ''animatronics" dan audio visual yang menghidupkan watak-watak dongeng tempatan dan mesej pemeliharaan alam sekitar
  2. Pencahayaan 'immersive' di hutan paya bakau
  3. Pameran untuk memupuk perasaan sayang terhadap haiwan
  4. Aktiviti lawatan berpandu di sepanjang 1 kilometer 'boardwalk' untuk menikmati keindahan hutan paya bakau dan hidupan liar di habitat semula jadi 
  5. Aktiviti sungai dan air untuk pelancong dan komuniti setempat
Dengan jarak hanya 30 minit dari Kuala Lumpur, Magika Studios dijangka menjadi produk pelancongan baharu Selangor yang akan menarik perhatian pelancong tempatan dan antarabangsa, seiring dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.


Tambah Syaiful Azmen, menerusi kerjasama dengan KRU Entertainment, kita akan memperkenalkan bentuk pelancongan sungai yang baharu, menggabungkan hiburan, pendidikan alam sekitar dan penglibatan komuniti. Sungai Klang kini menjadi simbol kebanggaan dan inspirasi rakyat Selangor.

Magika Studios akan menjadi platform di mana kreativiti, pendidikan dan kelestarian disatukan, menghasilkan pengalaman unik kepada pengunjung sambil menyampaikan mesej penting tentang penjagaan sungai dan alam semula jadi. Inisiatif ini membuktikan bahawa pembangunan mampan boleh diwujudkan melalui pendekatan kreatif yang memberikan manfaat kepada alam sekitar, masyarakat dan ekonomi. Kami percaya bahawa projek ini bukan sahaja mendekatkan masyarakat dengan Sungai Klang, tetapi juga membuka peluang baharu dalam sektor pelancongan, pendidikan dan ekonomi hijau. 


Majlis pengumuman hari ini menandakan permulaan kepada pembangunan penuh Magika Studios, yang dijangka dibuka secara rasmi pada pertengahan tahun 2026. Inisiatif ini  memperkukuh pelaksanaan projek Selangor Maritime Gateway ke arah pembangunan  berimpak tinggi yang menyeimbangkan kemajuan ekonomi dan kemampanan alam sekitar, selaras dengan visi menjadikan Sungai Klang sebagai sungai yang lestari dan berdaya huni di  Malaysia. 

Rabu, 2 Julai 2025

Hotel Review: Meginap di Irfan Ahza Water Chalet & Firefly Park, Bukit Belimbing, Kuala Selangor

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera...

Sudah tiba masanya untuk LeYa kongsikan cerita pengalaman menginap di Irfan Ahza Water Chalet & Firefly Park, Bukit Belimbing di Kuala Selangor. Percutian kali ini membawa LeYa sekeluarga menginap selama 2 hari dan 1 malam.

Untuk trip kali ini, dirancang oleh LeYa dan suami. Kebiasaannya hari Sabtu kami akan bekerja separuh hari sehingga jam 2.00 petang. Jadinya, seusai habis waktu bekerja, kami pun yang sudah siap berkemas di malam hari sebelumnya bertolak terus ke Kuala Selangor melalui jalan Highway Rawang. Perjalanan mengambil masa 1 jam untuk sampai ke homestay. Pemandangan sawah padi dan suasana kampung halaman di setiap perjalanan membuatkan perasaan tenang dan fresh setelah seminggu bekerja.

Sebenarnya ada banyak tempat menarik di Kuala Selangor ni. Kuala Selangor ni memang best kerana terkenal dengan tarikan pelancong seperti Firefly, Sky Mirror dan suasana kampung yang menenangkan. Kedudukannya pun tak jauh dari bandar. Korang nak bercamping boleh, nak berpicnic pun boleh. Kebanyakan yang datang bercuti ke Kuala Selangor ni adalah untuk melarikan seketika dari kesibukan kota. Udara yang segar dengan suasana kampung ditambah kesegaran air sungai mahupun laut mengalir tenang.

MENGINAP DI IRFAN AHZA WATER CHALET & FIREFLY PARK, BUKIT BELIMBING, KUALA SELANGOR

 

Irfan Ahza Water Chalet & Firefly Park sangat selesa. Parking pun luas. Bagi korang yang mencari tempat untuk bersantai bersama keluarga mahupun kawan-kawan, bolehlah menginap di sini. Hanya terletak di Bukit Belimbing, Kuala Selangor, kira-kira 1 jam perjalanan dari Kuala Lumpur.


