Memaparkan catatan dengan label Filem. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Filem. Papar semua catatan

Khamis, 14 Disember 2023

Review Filem Walid | Kini Boleh Ditonton di Netflix

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera...


Filem
Walid

Pengarah
Areel Abu Bakar

Genre
Aksi

Pelakon
Megat Sharizal, Namron, Fad Annuar, Fieyna Tajudin, Puteri Qaseh, Shamputra, Yusran Hasim dan ramai lagi

Penerbit
Layar Pictures Sdn Bhd

Sinopsis Filem Walid

Filem ini mengisahkan tentang seorang guru, Walid (lakonan Megat Sharizal) yang baik hati dan berdedikasi secara sukarela mengajar kanak-kanak kurang bernasib baik di sebuah perkampungan. Walau bagaimanapun, segalanya berubah apabila beberapa orang pelajarnya menghilangkan diri dari kelas. Dengan bantuan rakan-rakannya berserta petunjuk dan klu yang ditinggalkan, beliau menjejak pelajar-pelajarnya yang disyaki menjadi mangsa penculikan.


Ulasan

Setelah kejayaan filem Geran yang ditayangkan pada tahun 2019, Layar Pictures kembali menerbitkan sebuah lagi filem aksi berjudul WALID. Alhamdulillah, walaupun LeYa tidak dapat menonton filem ini di panggung wayang, namun, LeYa baru sahaja berkesempatan menonton filem ini di saluran Netflix. 

Mengangkat tentang isu penculikan kanak-kanak, Walid merupakan sebuah filem aksi yang sarat dengan elemen seni mempertahankan diri iaitu silat. Filem ini juga menggambarkan isu penting perdagangan manusia di mana kanak-kanak digunakan sebagai alat untuk menjadi komoditi dalam pasaran hitam global.


Sebelum LeYa pergi lebih jauh kepada faktor-faktor utama kehebatan filem ini, LeYa nak berkongsi dengan perkara kecil terlebih dahulu tetapi memberi impak kepada perjalanan keseluruhan filem ini. Filem ini masih sama seperti filem Geran yang menggunakan dialek dan lenggok bahasa Utara secara keseluruhannya. Penggambaran juga turut dilakukan di negeri Kedah sekitar Februari 2022 yang mana pada ketika itu negara kita baru sahaja berakhir pandemik Covid-19. Istimewanya tentang filem ini adalah barisan pelakon mereka sendiri rata-ratanya mempunyai asas dalam seni mempertahankan diri. 


Kembali kepada fokus utama di mana silat yang merupakan elemen seni mempertahankan diri jarang-jarang diangkat. Kerana terlalu ramai merindukan aksi-aksi silat, Areel yang sangat berbakat telah menghasilkan dan mengangkat sekali lagi seni mempertahankan diri ini dalam filem Walid bersama para pelakon hebat seperti Megat Sharizal, Namron, Fad Annuar, Fieyna Tajudin, Puteri Qaseh, Shamputra, Yusran Hasim dan ramai lagi. Filem Walid ini telah memberikan harapan pada penonton tentang kemunculan pelapis-pelapis baru dalam filem ini yang mana ia telah menampilkan aksi silat yang benar-benar hebat dan berkualiti.


Asyik memuji je pun tak boleh juga kan. Dalam dunia ni mana ada yang betul-betul perfect. Ye ke idok? Jadi, filem Walid juga tidak dapat lari dari beberapa kelemahan yang LeYa dapat kenal pasti sepanjang menonton filem ini. Babak-babak cerita pada permulaan agak perlahan, tiada tujuan dan hampir hilang tumpuan ketika menontonnya. Bagi LeYa, mungkin selepas ini Areel boleh ubah sedikit penceritaan kepada lebih fokus tentang filem, memaparkan adegan ceria dan happening di awal penceritaan serta memainkan sudut kamera dan suntingannya. Gangguan di sini bukanlah gangguan yang dominan cuma sayangnya jika ada penonton yang kurang sabar, pasti akan terus tutup dan tidak menghabiskan tontonan. Namun, LeYa tidak kata arahan dan lakonan para pelakon tidak bagus. Sememangnya lakonan dari para pelakon yang dipilih Areel sangat hebat dan menjiwai watak.


