Isnin, 8 Januari 2018

Pertama Kali Ke Chocolate Museum Kota Damansara, Muzium Pertama Di Asia Tenggara

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...


Sebut sahaja Negeri Selangor, ramai yang masih belum tahu tempat-tempat menarik di sini. Malah, ada juga yang beranggapan lebih baik bercuti di tempat peranginan seperti pantai dan kawasan air terjun. Namun, di sebalik kesibukan kotaraya metropolitan yang penuh dengan pelbagai ragam manusia ini, ingin LeYa perkenalkan satu lokasi menarik untuk anda kunjungi bersama keluarga mahupun rakan-rakan.

Baru-baru ini, semasa cuti persekolahan yang lalu, LeYa dan rakan-rakan dari pasukan Propa Rangers telah ambil keputusan untuk melawat Chocolate Muzium Kota Damansara yang terletak di Petaling Jaya, Selangor. Kalau diikutkan planning, macam-macam tempat juga nak dilawati. Tetapi tidak disangka sama sekali Muzium Coklat ini menjadi tarikan destinasi percutian kami ketika itu. 


Kisah Pertama Kali Ke Chocolate Museum Kota Damansara

Chocolate Museum Kota Damansara adalah sebagai Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) oleh DR Group Holding Sdn Bhd yang merupakan syarikat pengeluar dan pengedar coklat terbesar di Malaysia. Muzium coklat ini dibuka secara rasmi oleh Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz pada 16 Januari 2014.

Muzium coklat yang berkonsepkan 3E iaitu pengetahuan interaktif (Education Interactive), pengalaman membuat coklat (Experience Chocolate Making) dan keseronokan membeli-belah (Enjoyable Shoppings) sehingga kini telah menarik setengah juta pelawat sejak pembukaannya. 

Maka, sebagai alternatifnya LeYa seronok mendengar penerangan dari Pegawai Penerangan, Encik Muhamad Ridzwan bin Md Ali bersama Chef Muadz, chef coklat yang turut serta dalam aktiviti teroka kami itu.


Tertarik ke Chocolate Museum Sebab Viral di Media Sosial

Menjadi asbab sekarang semua berita viral di media sosial, tidak terkecuali Muzium Coklat ini. Jadi, atas sebab itu... LeYa merancang bersama rakan kongsi, Along Murni untuk menjayakan program travel bersama Propa Rangers ke Chocolate Museum. Kami ingin alami sendiri, kami nak merasa pertama kali ke Chocolate Museum Kota Damansara dan nak ada pengalaman di situ. 

Lokasi Chocolate Museum ini tidaklah sesukar mana untuk dicari. Hanya perlu waze kan sahaja nama muzium ini, anda akan dibawa terus ke destinasi yang dituju. 

Pun begitu, Encik Suami a.k.a. Otomen Taro ada juga terlepas simpang untuk ke Chocolate Museum ini. Hahaha... Bila terlepas je, mulalah LeYa dipersalahkan sebab lambat tengok Papan Tanda dek leka dengan Smartphone di tangan. Hehe...

Unik dan Tambah Pengetahuan Ketika Berada Di Chocolate Museum

Sampai sahaja ke destinasi, rupanya kawasan Chocolate Museum ini berkeluasan 4000 kaki persegi. Menurut Encik Ridzwan, ianya akan diperluaskan lagi ke 5000 kaki persegi menjelang tahun 2018. 

Mungkin ramai yang tak tahu bagaimana rupa bentuk biji kopi atau koko, rupa raja koko Afrika dan juga anda berpeluang melihat replika mesin adunan coklat pertama di dunia yang telah dicipta pada tahun 1879 oleh peneroka coklat antarabangsa, Swiss Chocolatier, Rodolphe Lindt.








Selain itu, Chef Coklat iaitu Chef Muadz juga memberi penerangan tentang sejarah coklat yang mana coklat ini sebenarnya telah wujud sejak zaman Tamadun Olmec, di mana ia merupakan kaum purba MesoAmerika yang tinggal di dalam hutan di Selatan Teluk Mexico sekitar tahun 600 Sebelum Masihi. Beliau juga telah menunjukkan demonstrasi cara-cara pembuatan coklat dan kemudiannya kami semua diberi peluang untuk merasai sendiri kelazatan coklat segar dari dapur yang dihasilkan beliau.



Aktiviti Propa Rangers Di Chocolate Museum Kota Damansara

Setelah pengembaraan kami di dalam muzium selesai, kami dibawa ke satu lokasi di cafe untuk melaksanakan aktiviti menarik bersama-sama bagi memeriahkan lagi percutian kami itu. Aktiviti yang dijalankan adalah Membina Rumah Coklat oleh pasukan dewasa, manakala kanak-kanak pula diajar Membuat Coklat berupa Gula-Gula.



Penuh asyik dan ketekunan para dewasa meneliti dan merekabentuk rumah ciptaan masing-masing. Tidak disangka bakat-bakat terpendam mereka dapat dilihat menerusi aktiviti gotong-royong ini. Benarlah kata pepatah "Berat sama dipikul, Ringan sama dijinjing". 




Kanak-kanak juga tidak ketinggalan dengan keseronokan mereka dapat makan coklat-coklat yang dibuatnya sendiri. Pertandingan Membina Rumah Coklat diadili oleh Chef. Sememangnya lelaki memang lebih kreatif dan inovatif dalam merekabentuk sesuatu struktur bangunan. Jadinya, pertandingan memihak kepada pasukan lelaki atas kekemasan dan kecantikan rumah yang telah direka siap. Walau bagaimanapun, tidak terkecuali juga pasukan perempuan. LeYa tak kata pasukan perempuan tidak kreatif. Dekorasi mereka juga menarik. Tetapi adat pertandingan pasti semua tahu, ada yang menang dan ada yang kalah. Yang penting, mereka semua gembira. Dan LeYa ucapkan tahniah kepada semua.




Menambah lagi keseronokan para pengunjung yang hadir, ruangan Galeria Coklat memberi peluang kepada pengunjung untuk membeli belah coklat pada harga yang rendah. Galeria ini menempatkan hampir 130 jenama coklat berjenama antarabangsa dan tempatan daripada 30 buah negara. Dengan harga yang murah daripada harga pasaran, muzium ini menjanjikan kualiti coklat yang asli dengan harga 30 sehingga 40 peratus lebih murah dari harga biasa.

Chocolate Museum Tawar Diskaun Sempena Tahun Baru Cina

Berita baik buat penggemar dan pencinta coklat, sempena Tahun Baru Cina ini, Chocolate Museum menawarkan diskaun sehingga 70% bagi coklat berjenama tempatan dan import pada 9,10 dan 11 Februari 2018 ini yang akan berlangsung selama 3 hari bermula  9 pagi hingga 5 petang. Jadi, sudah tentu coklat premium kegemaran anda yang diimport dari luar negara boleh didapati dengan harga yang lebih murah daripada biasa.


Nak Pergi Ke Chocolate Museum?

Bertempat di Kota Damansara, Petaling Jaya, muzium ini dibuka secara percuma untuk orang ramai bermula dari 10 pagi sehingga 5 petang pada setiap hari. Walaupun ia tidak sehebat Chocolate Museum di Brixton, London, Chocolate Museum Vienna Austria, Muzium Hershey dan Chocolate Museum Cologne, Jerman, tetapi ia perlu dibanggakan kerana cetusan ilham anak tempatan iaitu Pengarah Urusan DR Group Holdings Sdn Bhd, Dato' Dahlan Mohd Rashid mampu membukanya setanding muzium coklat antarabangsa yang lain. 



Untuk lawatan berkumpulan, pelawat bolehlah menempah di laman web Chocolate Museum di http://www.chocolatemuseum.my/enquiry.htm 

AlamatNo 2, Jalan Teknologi 3/5,Taman Sains Selangor 1,47810 Kota Damansara,Selangor.
Nombor Telefon: 03-74904260

Faks: 03-61408825

Laman Webwww.chocolatemuseum.com.my

Laman Facebookwww.facebook.com/chocolatemuseumkotadamansara
Laman Instagramhttps://www.instagram.com/chocolate_museum_kd

Jumaat, 5 Januari 2018

Jelajah Selatan Thailand | Kenali Budaya dan Tempat Menarik di Betong

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...


Aha! Episod kali ni LeYa akan menjelajah ke Selatan Thailand bersama rombongan media anjuran Kelab Keamanan Selatan Thailand (SPMC) dan Persatuan Media Selatan Thailand (STMA) dengan kerjasama Smile Vision Holidays, Khalifakota Travel dan Tourism Authority of Thailand (TAT) ke lima wilayah Selatan Thailand iaitu BetongYalaNarathiwatPattani dan Songkhla. 


Bertolak dari Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC)  pada pagi 02 Oktober 2017 dengan menaiki bas dan terus menuju ke pintu masuk Thai melalui sempadan di Perak dan tiba di Betong, Thailand.

Okay... Pasti korang risau dengan keadaan di Selatan Thailand yang digembar-gemburkan dengan kes bom dan tembak-menembak? Dah menjadi lumrah dan adat tugas mereka lah kan untuk melaporkan berita sensasi. Namun, sebaliknya korang tak perlu risau jika ingin melancong ke sini. Bila LeYa sendiri dah sampai di sini, memang jauh berbeza dengan apa didengari sebelum ini. So... rasa bimbang dan takut hilang bila korang sendiri dah ada di situ.

Kali pertama menjejakkan kaki di Betong membuatkan LeYa terpesona dengan keindahan dan keramahan rakyatnya yang menyambut kedatangan kami ke sini. Betong adalah sebuah kawasan kecil yang berada dalam Daerah Yala, Thailand. Kependudukannya yang majoriti Islam membuatkan kami tidak sukar untuk mencari tempat makan yang halal.

Melawat Tapak Lapangan Terbang Baru di Betong

Lokasi pertama yang kami singgah adalah kawasan pembinaan Lapangan Terbang Betong yang mana dijangka siap pada Julai tahun 2019 nanti.  

Kalau dilihat, ia tidaklah seluas seperti di KLIA kerana ia dibangunkan hanya untuk penerbangan domestik sahaja dan mampu mendaratkan kapal terbang bersaiz kecil di antara 3 penerbangan dalam satu hari. Namun, strategi dan perancangan mereka sangat teliti dan rapi dan akan dibesarkan untuk penerbangan dari luar Thailand. Yang pasti LeYa dan rakan-rakan media menjadi yang pertama menjejakkan kaki ke pembinaan lapangan terbang ini. Wahhh!!! Teruja kan! Tak sabar nak tunggu siap.






Berswafoto di Lalang Seperti Berada di New Zealand

Dalam perjalanan menaiki bas itu, sempat kami meninjau-ninjau keadaan sekeliling menerusi cermin tingkap bas. Dan, mata kami terhenti pada satu kawasan yang penuh dengan lalang yang cantik dengan bunga-bunga hidup meliar bak berada di New Zealand. So... bila ada di kalangan kami ingin berhenti untuk ke tandas, kami yang lain mengambil peluang untuk bergambar di sini. Hehehe...


Cantik kan! Rasa macam buat Post-Wedding pulak time nih. 


Tuan Kitchen, Destinasi Makan Yang Paling Menarik

Kami meneruskan lagi perjalanan merentasi Daerah Yala ini untuk ke restoran makanan yang sedap. Perut dah mula menyanyi. Masing-masing tidak sabar untuk tiba ke destinasi yang dituju. 

LeYa dan rakan-rakan dibawa ke restoran Tuan Kitchen untuk merasai makanan istimewa masyarakat Betong iaitu Ayam Betong. Seperti yang LeYa sebut tadi, penduduk Betong majoriti adalah Islam dan restoran yang kami singgah ini adalah halal dan sememangnya sedap.  


Ayam Betong

Telur Dadar

Ikan Masak 3 Rasa

Sambal Udang Petai yang menyelerakan

Hidangan yang disediakan juga sebenarnya tidaklah jauh lari dengan kita di Malaysia. Ayam Betong yang menjadi menu istimewa tuh pun sebenarnya sama seperti lauk nasi ayam yang dikukus dan dicurah dengan kicap manis. Tapi, bila perut dah lapar dan makan di tempat orang, jadinya semua hidangan sedap dan licin tanpa tinggalkan sebarang kesan. Hahaha... Tempat kami menjamu selera pun sangat selesa dan berhawa dingin. Memang puas sangat dapat makan kat sini.


Sistem Ketenteraan Yang Baik di Betong

Jelajah ke Selatan Thailand kami juga dapat mengenal budaya masyarakat dan sistem ketenteraan yang ada di situ. Sungguh banyak sekali yang nak LeYa senaraikan, jadi cukuplah dengan melihat barisan platun pihak berkuasa di atas yang mewakili pelbagai uniform berlainan mengikut tugas. Apa yang menarik bagi LeYa, kesemua mereka ini menjalankan tugas secara sukarela tanpa dibayar gaji demi menjaga keamanan daerah. LeYa dan rakan-rakan memang tabik spring lah tanda hormat kepada mereka yang sanggup bersusah payah nih.  



Menginap di Grand Mandarin Betong Hotel

Kaki melangkah dah mula terasa penat. Barulah akhirnya, kami dibawa ke penginapan kami di Grand Mandarin Betong Hotel. Hotel yang cukup menarik dan selesa buat korang yang teringin nak datang dan singgah ke Betong. Harganya juga tidaklah begitu mahal dan sangat berpatutan. 

Sumber gambar Google

Kemudahan yang disediakan juga semuanya lengkap. Dekorasi hotel ni juga menarik dan memang selesa untuk bermalam di sini. Okay... LeYa dan Otomen nak rest dulu. Sebab keesokannya di awal pagi kami nak bergerak ke lokasi yang sangat menarik. 






Lautan Kabus di Puncak Gunung Iyerweng 

Seawal 4.00 pagi kami bersiap sedia untuk ke destinasi yang paling indah dan tidak dapat dilupakan. Bagi korang yang memang suka dengan keindahan memang tak akan lengkap jika tidak singgah ke sini. Melihat panorama alam yang indah dan berada di ketinggian 2,085 meter paras laut dengan menyaksikan lautan kabus yang berada di sekitar Gunung Iyerweng ini. 


Penat mendaki bukit tersebut hilang setelah sampai di puncak dan bergambar cantik dengan berlatarbelakangkan kepulan kabus yang memutih yang memenuhi kawasan pergunungan itu. Iyerweng ini juga telah diwartakan sebagai kawasan pelancongan dan akan dimajukan lagi dengan pembinaan Sky Walk yang terpanjang di Asia dan akan menarik lebih ramai lagi pelancong untuk datang ke sini. Pagi itu juga, kami bersarapan di atas puncak gunung yang sejuk dan mempesonakan. Memang best sangat! 





Selesai menikmati sarapan pagi di pergunungan, kami bergerak pulang ke hotel penginapan untuk Check-Out dan menuju ke destinasi seterusnya. Habis episod LeYa berada di wilayah Betong. LeYa rasakan memang sangat seronok dan selamat untuk korang datang melancong ke sini.

So... tunggu next entry lain yang LeYa singgah dan menarik ketika berada di Selatan Thailand.

Khamis, 4 Januari 2018

GINTELL Melancarkan De'Space Star Massage Chair Teknologi Tercanggih Di Pasaran

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera...


GINTELL sekali lagi telah melancarkan kerusi urut teknologi tercanggih dengan keistimewaan yang sangat unik pada 23 Disember 2017 lalu untuk dipasarkan di seluruh Malaysia. Jenama keluaran GINTELL ini menyediakan solusi terbaik kepada orang ramai yang saban hari memberi alasan tiada masa untuk bersenam. Produk terkini dari GINTELL yang unik dan berkualiti yang baru dilancarkan itu adalah De'Space Star Massage Chair yang turut disempurnakan majlis perasmiannya oleh pelakon dan pengacara terkemuka, Datuk Jalaludin Hassan bersama Ketua Pegawai Operasi GINTELL, Encik Simon Hue di IOI Mall, Puchong, Selangor.

GINTELL: De'Space Star Massage Chair Inovasi Teknologi Siri Kerusi Urut De'Space UFO

Inovasi teknologi masa kini melihatkan perlunya kita memiliki kesedaran untuk sihat dan cergas secara efisyen, cepat dan selamat. Justeru, sebelum ini LeYa ada memaparkan inovasi Kerusi Urut yang diperkenalkan GINTELL menerusi artikelnya Di Sini, kali ini GINTELL memperagakan lagi kerusi urut tercanggih kesinambungan dari De'Space UFO itu. 


Menurut  Ketua Pegawai Operasi GINTELL, Encik Simon Hue, "Dengan kebangkitan teknologi dan permodenan, sesetengah rakyat Malaysia mengabaikan kesihatan yang menyebabkan gangguan kesihatan. Alasan yang biasa didengari adalah kekurangan masa. Jadi, kami di GINTELL telah merevolusikan kerusi urut kami untuk menyelesaikan permasalahan tersebut."

"Dengan memiliki kerusi urut De'Space Star, anda akan mendapat kelebihan melakukan aktiviti fizikal dengan hanya berehat sahaja di rumah. Dengan cara ini, jadual kerja yang tidak terduga tidak akan menjadi beban kepada kesihatan lagi!", tambah Encik Simon Hue.





Revolusi teknologi kerusi urut GINTELL menyediakan alternatif terbaik kepada rakyat Malaysia yang tidak berkesempatan untuk menjalankan aktiviti fizikal tambahan selepas pulang dari tempat kerja. Ia juga boleh digunakan mengikut keselesaan anda di rumah. De'Space Star dari Siri Kerusi Urut UFO yang baru dilancarkan ini menjanjikan elemen yang unik seperti fungsi Moon Hand Grasp. Bebola urut direka secara khusus untuk menyediakan urutan mirip urutan tangan sebenar. Tardapat juga 4D Reflex Spa yang menyediakan sesi refleksologi yang lengkap yang melibatkan terapi memanaskan betis dan lutut, meliputi kesemua 27 titik akupuntur.

GINTELL: De'Space Star Massage Chair Kini Di Pasaran

De'Space Star ini ditawarkan dengan harga RM11,836 termasuk dengan urutan yang telah diprogramkan. Program urutan ini menyediakan pelbagai kelebihan untuk mereka yang prihatin terhadap kesihatan. Antaranya, Yoga Stretch yang menyediakan manfaat senaman yoga. Dengan fungsi 210° Yoga Stretch, anda dapat mengelakkan dari menjadi bongkok, kaki berbentuk O dan X dan juga kyphosis. Di samping itu, anda juga dapat menguatkan sendi, memperbertulkan postur tubuh dan keseimbangan serta memperbaiki pelurusan tubuh jika digunakan secar berterusan.




GINTELL berada di kelas yang tersendiri dengan sistem sokongan yang diperkukuhkan untuk pengguna berketinggian sehingga 180cm dengan Sistem iSensing yang mana mengukur ketinggian pengguna dengan tepat secara automatik. Di antara fungsi-fungsi lain yang mengagumkan ialah Zero Gap Recliner untuk mengoptimumkan ruang, Program i-Memory yang membolehkan pengguna untuk menyimpan teknik urutan yang diminati dan Zero Gravity yang menyediakan posisi yang ideal untuk keselesaan maksimum.

GINTELL juga telah membuktikan komitmen terbaik kepada kesihatan rakyat Malaysia dengan menganjurkan program bual bicara kesihatan bertajuk "Breathing Well with Yoga" yang dihoskan oleh pengacara dan personaliti kesihatan, Jojo Struys. Sementara itu, Datuk Jalaludin menghiburkan para peminatnnya dalam sesi ramah mesra secara eksklusif.



Dapatkan GINTELL De'Space Star Di Pasaran Sekarang

Sempena pelancaran, GINTELL menawarkan "Promosi Musim Perayaan Krismas" dengan cara pembeli berpeluang menikmati rebat tunai istimewa sebanyak RM2,000 dengan setiap pembelian kerusi urut De'Space Star. Jom kita dapatkan produk GINTELL di pasaran sekarang! 


Penghargaan terima kasih tidak terhingga diucapkan kepada Samenta James atas undangan ke Majlis Pelancaran GINTELL De'Space Star Massage Chair ini. Untuk maklumat lanjut boleh layari www.gintell.com atau hubungi 1-800-88-6332.