Proses check-in sangatlah smooth dan LeYa sekeluarga pun memilih untuk menginap di bilik penginapan untuk 3 orang. Sementara menunggu untuk melawat kawasan sekitar dan mandi kolam, kami berehat-rehat dahulu di dalam bilik.

 

Bila tiba petang, kami pun mandi-manda di kolam renangnya yang luas. Usai dari itu, Encik Suami mengajak pula untuk naik ATV pusing satu kampung. Apa tunggu lagi? Bagai orang ngantuk disorong bantal, LeYa terus setujulah memandangkan agak lama juga tak buat aktiviti ni. 

Kalau korang berminat juga untuk pusing-pusing satu kampung dengan ATV, boleh terus order di kaunter bahagian depan homestay. Kat situ memang semua aktiviti tersedia untuk korang merasainya. LeYa sempatlah naik ATV dan memanah keesokannya. Dari segi harga, untuk seorang hanya RM50 manakala untuk naik berdua berharga RM75.

LeYa dan keluarga dibawa pusing sekeliling kampung oleh seorang guide dan berhenti di atas jambatan betul-betul waktu matahari terbenam. Pergghhh... memang cantik sangat pemandangan ciptaan Tuhan ketika itu. Release sekejap otak yang penat melihat lukisan Allah yang sangat cantik di waktu Maghrib.



 

Hari Kedua dekat Kuala Selangor sebelum check-out, sempatlah kami buat aktiviti memanah di situ. Memanah ni bukanlah LeYa power sangat pun. Boleh lah ikut apa yang ditunjuk ajar oleh Guide.



Sumpah pengalaman menginap di Irfan Ahza Water Chalet & Firefly Park ni memang sangat best! So... Masa untuk kembali pulang bekerja. Apa-apa pun, Alhamdulillah. Perjalanan dan penginapan kami di sini selesai walaupun tidak jauh! Jarak bukan alasan untuk bercuti. Sekali-sekala apa salahnya bertukar angin dan bermalam di homestay begini kan! 


Terima kasih korang yang sudi baca pengalaman LeYa menginap di Irfan Ahza Water Chalet & Firefly Park. Nantikan episod travel LeYa ke lokasi penginapan lain di entri selanjutnya. 

Jumaat, 13 Jun 2025

12 Gelanggang Pickleball Yang Menarik Di Selangor

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera...

Sukan Pickleball kini semakin mendapat tempat di Malaysia dan negeri Selangor tidak terkecuali! Tapi, apa sebenarnya sukan Pickleball ini? Ia merupakan sukan dengan pergerakan yang pantas dan menyeronokkan yang menggabungkan elemen tenis, badminton dan ping pong. Dimainkan di gelanggang yang lebih kecil menggunakan paddle dan bola plastik berlubang, pickleball sesuai untuk semua peringkat umur dan tahap kemahiran. Popularitinya yang semakin meningkat kerana ia mudah dipelajari dan cukup mencabar untuk membuat korang terus ketagih. Sama ada korang pemain baharu atau berpengalaman, Selangor menawarkan pelbagai lokasi menarik untuk korang bermain, berlatih dan bersosial. Ikuti 12 gelanggang pickleball yang menarik di Selangor yang wajib korang kunjungi.

1. Grand Rally Pickleball, Shah Alam  

Grand Rally Pickleball yang terletak di aras bumbung tingkat 5, Pusat Komersial A, Jalan Plumbum, Seksyen 7 Shah Alam, menawarkan 17 gelanggang bersaiz kejohanan termasuk pilihan VIP dan Grand VIP yang eksklusif. Dibuka setiap hari dari jam 8:00 pagi hingga jam 1:00 pagi, terdapat tiga pilihan gelanggang mengikut bajet korang iaitu Lounge Courts hanya RM45 sejam sebelum 5 petang pada hari biasa, RM65 selepas 5 petang dan hujung minggu, VIP Courts hanya RM50 sejam sebelum 5 petang, RM80 selepas 5 petang dan Grand VIP Court hanya RM110 sejam, memberikan korang pengalaman bermain pickleball yang tiada tandingan, pada bila-bila masa! Terdapat juga kedai makanan tersedia seperti BoiBoi Deli, kedai Pickle Parlour dan ruang lounge mezzanine, semuanya dalam satu tempat yang sama.