Jadi, LeYa nak bagitahu korang jangan tutup cerita selagi tak habis tau. Selamat menonton filem Walid di saluran Netflix korang dan tinggalkan komen di bawah terhadap filem ini untuk perkongsian kita semua. #JananKecam 

Rabu, 8 November 2023

Review Filem Gadis Kretek

 Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera...


Filem
Gadis Kretek

Pengarah
Kamila Andini dan Ifa Isfansyah

Genre
Romantik dan Aksi

Pelakon
Dian Sastrowardoyo, Ario Bayu, Putri Marino, Arya Saloka, Sheila Dara Aisha, Ine Febriyanti, Tissa Biani, Ibnu Jamil, Rukman Rosadi, Tutie Kirana, Dimas Aditya, Winky Wiryawan, Pritt Timothy, Verdi Solaiman, dan Nungki Kusumastuti

Durasi
5 Episod di Siri Netflix

Tarikh Tayangan
02 November 2023

Penilaian
10/10

Sinopsis Gadis Kretek

Filem ini mengisahkan Lebas (Arya Saloka) yang setia menemani ayahnya, Soeraja (Ario Bayu) yang dirawat di hospital. Keluarga besar Lebas merupakan pemilik perniagaan besar Kretek Djagad Raja sejak zaman pascapenjajahan Belanda.

Di saat Soeraja lemas, ia terbangun dan memanggil berulang kali nama Jeng Yah sehingga membuatkan Lebas bingung. Kerana Lebas adalah anak bongsu, ia sering diremehkan oleh abang-abangnya. Oleh sebab itu, saat Lebas menceritakan kejadian ayahnya kepada abang-abangnya, justeru mereka tidak mengendahkannya.


Akhirnya, Lebas berusaha mencari Jeng Yah yang misteri itu. Moment ini telah membawa Lebas ke latar tempat dan masa ketika industri kretek di Kota M yang sebenarnya dikuasai oleh Tuan Idroes Moeria (Rukman Rosadi). Tuan Idroes memiliki dua anak perempuan iaitu Dasiyah (Dian Sastrowardoyo) dan Rukayah (Tissa Biani). Dasiyah merupakan puteri sulung yang tak kunjung tiba menemukan jodohnya.

Akan tetapi, nasib tersebut membawa Dasiyah memiliki perniagaan kretek yang berjaya yang dimiliki ayahnya. Alasannya kerana Dasiyah memang mahir dalam menentukan tembakau terbaik dan memiliki kemahiran menciptakan bahan-bahan kretek yang terbaik.

Namun, niat Dasiyah atau Jeng Yah sirna pada zaman itu kerana perempuan dipandang enteng oleh lelaki. Meskipun lipatan gulungan rokok Dasiyah menjadi favourite ayahnya, namun ia berbeza dengan orang lain yang masih belum mempercayai kemampuan membuat bahan-bahan milik Dasiyah.

Pada suatu hari, ayah Dasiyah membawa seorang pemuda yang bernama Soeraja untuk bekerja di industri perusahaannya. Soeraja memiliki kemampuan diri yang pantas serta cepat belajar. Hal ini membuatkan Dasiyah menyimpan perasaan pada Soeraja.

Kemudian, Soeraja dikenalkan dengan bahan-bahan kretek hasil Dasiyah. Bahan-bahan kretek Dasiyah tersebut mendapat pujian dari Soeraja. Dari sudut lain juga, Soeraja mendapat satu ilmu mengenai pembuatan kretek dari Dasiyah.

Suatu hari, ayah dan ibu Dasiyah memutuskan untuk membawa salah satu anak rakan perniagaannya untuk dijodohkan dengan Dasiyah. Dasiyah khuatir akan pilihan dari kedua orang tuanya kerana hatinya ingin bersama Soeraja.


