Jumaat, 23 Februari 2018

Jelajah Selatan Thailand | Kembara Ke Sungai Golok dan Penginapan Mewah Di Pattani

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...

Alhamdulillah… Dua episod dah LeYa ceritakan pengalaman LeYa mengembara di bumi selatan Thailand. Kali ini LeYa akan bawa lagi korang menikmati pemandangan lebih indah di kawasan Su-ngai Golok dan Pattani


Sebelum tu, jom sarapan pagi dahulu di sekitar pasar pagi di Hotel Genting. Macam-macam ada! Confirm korang rambang mata nak memilihnya. 


Sempadan Malaysia-Thailand di Pintu Masuk Su-ngai Golok

Sungai Golok atau Sungai Kolok adalah satu lokasi yang sama. Yang bezanya adalah pertuturan yang datang dari negeri Kelantan di mana mereka menyebut “Sungai Golok” manakala orang-orang Thai pula menyebut dengan kata “Sungai Kolok”. Tiada bezanya pun. Ha! Kan dah tahu serba sedikit budaya pertuturan masyarakat di sini. Sebab itulah LeYa memang suka travel untuk menambahkan lagi pengetahuan.


Okay2… Dalam temubual di bawah sinaran matahari penuh memikat, pegawai yang bertanggungjawab telah menerangkan bagaimana pengurusan keluar-masuk rakyat Thailand dan Malaysia serta pelancong yang menggunakan pengangkutan darat untuk ke sini. Menurut beliau lagi, penduduk Thai yang berhampiran sempadan, hanya menggunakan passport sementara untuk membolehkan mereka berurusan kerja di Kelantan.



Bagi rakyat Malaysia yang masuk melalui Rantau Panjang, mereka disediakan perkhidmatan motor khas yang mana ia membawa orang Malaysia dan pelancong ke Bandar Sungai Golok dengan kadar bayaran sebanyak 40 baht.


Perjalanan kami seterusnya menjelajah kawasan industri kraftangan yang mana dihasilkan sendiri oleh penduduk kampung. Setibanya kami di kawasan Kampung Baan Thorn Aman, LeYa terpukau dengan kekreatifan dan keseniaan hasil kraf yang direka mereka. Memang sangat cantik dan terpesona.


Dikatakan lagi di mana di selatan Thailand ini, kerajaan amat menggalakkan dan menerapkan setiap kampung mesti mempunyai satu hasil kraf mereka sendiri untuk dimajukan sebagai sumber pendapatan dan juga sebagai pusat pelancongan untuk menarik ramai pelancong hadir ke sini.  



Di sini, kami bertuah kerana dapat melihat dari awal mereka lakukan kerja-kerja kraftangan ini bermula dengan menjemur daun, mewarnakannya dan menganyam sehingga menjadi hasil yang sangat cantik.


Tengok sahaja lah bagaimana LeYa menggayakan hasil seni halus mereka ini. Cantik kan! Ramai jugalah di kalangan rakan-rakan LeYa yang membelinya sebagai cenderahati untuk dibawa balik Malaysia nanti. LeYa memang teringin juga nak memiliki satu tapi memandangkan masa tuh wang yang dibawa hanya cukup-cukup untuk keperluan yang lebih penting, jadinya LeYa batalkan niat dan cukuplah sekadar memiliki gambar-gambar sebagai tanda kenang-kenangan. Hehehe….


Tidak cukup itu sahaja, kami melawat pula perkampungan yang menjalankan perusahaan pertukangan sampan dan perahu. WoW!!! Cantiknya! Sekali lagi LeYa terpegun dengan seni halus yang mereka hasilkan.




Korang kenal tak dengan daun yang LeYa tunjukkan kat atas tuh? Kalau korang nak tahu itu adalah Daun Emas. Satu yang masih segar bugar dan satu lagi yang sudah dikeringkan. Daun emas yang telah dikeringkan itu kemudian digilap dan dicantikkan untuk dijadikan perhiasan dinding dalam frame. Menarik sangat kan! LeYa suka betul tengok hasil seni mereka ni.


Perjalanan LeYa tidak terhenti di situ. Kami meneruskan lagi perjalanan tengah hari itu ke sebuah sekolah, Attarkiah Islamiah School. Ia merupakan sebuah sekolah swasta yang sangat besar dan lengkap dengan pelbagai kemudahan dan kesemua pelajarnya adalah Islam. Pelbagai rencah kehidupan di dunia pekerjaan telah diajari di situ untuk memberikan pelajar lebih mesra dan kenal kehidupan selepas sekolah. Nampak menarik kan tetapi nak masuk ke sini bukanlah mudah. Pelajar yang ingin memasuki ke sekolah ini perlulah melalui satu ujian yang melayakkan mereka untuk menyertai pembelajaran di sini.


Suasana sekolah yang cukup kondusif dan selesa untuk para pelajarnya menjalani pembelajaran dengan tenang dan selesa.


Kehadiran kami ke situ disambut meriah oleh mereka dengan persembahan koir, seni pencak silat dan juga tarian serta dijamu hidangan makanan tengah hari yang sedap-sedap belaka. Ya Allah! Syukurnya dengan limpahan rezeki yang diperoleh LeYa ketika berada di sini. Perut kenyang, hati pun riang walaupun terasa penat mengembara ke destinasi-destinasi menarik ini. Benarlah orang kata, penat badan akan hilang bila kita sampat ke lokasi percutian yang menarik.


Azan sudah pun berkumandang menandakan waktu solat Zuhor. Kebetulan kami lalu di situ dan terus berhenti di sebuah masjid yang pembinaannya tanpa menggunakan sebiji paku pun. Masjid itu dikenali Wadi Al-Husein yang telah dibina pada tahun 1624 oleh Wan Husein bersama penduduk Kampung Teluk Manok di Pattani secara bergotong-royong. Bangunan yang sederhana besar itu dibina keseluruhannya dengan kayu cengal dan atapnya daripada genting.


Menurut Imam yang mengendalikan masjid itu, konsep masjid ini menggabungkan Jawa dan Arab yang kita dapat lihat melalui ukiran dan rekabentuk luarnya. Hasil daripada pembinaannya yang tanpa jentera itu, siap secara bergotong-royong dengan menggunakan peraltan asas seperti kapak dan beliung, ketam dan pahat, batu kikir dan lain-lain. Jadi, terhasil lah sebuah masjid yang indah dan kemas sehingga kini. 




Jauh perjalanan luas pandangan. Itulah orang tua-tua dahulu kata. Perjalanan kami sudah semakin jauh. Kini, kami sudah pun berada di kawasan Pattani. Jam ketika itu sudah menunjukkan lebih kurang pukul 4.30 petang. Kami telah sampai di sebuah kampung nelayan yang diberi nama Kampung Bhana. Di sini, ekonomi pelancongannya diperkenalkan melalui aktiviti merentasi Sungai Pattani untuk melawat tinggalan lama Kompleks Makam Diraja.


Setibanya kami di Kampung Bhana, kami dihidang dengan makanan tradisional yang rata-ratanya LeYa tidak pernah makan. Antaranya ialah Buah Gomok Abu, Ladhu, Tepung Bongkol dan Kerabu Sare. Bagi LeYa yang memang pencinta makanan ni, memang layan jer. Hahaha

Kerabu Sare

Tepung Bongkol

Perut pun sudah terisi. Tanpa melengahkan masa lagi, kami diberi life jacket untuk bersiap sedia menaiki bot ke kampung seberang melihat tinggalan lama makam diraja. Perjalanan di lautan memberi pengalaman bermakna buat LeYa sebab dapat melihat suasana lautan dan pulau-pulau kecil yang ada di negara luar. Tak lama mana pun kami di atas bot tu. Lebih kurang dalam 20 minit je. Bila kami sampai di perkampungan itu, kami terus bergerak ke kawasan Kompleks Makam Diraja yang juga diberi nama makam Raja Biru, Raja Hijau dan Raja Ungu di mana mereka merupakan 3 adik-beradik diraja pada zaman kegemilangan raja Islam di Pattani suatu ketika dahulu. Kami tak lama kat sini sebab hari sudah pun mulai gelap. 





Turun sahaja dari bot, hidung terbau makanan bakar. Hoho… Kami dihidang pula makan malam dengan makanan laut yang segar dari lautan. “Sinting” seperti dalam gambar di bawah ini adalah yang pertama kali LeYa menikmatinya. Okay sedap juga. Tetapi otomen memang sangat suka sebab dia dah pernah makan pun sebelum ni masa kecil dulu-dulu. Hehe



Yabeddaa.. beddooo… Perut dah suka hati kekenyangan dengan hidangan makanan yang segar dan enak. Kami pun meminta diri untuk beradu di penginapan hotel ketiga kami. LeYa amat-amat berterima kasih kepada C.S. Pattani Hotel kerana telah menyediakan penginapan yang mewah dan selesa buat kami semua.

Sumber Google




Ada banyak lagi cerita menarik di kawasan Pattani ini. Nak tahu lagi? Terus ikuti Blog LeYa. Okay...Selamat bercuti kepada semua yang sedang merancang untuk percutian menarik. 

Khamis, 22 Februari 2018

Jelajah Selatan Thailand | Melawat Peti Surat Terbesar dan Siaran TV Yala

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...

Okay... LeYa nak sambung semula travel LeYa dengan rakan media ke selatan Thailand yang lalu. Sebelum ni LeYa ada cerita tentang Jelajah Selatan Thailand | Kenali Budaya dan Tempat Menarik di Betong yang semakin terkenal dan berkembang. Kali ini LeYa bawa lagi meneroka kawasan selatan Thai yang lain. 


Usai bergambar di puncak Gunung Iyerweng, kami bergegas balik ke hotel untuk check-out. Sebelum sampai ke destinasi wilayah kedua iaitu Narathiwat, kami singgah dahulu di peti surat terbesar di dunia yang terletak di Bandar Betong dan mengabadikan sedikit kenangan di situ. Pertama kali datang dan melihat sendiri betapa besarnya peti surat itu. Tengok lah tu! Kecil sahaja LeYa dengan peti surat gergasi berwarna merah tu. Memang kalau main sorok-sorok bawah timbunan surat pasti tak dijumpai. Ekekeke...




Kemudian, selesai bergambar kami dibawa pula ke pusat penyiaran TV tunggal di Yala iaitu NBT Yala. Okay... LeYa teruja sebab dapat tengok bagaimana krew-krew tv jalankan produksi mereka, lebih-lebih lagi di selatan Thai ini. Paling seronok lagi, kami dapat sertai satu program tv mereka yang bertajuk "Di Kedai Kopi". 


Dapat jugak lah kami media Malaysia merasai masuk dalam siaran TV di selatan Thai ini. Program Di Kedai Kopi ini menggunakan dwi bahasa iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Thai. Tetapi Bahasa Melayunya lebih kepada dialek Kelantan. Jadi, memerlukan pendengaran yang baik untuk memahami setiap bait-bait bicara mereka. Lagi-lagi LeYa yang agak kurang kick sikit bila percakapan laju-laju. Syukur ada hero Malaya LeYa, Mr. Otomen Taro




Selesai percutian kami selama 2 hari di Daerah Yala. Memang seronok dan semuanya dalam keadaan selamat. Jadi korang bolehlah singgah untuk menikmati tempat-tempat menarik di sini. Perjalanan kami ke Su-ngai Golok iaitu Daerah Narathiwat melalui jalan darat mengambil masa lebih kurang 2 jam. Setibanya di sana, hari sudah pun malam. Jadi kami terus check-in di hotel kedua iaitu Hotel Genting


Sumber | Google

Setibanya kami di sini, kami dibawa masuk ke ruang Ballroom mereka untuk menikmati juadah makanan dengan diiringi persembahan tarian kebudayaan yang mereka telah sertakan. WoW!!! Hebat! Memang seronok melihatnya. 




Hidangan yang disediakan juga semuanya sedap-sedap. Memang menepati citarasa LeYa yang suka makan pedas-pedas. Makan malam sambil ditemani persembahan kebudayaan memang meriah. Perut yang sedari tadi kelaparan, kenyang dan seronok dengan layanan mereka kepada kami semua.



Bila malam menjelma, pasti semua umat manusia akan tidur. Usai dari menikmati juadah makanan yang sedap-sedap berserta persembahan yang cukup bertenaga dan menakjubkan, kami bersiap sedia untuk masuk ke ruang bilik kami masing-masing untuk merehatkan diri buat seketika. Masuk sahaja bilik yang mempunyai 2 katil bujang ini terasa terus ingin melompat dan tidur. Namun, memandangkan LeYa belum lagi menunaikan kewajipan sebagai seorang muslim, jadinya selesai sahaja mandi dan membersihkan diri, LeYa bersolat Jama' Takhir Maghrib dan Isyak dan barulah lena dibuai mimpi indah.


Ruang bilik yang cukup selesa dan dilengkapi segalanya perkakasan yang ada pada hotel, memudahkan LeYa dan Otomen untuk bermalam di situ. Walaupun hotel di Betong lebih selesa dan cantik, tetapi LeYa rasa di sini pun sudah memadai. Lagipula, kami hanya 1 malam di hotel di setiap tempat yang kami tuju. 



Nak tahu destinasi menarik yang akan LeYa singgah di sini keesokan harinya, nantikan kemunculan episod seterusnya dari LeYa akan datang. Semoga bertemu lagi dan selamat bercuti jika ada yang sedang merancang percutian buat keluarga. 

Stay tuned yaa...!