Klik pautan dibawah untuk maklumat lanjut 

https://www.facebook.com/grandrallypickleball/
https://www.instagram.com/grandrallypickleball/
https://www.courtsite.my/centre/grandrallypickleball 

2. DINKiT Pickleball, Kota Kemuning Shah Alam


Terletak di Kota Kemuning, Shah Alam, DINKiT Pickleball kini muncul sebagai salah satu destinasi pickleball paling meriah di Selangor! Dibuka setiap hari dari jam 7 pagi hingga 1 pagi, pusat ini menampilkan dua jenis gelanggang, VIP Fenced Courts dan BC Open Courts, gelanggang yang direka khas untuk memenuhi keperluan semua pemain, tidak kira tahap kemahiran korang. Kadar sewaan gelanggang bermula serendah RM29 sejam pada hari bekerja dan hanya mencecah RM55 sejam pada waktu puncak termasuk hujung minggu dan cuti umum. Lebih daripada sekadar gelanggang, DINKiT menawarkan pengalaman sukan yang lengkap dengan kemudahan seperti ruang istirahat yang bersih, kedai lengkap dengan peralatan pickleball, parkir percuma, serta makanan dan minuman untuk korang nikmati selepas bersukan. Selesai berpeluh, singgah minum kopi dan kudapan lazat di Kafe Brew N Bread, atau luangkan masa petang korang dengan berjalan santai, berkelah atau bergambar bersama keluarga di Taman Tasik Kota Kemuning yang hanya 6 minit dari pusat ini. 

Klik pautan dibawah untuk maklumat lanjut


3. The Pickle Vibe, Seri Kembangan


Terletak di The Atmosphere Commercial Park, Blok C, Tingkat 2, pusat ini menampilkan 14 gelanggang indoor yang luas dan selesa. Dibuka setiap hari dari jam 7 pagi hingga 1 pagi, The Pickle Vibe menawarkan dua jenis gelanggang – Standard Court dengan kadar RM55 sejam pada hari bekerja sebelum 5 petang dan RM69 sejam selepas 5 petang serta sepanjang hujung minggu, manakala gelanggang International Tournament bermula serendah RM45 sejam sebelum 5 petang dan RM59 sejam selepas 5 petang dan juga pada hujung minggu. Sesuai untuk yang mahu mula bermain Pickeball dan juga pemain berpengalaman, The Pickle Vibe turut menganjurkan permainan sosial, sesi latihan dan kejohanan secara berkala untuk membantu korang kekal aktif dan terus mengasah bakat.


Klik pautan dibawah untuk maklumat lanjut


4. Pickleball Factory, Subang Jaya

 

Pickleball Factory terkenal dengan lima gelanggang tertutup dan satu gelanggang terbuka yang sesuai untuk semua peringkat pemain. Suasananya cukup meriah, terutamanya selepas waktu kerja atau hujung minggu. Gelanggang ini menawarkan harga sewa peralatan yang sangat berpatutan dengan raket berharga hanya RM4 sahaja, waktu operasi yang fleksibel termasuk sesi lewat malam dan bola yang berkualiti tinggi untuk permainan santai mahupun tahap profesional. Pada luar waktu puncak, korang boleh bermain di gelanggang tertutup dengan hanya RM45 sejam dan RM40 sejam untuk gelanggang terbuka. Manakala waktu puncak selepas 5 petang pada hari bekerja dan sepanjang hujung minggu pulak berharga RM65 bagi gelanggang tertutup dan RM60 bagi gelanggang terbuka. Apa yang menjadikan tempat ini lebih menarik? Pickleball Factory bukan sekadar tempat bermain sukan. Korang juga boleh mengikuti kelas yoga, pilates atau barre untuk keseimbangan badan dan mengisi semula tenaga dengan sajian lazat di Kaiizo Café & Restaurant yang turut berada di sini. Semuanya tersedia dalam satu lokasi! 