Kembali pada masa kini, Lebas kembali melanjutkan pencarian misteri Jeng Yah. Namun akhirnya ia mendapatkan petunjuk dari Arum (Putri Marino) yang merupakan seorang doktor. Akhirnya Doktor Arum dan Lebas bekerjasama untuk mencari Jeng Yah sebelum ayah Lebas meninggal dunia.

Ulasan

Untuk makluman semua, siri Netflix Gadis Kretek ini boleh dikatakan antara filem terbaik di Indonesia. Tidak hanya itu, Gadis Kretek menjadi perbincangan ramai warganet di media sosial. Banyak perbincangan mengenai siri ini mengundang perasaan sedih dan kasih sayang. Dari perasaan sedih itu, LeYa juga turut ingin merasai kisah Dasiyah yang dilakonkan oleh Dian Sastrowardoyo.


Ternyata, LeYa memang terkesan dan menangis saat menonton drama bersiri Netflix ini. Siri Gadis Kretek ini mempunyai kombinasi jalan cerita yang cukup menarik serta dibintangi ramai bintang ternama Indonesia yang popular dan berbakat.

Gadis Kretek ini diangkat dari novel terlaris karya Ratih Kumala yang diterbitkan pada tahun 2012. Penulis dari kisah novel ini sebenarnya menulis berdasarkan kisah benar keluarga besarnya yang merupakan pengusaha kretek tempatan di Jawa Tengah. Jadi, ini merupakan faktor yang menarik untuk korang menonton sendiri melihat situasi sebenar apa yang berlaku dalam drama bersiri Netflix ini. Ditambah dengan unsur dramatik serta sedikit aksi berjaya memberi debaran dan kepuasan menyeluruh kepada para penonton.


Genre siri Netflix Gadis Kretek merupakan genre terbaik iaitu romantik dan aksi. Menariknya kedua-dua genre ini berjaya dipaparkan dalam kadar yang sangat baik. Jadi, secara tidak langsung ia menguatkan lagi jalan cerita dan membuatkan penonton ternanti-nanti episod seterusnya. Romantik yang dipaparkan sememangnya cukup berkesan untuk menyentuh hati penonton terutamanya wanita. Manakala genre aksi pula pasti akan membangkitkan adrenalin penonton untuk meneruskan tontonan dengan aksi yang memukau.


Jadi, apa tunggu lagi? Jangan lupa untuk menonton Siri Netflix Gadis Kretek (Cigarette Girl) yang sudah pun ditayangkan bermula 02 November 2023 di saluran Netflix. Dah tonton, jangan lupa tinggalkan komen di bawah ye. Selamat menonton!

Sabtu, 4 November 2023

Review Filem Komedi La Luna

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera...


Filem
La Luna

Pengarah
M. Raihan Halim

Genre
Komedi

Pelakon
 Shaheizy Sam, Sharifah Amani, Wan Hanafi Su, Hisyam Hamid, Nadiya Nisaa, Nam Ron, Farah Ahmad, Iedil Dzuhrie Alaudin dan Wafiy Ilhan

Pengedar
Clover Films dan SKOP Productions

Penerbit
Clover Films, ACT 2 Pictures dan Papahan Films

Tarikh Tayangan
09 November 2023

Sinopsis Filem La Luna

Filem ini mengisahkan sebuah kampung rekaan bernama Bras Basah yang merupakan kawasan paling tegas di negara ini. Dengan kehadiran sebuah kedai pakaian dalam bernama 'La Luna' secara tiba-tiba telah menghidupkan kampung yang sunyi dan tidak bersemangat. Walaupun penduduk kampung mula menerima kehadiran pemilik kedai dengan tangan terbuka, namun, ketua kampung nekad dengan tujuannya untuk mengusir pemillik kedai tersebut dengan apa cara sekalipun!


Ulasan

Alhamdulillah, LeYa telah dijemput oleh Clover Films untuk menonton sebuah filem komedi yang menarik berjudul La Luna pada 31 Oktober 2023 yang lepas di Dadi Pavilion Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Filem ini telah menelan kos belanja sebanyak $1.1 juta (RM3.5 juta) dan bakal ditayangkan seluruh Malaysia pada 9 November 2023 dan di Singapura pada 16 November 2023.

 

Filem La Luna menawarkan satu pengalaman menonton yang unik dan begitu luar biasa serta dekat buat penonton terutamanya untuk para wanita. La Luna mengenai perubahan masa. Manusia patut berubah, patut berkembang. Kadang-kala kalau kita tidak berubah, kita akan tersekat. Ia sebenarnya sangat bahaya kerana perubahan dalam kehidupan tidak dapat dielakkan.

 

LeYa tidak menafikan filem La Luna mempunyai keindahannya yang tersendiri terutama apabila melihat suasana di kampung halaman yang bukan sahaja indah dan ceria tetapi diwarnai dengan majoriti warna kehijauan yang mewakili warna kehidupan di seluruh dunia. Usaha yang gigih menjayakan latar tempat berimej suasana kampung serta hasil pembuatan props yang cukup kreatif sudah cukup membuatkan LeYa melihat La Luna sememangnya dihasilkan dengan cukup baik. Siapa pun yang menonton filem ini pasti merasai suasana di kampung halaman sendiri yang indah dan mendamaikan.

 

Filem La Luna juga dianggap sebagai sebuah cerita 'labour of love' di mana bilamana kita berada dalam situasi La Luna, ia membawa masuk terus dalam diri kita. Filem ini mudah difahami dan cukup santai dipertontonkan dan LeYa pasti korang semua akan tersenyum dan gelak-tawa di dalam pawagam!

LA LUNA dipersembahkan oleh Clover Films; dengan kerjasama ACT 2 Pictures, One Cool Film, dan Papahan Films; diterbitkan oleh Clover Films, ACT 2 Pictures, dan Papahan Films dengan sokongan Suruhanjaya Filem Singapura, Kementerian Penerangan, Komunikasi, dan Kebudayaan (KKD), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Hong Kong Asia Film Financing Forum (HAF), White Light Studio, dan Wouter Barendrecht Film Foundation.


Filem La Luna ini juga mencipta satu lagi sejarah apabila filem ini ditayangkan di pentas antarabangsa menerusi tayangan perdana dunia di Pesta Filem Antarabangsa Tokyo di Jepun pada 24 Oktober lalu. Pengarah telah terbang ke negara matahari terbit itu untuk menjayakan festival berkenaan. Diadakan setiap tahun di Jepun, Pesta Filem Antarabangsa Tokyo itu menghargai dan meraikan sutradara dari serata dunia. La Luna terpilih dalam kategori ‘Asian Future Section’ di mana ia dalam senarai 10 filem yang dipilih untuk bersaing bagi kategori Anugerah Filem Terbaik Akan Datang Asia.

Malah filem ini turut masuk ke Jakarta Film Week. Pengarah, Shaheizy Sam dan Sharifh Amani diterbangkan ke Jakarta untuk sesi tayangan dan temuramah di sana. 

 

Secara keseluruhannya filem La Luna sangat menarik untuk korang tonton di pawagam kerana ia mempunyai keunikan yang tersendiri yang mana mungkin tidak terdapat pada filem-filem lain. Selain itu, pemahaman dan pengalaman menonton filem ini juga smeestinya berbeza antara satu sama lain seperti mana juga korang lihat perbezaan pendapat ketua kampung dengan penduduk kampung. 

Jadi, jangan lupa untuk menonton filem La Luna yang bakal ditayangkan di Malaysia pada 9 November 2023 dan di Singapura pada 16 November 2023. Diharapkan korang semua sudi untuk kongsikan artikel ini di laman sosial korang dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pendapat terhadap filem ini untuk perkongsian semua. Selamat Menonton!

Rabu, 13 September 2023

TEBUS Angkat Prinsip dan Harga Diri Manusia. