Khamis, 23 November 2023

Tempat Camping Menarik Yang Seronok dan Mesra Alam Di Natura Campground, Pahang

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera...

Hai korang... Pasti ramai yang sudah mula beraktiviti percutian dengan lebih unik dan menyeronokkan menerusi percutian perkhemahan kan? Seperti yang kita tahu, setiap aktiviti perkhemahan menawarkan pengalaman berbeza dan tidak hanya memberi peluang untuk meneroka alam semula jadi, tetapi melatih diri untuk menjadikan kita lebih berdikari.

Ini kerana nak bercamping ni bukan mudah, sebab nak kena plan banyak perkara. Macam dari segi pemilihan lokasi, aktiviti, kemudahan asas seperti surau, tandas, tempat memasak dan banyak lagi. Jadi, baru-baru ini, LeYa berkesempatan merasai suasana camp site yang sangat menarik di Natura Campground yang terletak di Bentong, Pahang

Tempat Camping Menarik Yang Seronok dan Mesra Alam Di Natura Campground, Pahang

LeYa dan beberapa sahabat blogger telah pergi ke Natura Campground yang terletak di Kg Shafie, Manchis, Bentong Pahang menerusi jemputan dari Dato' Seri Hajjah Siti Murni Dato' Seri Sheikh Ahmad iaitu CEO Syarikat Ghullam Development Sdn Bhd yang mana syarikat beliau mengelola Program I-Kembali. Program I-Kembali adalah program yang menyediakan peluang pekerjaan untuk bekas banduan, orang diparol dan diselia dengan jabatan penjara. Bagi mengetahui lebih lanjut tentang program ini, boleh layari laman sesawang https://i-kembali.com.my/.

Natura Campground dibuka sejak dari tahun 2015 lagi. Namun, kerja-kerja membaik pulih siap selepas PKP. Dan ketika inilah ia mendapat tempat di hati pengunjung yang datang terutama peminat camping. 

Big boss, Dato' Seri Hajjah Siti Murni

Singgah Makan Tengahari Di Kedai Makan Kak Su, Simpang Pelangai

Kami berkumpul tepat jam 11.00 pagi di Cyberjaya dan kemudian menaiki kenderaan yang disediakan ke Natura Campground yang mana ia juga adalah milik Dato' Seri Siti Murni sendiri. Kami bertolak kira-kira jam 11.30 pagi dan sebelum masuk ke kawasan Natura Campground, kami singgah makan tengahari di Kedai Makan Kak Su di Simpang Pelangai.


 

Nak dijadikan cerita, dari kedai makan ni nak ke campsite, tak lah berapa jauh lagi. Lebih kurang dalam 15 minit. Trip kali ni LeYa pergi bersama Geng Blogger LF yang disertai oleh Kak Mieda, Ayie dan Kak Halimah dan rakan-rakan blogger yang lain.


Setelah mengharungi jalan berliku dari Cyberjaya dan mengenyangkan perut di Kedai Makan Kak Su, tepat jam 3.30 petang, kami pun tiba di Natura Campground. 


Ketibaan kami disambut baik oleh En Zaini Abu Bakar atau lebih dikenali sebagai King iaitu rakan kongsi dan pengurus di situ.


Pengalaman Bermalam di Natura Campground

Natura Campground merupakan Campsite yang meliputi kawasan yang agak luas dan lengkap dengan kemudahan asas seperti tapak khemah, bilik untuk disewa, tandas, dewan, tempat berkumpul, kedai runcit mini, surau, penapis air, kolam air sungai, laluan trekking dan paling best ada kawasan air terjun ye!




Nampak menarik dan luas kan kawasan Natura Campground ni. Memang rata-rata yang datang ke sini pasti akan bermalam sehari atau lebih di dalam khemah yang dibawa sendiri mahupun di bilik-bilik yang disediakan.

Jenis Penginapan di Natura Campground

Okay... Jom LeYa ceritakan lagi jenis-jenis penginapan yang terdapat di Natura Campground. Kat sini terdapat 2 jenis penginapan iaitu jenis Chalet dan tapak perkhemahan.

Chalet pula terdiri daripada 3 jenis iaitu:
  1. Hobbit Chalet : 10 unit
  2. Collina Chalet : 2 unit
  3. Casa Abero Chalet (VIP) : 1 unit
Bagi penginapan di Chalet Hobbit, ia tidak tersedia tandas dan bilik mandi di dalamnya. Pengunjung yang menginap di chalet ini perlu berkongsi tandas yang terdapat di luar. 

Bagi Chalet Collina dan Casa Abero pula, ia memiliki katil queen bersama bantal, selimut, towel, kipas dan aircond. Di bilik penginapan ini terdapat tandas untuk keselesaan pengunjung.

 
 

Untuk kali ini, LeYa mencuba menginap di Chalet Hobbit  yang comel kat bawah ni. Bagi korang yang nak bermalam di chalet ni, kenalah booking awal sebab hanya ada 10 unit bilik sahaja tau.

 

Menariknya bermalam di dalam Chalet Hobbit ni walaupun ia chalet tapi vibe dia rasa macam bercamping masih ada. Sebab apa LeYa kata macam tu? Korang tengok gambar kat bawah ni. Bilik dia sediakan untuk 2 orang dengan ada katil dan bantal camping serta kipas dinding. Memang basic tetapi sesuai dan berpatutan dengan harganya.

 

Secara jujurnya, waktu siang memang panas bila berada di dalam bilik chalet ni. Samalah macam kita bermalam di dalam khemah kan. Jadi, waktu siang ni apa lagi beramai-ramai lah kami semua beraktiviti di luar seperti lepak dan mandi kolam air sungai dan juga membuat aktiviti santai bermain game. Tapi bila malam menjelma, memang sejuk dan tak payah guna aircond pun. Selimut yang ada pun macam rasa tak cukup. Hahaha...

Jom kita pergi melawat tapak perkhemahan pula. Dekat sini ada 4 kawasan perkhemahan iaitu:
  1. Campo Zone (20 tapak)
  2. Alto Zone (8 tapak)
  3. Pool Zone (5 tapak)
  4. Lato Zone (8 tapak)
Setiap tapak perkhemahan dikenakan bayaran RM70 untuk satu hari penginapan. Tandas dan bilik mandi juga perlu berkongsi bersama dengan pengunjung yang menginap di Chalet Hobbit.




Harga Camping di Natura Campground, Bentong, Pahang

Chalet Hobbit: RM100/ malam - Bilik untuk 2 orang dan kipas.
Family Collina: RM200/ malam - Bilik untuk 2 orang dan ada aircond.
VIP Chalet Cara Albero: RM300/ malam - Bilik berhawa dingin.
Tapak khemah (Tanpa khemah): RM70 - untuk tapak seluas 8ftx7ft.

Mandi-Manda di Kolam Renang Air Bukit Semulajadi


Siapa saja yang tak suka dengan mandi-manda kan? Jom LeYa tunjukkan lagi dengan kolam renang yang ada di sini. Dekat sini, kolamnya berteres yang mana bahagian bawah sekali sesuai untuk kanak-kanak dan orang dewasa disediakan di bahagian atas.

LeYa nak bagitahu lagi, kolam renang di sini kesemuanya bebas klorin kerana airnya dari sumber air bukit dan memang sangat sejuk dan nyaman bila mandi.

Kolam renang untuk kanak-kanak

Bagi pengunjung yang tidak menginap atau bermalam di sini, korang juga boleh merasai kesejukan mandi di kolam renang ini dengan bayaran RM10 untuk dewasa dan RM5 untuk kanak-kanak.

Kolam renang untuk dewasa

Trekking Ke Air Terjun

Kira-kira korang trekking sedikit dalam 500 meter ke hadapan dari tapak perkhemahan, korang boleh menikmati juga kejernihan dan kesejukan air terjun yang ada di situ. Airnya tidaklah deras dan membahayakan. Memang sesuai lah untuk berendam dan bermain serta bergambar di situ.

 

Pelbagai Kemudahan Asas dan Boleh Beraktiviti Di Waktu Siang dan Malam

Di sini juga ada disediakan kemudahan asas seperti tandas dan bilik mandi, surau, dewan, kedai runcit mini, penapis air, kolam mandi kanak-kanak dan dewasa serta kawasan camping yang bersih dan lengkap. 

Nak beraktiviti di waktu malam pun rasa selamat sebab ada banyak lampu dan kawasan pun berpagar. Insya-Allah memang selamat untuk anak-anak bermain.


Nampak cool dan menarik kan bercamping ni sebenarnya? Dengan pelbagai tawaran aktiviti menarik boleh dibuat di kawasan sekitar, alam semulajadi yang nyaman dan segar, jauh dari hiruk-pikuk kota, tak ada sebab untuk korang tidak mencuba camping dan bermalam bagi percutian yang akan datang.

Tambahan pula, sekarang ni korang sendiri dah tahu kat mana lokasi best untuk bercamping. Jadi, jangan buang masa, rancang dari sekarang, pasti korang tidak akan menyesal!

Bagi korang yang berminat untuk menginap di sini, nah LeYa sertakan sedikit maklumat:

Alamat
Lot PT666 Ulu Semei, Kg Shafie, Machis, 28730 Bentong, Pahang

Email
naturacampground@gmail.com

WhatsApp
+6016 - 449 4354

Facebook

Instagram

TikTok

Rabu, 22 November 2023

MEMS, Novo Nordisk dan Roche Melancarkan Projek Changing Diabetes in Children di Malaysia

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera...

Novo Nordisk mengumumkan kerjasama dengan Persatuan Endokrin dan Metabolik Malaysia (MEMS) dan Roche dalam pelancaran projek Changing Diabetes in Children (CDiC) di Malaysia. Ia merupakan satu inisiatif jangka panjang dengan tumpuan khusus kepada meningkatkan kualiti penjagaan kanak-kanak dan remaja mengenai diabetes jenis 1. Kanak-kanak dan remaja yang menghidap diabetes jenis 1 di Malaysia akan menerima bekalan dan pemantauan glukosa secara percuma (glucometer and glucose test strips).

Menerusi pelancaran, CDiC turut menyumbang kepada peningkatan akses kepada penjagaan selaras dengan tema Hari Diabetes Sedunia tahun ini iaitu "Akses kepada Penjagaan Diabetes".

Apa maksud Diabetes Jenis 1?

Diabetes jenis 1 merupakan bentuk diabetes kanak-kanak yang paling biasa di Malaysia, mencakupi 73% - 77% daripada semua diabetes kanak-kanak dan Persekutuan Diabetes Antarabangsa  melaporkan 955 kes diabetes jenis 1 dalam kalangan kanak-kanak Malaysia adalah lingkungan 0-19 tahun pada 2021. Secara rasionalnya, kadar diagnosis untuk kanak-kanak yang menghidap diabetes jenis 1 ialah 38.7%. Ini membuktikan yang keperluan untuk meningkatkan kesedaran dan akses untuk penjagaan diabetes jenis 1 kepada kanak-kanak.

Projek CDiC pula bertujuan untuk merapatkan jurang kritikal dalam diagnosis, menyokong pemantauan kendiri glukosa darah dan pengetahuan pesakit dengan membina usaha sedia ada untuk menangani halangan tempatan terhadap penjagaan kesihatan, menyokong pembangunan penyelesaian penjagaan diabetes yang komprehensif dan menyepadukan dengan sistem penjagaan kesihatan tempatan. Komponen khusus CDiC di Malaysia termasuk menyediakan bengkel pendidikan untuk pesakit dan penjaga mereka, melatih profesional penjagaan kesihatan dalam diagnosis dan pengurusan penyakit, menubuhkan atau membaik pulih pusat sumber diabetes, membangunkan pendaftaran negara, penyelidikan mengenai pengurusan diabetes jenis 1 serta meningkatkan kesedaran orang ramai tentang diabetes jenis 1 di Malaysia.

Perkongsian itu dilancarkan dalam Pelancaran CDiC oleh Dato' Dr Mohd. Azman bin Yacob, Pengarah Bahagian Pembangunan Perubatan dari Kementerian Kesihatan Malaysia dan dihadiri oleh rakan kongsi projek, profesional penjagaan kesihatan dalam penjagaan diabetes serta pesakit diabetes jenis 1 dan penjaga. Pada majlis itu juga, para hadirin turut mendengar tentang landskap rawatan di Malaysia, pengurusan semasa diabetes jenis 1 serta perjalanan dan cabaran pesakit daripada Dr Nurain Mohd Noor, Presiden MEMS dan pengerusi projek CDiC di Malaysia, En Anand Shetty, Naib Presiden Korporat, Kawasan Perniagaan Asia Tenggara Novo Nordisk dan Bryan Koh, Ketua Kluster Pasaran Matang Asia Pasifik, Roche Diabetes Care.

Dr. Nurain Mohd Noor, Presiden MEMS dan Pengerusi projek CDiC Malaysia berkata, “Kadar misdiagnosis kanak-kanak Malaysia dengan diabetes jenis 1 adalah sangat tinggi kerana kanak-kanak dan dewasa muda sering didiagnosis dengan keadaan alternatif seperti penyakit pernafasan atau gastrousus. Untuk menangani isu mendesak ini dan memastikan diagnosis dan penjagaan yang tepat pada masanya dan tepat, inisiatif seperti 'Mengubah Diabetes® dalam Kanak-kanak' adalah penting untuk campur tangan yang lebih tepat pada masanya dan penjagaan yang lebih baik. Projek itu juga akan melengkapkan barisan hadapan dengan pengetahuan dan kemahiran pengurusan untuk membantu mereka membantu pesakit mereka yang menghidap diabetes jenis 1”.

Anand Shetty, Naib Presiden Korporat, Kawasan Perniagaan Asia Tenggara Novo Nordisk menyatakan, “Tujuan kami adalah untuk memacu perubahan bagi mengalahkan penyakit kronik seperti diabetes dengan merintis kejayaan saintifik dan meningkatkan kehidupan pesakit. Dengan rakan kongsi CDiC kami di Malaysia, kami menyasarkan untuk meningkatkan kehidupan pesakit diabetes jenis 1 yang terdedah dengan membina sistem penjagaan holistik untuk kanak-kanak dan dewasa muda di bawah umur 25 tahun yang menghidap diabetes jenis 1.”

Bryan Koh, Ketua Kluster Pasaran Matang Asia Pasifik, Penjagaan Diabetes Roche berkata, “Kami komited untuk meningkatkan akses kepada penjagaan diabetes penting untuk kanak-kanak dan dewasa muda yang menghidap diabetes jenis 1 di Malaysia bersama rakan kongsi kami, melalui membina penjagaan berterusan yang mampan untuk menyokong mereka membesar dengan baik dan memenuhi potensi penuh mereka.”

Jumaat, 17 November 2023

Jom Ke Program Fit Zakat 2023!

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera...

Apa korang buat cuti hujung minggu ni? Apa kata jom bawa anak-anak dan ahli keluarga ke Program FIT ZAKAT 2023 yang dilaksanakan oleh Pusat Pungutan Zakat Wilayah - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) untuk sama-sama turut serta dalam acara penuh keceriaan, yang akan berlangsung pada 18 November 2023 (Sabtu) di Taman Metropolitan Kepong, Kuala Lumpur.


Apa yang menarik di sana?


Pelbagai Aktiviti Menarik

Merentasi acara ini, terdapat pelbagai aktiviti menarik yang menanti anda. Dari Fit Zakat Fun Run yang menggembirakan, senamrobik yang menyihatkan, score the goal  yang mencuit hati, hingga timbang bola yang mengujakan. Tidak ketinggalan, penampilan istimewa daripada selebriti terkenal seperti Caliph Busker, Ikhwan Fatanna, dan Persembahan Busker PPZ akan menghidupkan suasana.

Penampilan Istimewa Maskot Ustaz Amil, Omar & Hana

Bagi keluarga yang membawa bersama anak-anak kecil, saksikan penampilan istimewa Maskot Ustaz Amil, Omar & Hana, persembahan badut yang menghiburkan, aktiviti face painting yang mencipta kenangan, Supa Dupa dan pertandingan mewarna yang penuh kreativiti. Jangan lepaskan peluang untuk menerima layang-layang percuma sebagai kenangan manis untuk para pengunjung cilik.


Pelbagai Tips Sihat dan Kekal Fit

Untuk pencinta kesihatan dan kecergasan, program ini turut menyediakan pelbagai tips sihat dan kekal fit. Sesi Slot Borak "Fit Dulu Baru Sihat" bersama penghibur tanah air Man Raja Lawak dan Influencer kesihatan Hanif Loid akan menyuntikkan semangat kecergasan dalam diri anda. Selain itu, jangan lepaskan peluang untuk bersantai dan mendengar pandangan inspiratif dalam Slot Santai "Kasi Clear" bersama Dr. Wan Share dan Muhammad Noor (Mdno).

Kaunter Kutipan dan Agihan Zakat

Dalam kemeriahan ini, lebih daripada 30 gerai jualan makanan, pakaian dan pameran akan menyajikan pelbagai pilihan untuk semua pengunjung pada hujung minggu ini. Pusat Pungutan Zakat Wilayah juga menyediakan kaunter kutipan dan agihan zakat. Bagi yang ingin mendapatkan lebih informasi mengenai zakat, digalakkan hadir sama dan ia adalah percuma!


Rebut Hadiah Menarik dan Cabutan Bertuah 

Acara ini turut menawarkan hadiah menarik dan cabutan bertuah bagi pengunjung bertuah. Jadi, jangan lepaskan peluang ini untuk hadir bersama keluarga dan teman-teman pada 18 November 2023, Sabtu, bagi menyertai serta meriahkan lagi FIT ZAKAT 2023. 

Booth & Gerai jualan 

Pelbagai booth & gerai jualan menanti anda. Ada makanan, pakaian, booth pameran dan banyak lagi. 

Kupon Makanan Percuma

1,000 kupon percuma akan diberikan kepada para pengunjung. Boleh ditebus di gerai-gerai jualan tersedia. Siapa cepat dia dapat. 


Majlis Pelancaran Kempen Year End Zakat 2023

Acara kemuncak Fit Zakat 2023 ialah Pelancaran Kempen Year End Zakat 2023. Kempen tahunan PPZ-MAIWP untuk menyeru masyarakat Islam tunaikan zakat sebelum 31 Disember 2023. Pelbagai hadiah menarik ditawarkan di dalam kempen ini. Jom jadi pembayar zakat PPZ-MAIWP!

Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi https://www.zakat.com.my/yez2023/. Sebarkan berita ini dan pastikan anda menjadi sebahagian daripada acara penuh keceriaan  dan bermanfaat ini!

Khamis, 9 November 2023

Penyanyi Sensasi Ernie Zakri Tampil Sebagai Duta Jenama Ayuwan

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera...

Ayuwan, jenama tudung dan skarf tempatan dikenali dengan dedikasinya yang menjunjung kualiti tanpa mengetepikan rekaan dalam menuruti trend semasa. Demikian, Ayuwan berbesar hati mengumumkan usaha samanya dengan melantik penyanyi bervokal lantang, Ernie Zakri sebagai duta jenama rasminya. Lantas, melayangkan era baharu buat jenama dengan mempertaruhkan himpunan rekaan yang sofistikated dalam memperkasakan fesyen Muslimah tempatan. 

Penyanyi Sensasi Ernie Zakri Tampil Sebagai Duta Jenama Ayuwan

Pengumuman dibuat sewaktu pelancaran album baharu Ernie Zakri yang berjudul "AURA". Pada majlis itu, penyanyi bersuara emas ini menandatangani sebuah plak khas yang dihiasi dengan gambar dirinya yang tampil menggayakan skarf menawan kreasi kreatif Ayuwan. Pengendorsan bersama Ernie ini meneruskan kesinambungan kualiti juga nilai estetika himpunan tudung Ayuwan yang mempesonakan.

Kolaborasi bersama Ernie Zakri menjadi detik bersejarah bagi Ayuwan, lalu membuka peluang buat pangkalan pelanggan yang lebih meluas lagi pelbagai. Kehadiran Ernie mewarnai lapangan seni hiburan tempatan, merangkumi intipati komitmen Ayuwan yang mana menjulang keanggunan, keperibadian serta kecantikan abadi. Berkarisma lagi bersopan-santun menjadikannya pilihan ideal sebagai wajah Ayuwan.

Gaya peribadinya ditambah pula dengan cara penataan skarf yang tersendiri, imej Ernie Zakri selari dengan barisan produk Ayuwan. Dengan kehadiran Ernie Zakri, Ayuwan teruja untuk meneroka lalu melaksanakan koleksi eksklusif yang menggabungkan gaya penghibur terkemuka itu. Kolaborasi ini bakal menawarkan pelanggan Ayuwan akses kepada pengalaman fesyen yang benar-benar unik dengan rekaan yang mngikuti trend semasa.

Saya sangat gembira dalam masa yang sama juga teruja. Ayuwan mencerminkan minat saya dalam fesyen dan membolehkan saya berkongsi gaya peribadi serta kreativiti saya dalam menggayakan tudung. Saya juga bakal mengongsi cara penggayaan yang saya gemari secara peribadi dengan peminat dalam masa ke semasa. Jadi, tunggu akan tutorial saya,” kata Ernie Zakri. 

Mengambil lokasi di Sunway Putra Mall, peminat Ernie Zakri berhimpun bagi menyaksikan pengumuman usaha sama serta pelancaran album baharunya. Para tetamu yang hadir dipersembahkan dengan pementasan peragaan himpunan skarf yang membiaskan aura glamor Ayuwan. Pementasannya memperlihatkan barisan produk utamanya; termasuk koleksi Desa, Spora, Pancawarna, Birai dan Gemala. Selain itu, Ernie turut membuat persembahan dengan menyampaikan lagu baharunya secara langsung buat pertama kali. Ia sememangnya detik yang dihargai bagi kedua-dua pelanggan yang dihargai Ayuwan juga buat peminat setia Ernie Zakri.

Terokai dunia Ayuwan yang anggun lagi bergaya di 

www.ayuwan.com.my

Rabu, 8 November 2023

Review Filem Gadis Kretek

 Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera...


Filem
Gadis Kretek

Pengarah
Kamila Andini dan Ifa Isfansyah

Genre
Romantik dan Aksi

Pelakon
Dian Sastrowardoyo, Ario Bayu, Putri Marino, Arya Saloka, Sheila Dara Aisha, Ine Febriyanti, Tissa Biani, Ibnu Jamil, Rukman Rosadi, Tutie Kirana, Dimas Aditya, Winky Wiryawan, Pritt Timothy, Verdi Solaiman, dan Nungki Kusumastuti

Durasi
5 Episod di Siri Netflix

Tarikh Tayangan
02 November 2023

Penilaian
10/10

Sinopsis Gadis Kretek

Filem ini mengisahkan Lebas (Arya Saloka) yang setia menemani ayahnya, Soeraja (Ario Bayu) yang dirawat di hospital. Keluarga besar Lebas merupakan pemilik perniagaan besar Kretek Djagad Raja sejak zaman pascapenjajahan Belanda.

Di saat Soeraja lemas, ia terbangun dan memanggil berulang kali nama Jeng Yah sehingga membuatkan Lebas bingung. Kerana Lebas adalah anak bongsu, ia sering diremehkan oleh abang-abangnya. Oleh sebab itu, saat Lebas menceritakan kejadian ayahnya kepada abang-abangnya, justeru mereka tidak mengendahkannya.


Akhirnya, Lebas berusaha mencari Jeng Yah yang misteri itu. Moment ini telah membawa Lebas ke latar tempat dan masa ketika industri kretek di Kota M yang sebenarnya dikuasai oleh Tuan Idroes Moeria (Rukman Rosadi). Tuan Idroes memiliki dua anak perempuan iaitu Dasiyah (Dian Sastrowardoyo) dan Rukayah (Tissa Biani). Dasiyah merupakan puteri sulung yang tak kunjung tiba menemukan jodohnya.

Akan tetapi, nasib tersebut membawa Dasiyah memiliki perniagaan kretek yang berjaya yang dimiliki ayahnya. Alasannya kerana Dasiyah memang mahir dalam menentukan tembakau terbaik dan memiliki kemahiran menciptakan bahan-bahan kretek yang terbaik.

Namun, niat Dasiyah atau Jeng Yah sirna pada zaman itu kerana perempuan dipandang enteng oleh lelaki. Meskipun lipatan gulungan rokok Dasiyah menjadi favourite ayahnya, namun ia berbeza dengan orang lain yang masih belum mempercayai kemampuan membuat bahan-bahan milik Dasiyah.

Pada suatu hari, ayah Dasiyah membawa seorang pemuda yang bernama Soeraja untuk bekerja di industri perusahaannya. Soeraja memiliki kemampuan diri yang pantas serta cepat belajar. Hal ini membuatkan Dasiyah menyimpan perasaan pada Soeraja.

Kemudian, Soeraja dikenalkan dengan bahan-bahan kretek hasil Dasiyah. Bahan-bahan kretek Dasiyah tersebut mendapat pujian dari Soeraja. Dari sudut lain juga, Soeraja mendapat satu ilmu mengenai pembuatan kretek dari Dasiyah.

Suatu hari, ayah dan ibu Dasiyah memutuskan untuk membawa salah satu anak rakan perniagaannya untuk dijodohkan dengan Dasiyah. Dasiyah khuatir akan pilihan dari kedua orang tuanya kerana hatinya ingin bersama Soeraja.


Kembali pada masa kini, Lebas kembali melanjutkan pencarian misteri Jeng Yah. Namun akhirnya ia mendapatkan petunjuk dari Arum (Putri Marino) yang merupakan seorang doktor. Akhirnya Doktor Arum dan Lebas bekerjasama untuk mencari Jeng Yah sebelum ayah Lebas meninggal dunia.

Ulasan

Untuk makluman semua, siri Netflix Gadis Kretek ini boleh dikatakan antara filem terbaik di Indonesia. Tidak hanya itu, Gadis Kretek menjadi perbincangan ramai warganet di media sosial. Banyak perbincangan mengenai siri ini mengundang perasaan sedih dan kasih sayang. Dari perasaan sedih itu, LeYa juga turut ingin merasai kisah Dasiyah yang dilakonkan oleh Dian Sastrowardoyo.


Ternyata, LeYa memang terkesan dan menangis saat menonton drama bersiri Netflix ini. Siri Gadis Kretek ini mempunyai kombinasi jalan cerita yang cukup menarik serta dibintangi ramai bintang ternama Indonesia yang popular dan berbakat.

Gadis Kretek ini diangkat dari novel terlaris karya Ratih Kumala yang diterbitkan pada tahun 2012. Penulis dari kisah novel ini sebenarnya menulis berdasarkan kisah benar keluarga besarnya yang merupakan pengusaha kretek tempatan di Jawa Tengah. Jadi, ini merupakan faktor yang menarik untuk korang menonton sendiri melihat situasi sebenar apa yang berlaku dalam drama bersiri Netflix ini. Ditambah dengan unsur dramatik serta sedikit aksi berjaya memberi debaran dan kepuasan menyeluruh kepada para penonton.


Genre siri Netflix Gadis Kretek merupakan genre terbaik iaitu romantik dan aksi. Menariknya kedua-dua genre ini berjaya dipaparkan dalam kadar yang sangat baik. Jadi, secara tidak langsung ia menguatkan lagi jalan cerita dan membuatkan penonton ternanti-nanti episod seterusnya. Romantik yang dipaparkan sememangnya cukup berkesan untuk menyentuh hati penonton terutamanya wanita. Manakala genre aksi pula pasti akan membangkitkan adrenalin penonton untuk meneruskan tontonan dengan aksi yang memukau.


Jadi, apa tunggu lagi? Jangan lupa untuk menonton Siri Netflix Gadis Kretek (Cigarette Girl) yang sudah pun ditayangkan bermula 02 November 2023 di saluran Netflix. Dah tonton, jangan lupa tinggalkan komen di bawah ye. Selamat menonton!

Sabtu, 4 November 2023

Review Filem Komedi La Luna

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera...


Filem
La Luna

Pengarah
M. Raihan Halim

Genre
Komedi

Pelakon
 Shaheizy Sam, Sharifah Amani, Wan Hanafi Su, Hisyam Hamid, Nadiya Nisaa, Nam Ron, Farah Ahmad, Iedil Dzuhrie Alaudin dan Wafiy Ilhan

Pengedar
Clover Films dan SKOP Productions

Penerbit
Clover Films, ACT 2 Pictures dan Papahan Films

Tarikh Tayangan
09 November 2023

Sinopsis Filem La Luna

Filem ini mengisahkan sebuah kampung rekaan bernama Bras Basah yang merupakan kawasan paling tegas di negara ini. Dengan kehadiran sebuah kedai pakaian dalam bernama 'La Luna' secara tiba-tiba telah menghidupkan kampung yang sunyi dan tidak bersemangat. Walaupun penduduk kampung mula menerima kehadiran pemilik kedai dengan tangan terbuka, namun, ketua kampung nekad dengan tujuannya untuk mengusir pemillik kedai tersebut dengan apa cara sekalipun!


Ulasan

Alhamdulillah, LeYa telah dijemput oleh Clover Films untuk menonton sebuah filem komedi yang menarik berjudul La Luna pada 31 Oktober 2023 yang lepas di Dadi Pavilion Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Filem ini telah menelan kos belanja sebanyak $1.1 juta (RM3.5 juta) dan bakal ditayangkan seluruh Malaysia pada 9 November 2023 dan di Singapura pada 16 November 2023.

 

Filem La Luna menawarkan satu pengalaman menonton yang unik dan begitu luar biasa serta dekat buat penonton terutamanya untuk para wanita. La Luna mengenai perubahan masa. Manusia patut berubah, patut berkembang. Kadang-kala kalau kita tidak berubah, kita akan tersekat. Ia sebenarnya sangat bahaya kerana perubahan dalam kehidupan tidak dapat dielakkan.

 

LeYa tidak menafikan filem La Luna mempunyai keindahannya yang tersendiri terutama apabila melihat suasana di kampung halaman yang bukan sahaja indah dan ceria tetapi diwarnai dengan majoriti warna kehijauan yang mewakili warna kehidupan di seluruh dunia. Usaha yang gigih menjayakan latar tempat berimej suasana kampung serta hasil pembuatan props yang cukup kreatif sudah cukup membuatkan LeYa melihat La Luna sememangnya dihasilkan dengan cukup baik. Siapa pun yang menonton filem ini pasti merasai suasana di kampung halaman sendiri yang indah dan mendamaikan.

 

Filem La Luna juga dianggap sebagai sebuah cerita 'labour of love' di mana bilamana kita berada dalam situasi La Luna, ia membawa masuk terus dalam diri kita. Filem ini mudah difahami dan cukup santai dipertontonkan dan LeYa pasti korang semua akan tersenyum dan gelak-tawa di dalam pawagam!

LA LUNA dipersembahkan oleh Clover Films; dengan kerjasama ACT 2 Pictures, One Cool Film, dan Papahan Films; diterbitkan oleh Clover Films, ACT 2 Pictures, dan Papahan Films dengan sokongan Suruhanjaya Filem Singapura, Kementerian Penerangan, Komunikasi, dan Kebudayaan (KKD), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Hong Kong Asia Film Financing Forum (HAF), White Light Studio, dan Wouter Barendrecht Film Foundation.


Filem La Luna ini juga mencipta satu lagi sejarah apabila filem ini ditayangkan di pentas antarabangsa menerusi tayangan perdana dunia di Pesta Filem Antarabangsa Tokyo di Jepun pada 24 Oktober lalu. Pengarah telah terbang ke negara matahari terbit itu untuk menjayakan festival berkenaan. Diadakan setiap tahun di Jepun, Pesta Filem Antarabangsa Tokyo itu menghargai dan meraikan sutradara dari serata dunia. La Luna terpilih dalam kategori ‘Asian Future Section’ di mana ia dalam senarai 10 filem yang dipilih untuk bersaing bagi kategori Anugerah Filem Terbaik Akan Datang Asia.

Malah filem ini turut masuk ke Jakarta Film Week. Pengarah, Shaheizy Sam dan Sharifh Amani diterbangkan ke Jakarta untuk sesi tayangan dan temuramah di sana. 

 

Secara keseluruhannya filem La Luna sangat menarik untuk korang tonton di pawagam kerana ia mempunyai keunikan yang tersendiri yang mana mungkin tidak terdapat pada filem-filem lain. Selain itu, pemahaman dan pengalaman menonton filem ini juga smeestinya berbeza antara satu sama lain seperti mana juga korang lihat perbezaan pendapat ketua kampung dengan penduduk kampung. 

Jadi, jangan lupa untuk menonton filem La Luna yang bakal ditayangkan di Malaysia pada 9 November 2023 dan di Singapura pada 16 November 2023. Diharapkan korang semua sudi untuk kongsikan artikel ini di laman sosial korang dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pendapat terhadap filem ini untuk perkongsian semua. Selamat Menonton!