Klik pautan dibawah untuk maklumat lanjut


5. Pickle Park, Petaling Jaya 


Pickle Park yang terletak di Seksyen 13 menjadi destinasi wajib dikunjungi! Dengan tujuh gelanggang terbuka, ia sesuai untuk pemain dari semua peringkat. Dibuka setiap hari dari jam 7:00 pagi hingga 1:00 pagi, memudahkan korang untuk menikmati permainan ini bila-bila masa. Korang juga boleh sertai sesi latihan, permainan sosial dan acara bulanan untuk mempertingkatkan kemahiran serta berkenalan dengan komuniti pemain lain. Kadar sewa gelanggang ialah RM80 sejam pada hari bekerja, manakala pada hujung minggu dan cuti umum, kadar adalah RM70 sejam. Apa yang membezakan Pickle Park ialah suasananya yang meriah dan fasiliti yang baik, termasuk ruang istirahat serta ruang acara terbuka. Tambahan pula, terdapat kafe Flour, Fire & Stone yang selesa, menawarkan segala-galanya daripada kopi di waktu pagi sehinggalah pelbagai juadah istimewa di waktu malam. Semuanya tersedia di sini! Tempahan gelanggang juga mudah melalui aplikasi mudah alih. Korang boleh kumpul jam bermain melalui aplikasi untuk menebus ganjaran seperti diskaun serta masa bermain percuma. Hanya muat turun melalui Apple App Store atau Google Play Store. Atau korang boleh terus lawati media sosial rasmi atau laman sesawang rasmi mereka. 

Klik link dibawah untuk maklumat lanjut


6. Hyprground Pickleball Cyberjaya

 

Tunjukkan aksi hebat korang di Hyprground Pickleball Court. Terletak di Tamarind Square, Cyberjaya, gelanggang tertutup trendy ini menawarkan dua jenis gelanggang yang sesuai untuk semua. Gelanggang Komuniti bermula serendah RM30 sejam dari jam 1:00 pagi hingga 7:00 pagi, RM35 sejam pada waktu pagi di hari bekerja dan RM50 sejam pada waktu petang serta pada hujung minggu dan cuti umum. Mahukan pengalaman yang lebih eksklusif? Pilih Gelanggang Lounge yang hanya RM30 sejam pada waktu lewat malam. Apa yang paling menarik, Hyprground turut menawarkan perkhidmatan katering lengkap untuk acara, dengan pilihan makanan yang lazat dan sihat untuk melengkapkan pengalaman pickleball korang disini. Mereka juga menganjurkan permainan sosial, acara komuniti dan kejohanan yang menjadikan suasana di sini sentiasa meriah! Tiada peralatan yang cukup? Jangan risau, penyewaan paddle hanya RM5 dan bola turut dijual di sini.

Klik pautan dibawah untuk informasi  lebih lanjut


7. ATP Pickleball Centre, Klang 


Terletak di Klang, ATP Pickleball Centre sentiasa meriah dengan semangat permainan dan dibina khas untuk pemain santai mahupun kompetitif. Dibuka setiap hari dari 7:00 malam hingga 1:00 pagi, pusat ini menjadi pilihan utama buat yang ingin beraksi selepas waktu bekerja. Lebih menarik, kadar sewaan hanya RM10 sejam dari jam 7:00 pagi hingga 11:00 pagi dan korang akan menerima 4 paddle secara percuma setiap sesi, sesuai untuk ajak kawan-kawan datang bersama! Sama ada korang baru berjinak atau sudah mahir, ATP Pickleball Centre menawarkan suasana yang mesra dengan adanya  tempat bersantai. Lepas bersukan, teruskan hari korang dengan bersiar-siar di GM Klang atau Klang Parade, dua pusat beli-belah paling popular di Klang yang hanya beberapa minit dari gelanggang.

Klik pautan dibawah untuk informasi lanjut


8. Pickle Drive @ Talent Champs Sports Complex, Kajang


Berada di Kajang, Pickle Drive di Talent Champs Sports Complex adalah lokasi ideal untuk pemain di semua peringkat. Dibuka setiap hari dari jam 8:00 pagi hingga 1:00 pagi, pusat ini menampilkan enam gelanggang premium dan tiga gelanggang terbuka yang memenuhi keperluan semua tahap permainan. Kadar sewa gelanggang tertutup adalah RM29 sejam pada hari bekerja termasuk hujung minggu dan cuti umum. Untuk gelanggang terbuka, kadar sewa hanyalah RM24 sejam pada waktu siang hari bekerja, manakala kadar pada waktu malam dan hujung minggu adalah sama seperti gelanggang tertutup. Bukan itu sahaja, sewaan paddle juga disediakan pada harga hanya RM5 bagi setiap sewaan termasuk satu bola untuk sesi selama dua jam. Selain gelanggang, pemain turut boleh menikmati kemudahan yang lengkap yang disediakan seperti ruang rehat, bilik mandi, parkir percuma, minuman menyegarkan dan juga surau untuk menunaikan solat.

Kilik pautan dibawah untuk maklumat lanjut


9. High on Pickle, Puchong


High On Pickle adalah destinasi yang wajib korang kunjungi! Terletak di Bandar Puchong Jaya, fasiliti ini menawarkan gelanggang berkualiti tinggi serta komuniti yang mesra dan mengalu-alukan semua pemain. Beroperasi sepanjang hari dalam ruang tertutup, pusat ini menyediakan pelbagai pilihan gelanggang yang sesuai untuk setiap tahap dan gaya permainan. Gelanggang VIP disewakan pada kadar RM49 sejam, Gelanggang HOPE yang lebih mesra bajet pada RM39 sejam dan Gelanggang Latihan hanya RM29 sejam pada hari bekerja sebelum jam 5 petang. Tiada peralatan untuk bermain? Jangan risau. Sewaan paddle hanya RM5 satu sesi dan bola juga boleh dibeli di sini. Sama ada korang baru bermula atau sudah berpengalaman, korang boleh sertai sesi sosial, latihan dan kejohanan yang dianjurkan bagi meningkatkan kemahiran dan mengenali rakan baharu. 

Klik pautan dibawah untuk maklumat lanjut


10. Pickle Crown @ Tropicana Sport Center, Sungai Buloh


Ayuh beraksi di Pickle Crown @ Tropicana Sports Centre, Sungai Buloh. Spot pickleball premium dengan 11 gelanggang bersaiz kejohanan yang penuh dengan aura semangat sukan! Dibuka setiap hari dari jam 8:00 pagi hingga 12:00 tengah malam bermula 1 Jun, kadar sewaan gelanggang ialah RM45 sejam pada hari bekerja sebelum jam 5 petang, manakala pada hujung minggu dan cuti umum kadar tetap ialah RM65 sejam sepanjang hari. Berita gembira untuk warga emas berumur 60 tahun ke atas, promosi Golden Years, Golden Deals menawarkan kadar diskaun dari jam 8.00 pagi hingga 4.00 petang. Selain gelanggang berkualiti tinggi, kemudahan di sini turut merangkumi ruang istirahat yang bersih, tempat untuk bersantai yang selesa dan kedai untuk melengkapkan peralatan permainan korang. 

Klik pautan dibawah untuk maklumat lanjut


11. Seven Fit Sports Centre 


Bakar kalori, tingkatkan koordinasi dan kekal aktif di Seven Fit Sports Centre! Pusat sukan ini menawarkan kemudahan terbaik untuk korang mula bermain pickleball. Dibuka setiap hari dari jam 7:00 pagi hingga 2:00 pagi, ia sesuai untuk semua lapisan pemain! Dengan kadar serendah RM20 hingga RM50 sejam pada waktu puncak termasuk hujung minggu dan cuti umum, korang boleh bermain tanpa had. Sewaan paddle pula hanya RM5 untuk setiap sesi, sesuai untuk yang ingin mencuba buat pertama kali. Pusat ini juga lengkap dengan zon santai, tempat letak kereta percuma, surau untuk beribadah dan minuman untuk menyegarkan diri selepas permainan. Dengan kemudahan bertaraf tinggi dan komuniti yang mesra, Seven Fit sememangnya lokasi terbaik untuk menyemarakkan semangat pickleball korang!


Klik pautan dibawah untuk maklumat lanjut


12. 9pickle Setia Alam


9Pickle merupakan salah satu hab pickleball terbaik di Setia Alam dengan 10 gelanggang separa tertutup bertaraf kejohanan! Terletak bersebelahan Menara Top Glove, pemain boleh memilih daripada tiga kategori gelanggang iaitu Standard, VIP dan Grand. Gelanggang Grand bermula dari RM75.60 sejam, VIP dari RM54 sejam dan Standard dari RM45 sejam, bergantung kepada masa dan hari. Dibuka setiap hari dari jam 12:00 tengah malam hingga 12:00 tengah malam, pusat ini turut dilengkapi dengan kedai, kawasan makanan dan minuman, ruang santai yang selesa serta kemudahan lengkap untuk pengalaman premium yang sempurna. Tahun ini, 9Pickle bukan sekadar tempat bermain ia juga menjadi tuan rumah kepada acara utama seperti PPA Asia pada Julai 2025 dan PANAS CUP 2025! Daftar sekarang. Inilah vibe sebenar yang korangcari.

Klik pautan dibawah untuk maklumat lanjut


Sudahkah korang bersedia untuk menyertai dunia pickleball yang penuh dengan keseronokan? Dari aksi di bumbung hingga perlawanan tengah malam, demam pickleball kini melanda Selangor! Dengan gelanggang untuk setiap bajet dan gaya permainan, inilah masa terbaik untuk ambil paddle, ajak kawan-kawan dan beraksi dengan penuh gaya. Jom mulakan permainan korang sekarang!

Khamis, 5 Jun 2025

"Surprising Selangor!" Jadi Tumpuan Dalam Sesi Pertama Jom Ngopi - Tourism Malaysia Network Sesh

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera...

Tourism Selangor terus mengorak langkah mempromosikan destinasi pelancongan Negeri Selangor menerusi penyertaan dalam program "Jom Ngopi - Tourism Malaysia Network Sesh Sesi 1/2025: Surprising Selangor!".

“SURPRISING SELANGOR!” JADI TUMPUAN DALAM SESI PERTAMA JOM NGOPI – TOURISM MALAYSIA NETWORK SESH

Program santai berimpak tinggi ini menghimpunkan lebih 300 tetamu yang terdiri daripada wakil-wakil kementerian, agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi serta pemain industri pelancongan dari seluruh negara. Sesi ini memberi tumpuan kepada Negeri Selangor sebagai destinasi pelancongan utama dengan mengetengahkan tema "Surprising Selangor!", sekaligus memperkenalkan kempen pelancongan domestik 'Wah! Selangor Kan Ada!' sempena Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS2025).

TMS2025 bukan sekadar slogan pelancongan. Ia adalah inisiatif untuk memperkukuhkan kerjasama strategik antara Tourism Selangor, Tourism Malaysia serta penggiat industri pelancongan dalam memperkenalkan Negeri Selangor ke mata masyarakat Malaysia dan dunia. Penganjuran sesi ini bukan sahaja membuka ruang untuk mempromosi produk dan destinasi pelancongan baharu di Selangor, malah turut mewujudkan jaringan komunikasi yang kukuh antara semua pemegang taruh industri. 

Terdapat 20 tapak pameran disediakan yang mana menampilkan pelbagai segmen pelancongan seperti perhotelan, taman tema, agro dan eko-pelancongan, gastronomi serta budaya dan warisan. Antara penyertaan di bawah Pavilion Selangor termasuklah GL Play by Gamuda Land, Sky Mirror Kuala Selangor, Rumah Hutan Terapi Alam Bonda Rozita, Chocolate Museum, Farm Fresh, Heritaste Jenjarom dan banyak lagi.


Selain pameran, turut diadakan sesi pembentangan produk pelancongan, cabutan bertuah dengan hadiah pakej pelancongan menarik serta persembahan istimewa lagu rasmi kempen "Surprising Selangor" dan persembahan istimewa oleh Naim Danial.

Penganjuran ini selari dengan strategi memacu pertumbuhan pelancongan domestik dan antarabangsa, di sampin meningkatkan kesedaran terhadap keunikan serta kepelbagaian produk pelancongan yang ditawarkan Negeri Selangor menjelang Tahun Melawat Selangor 2025.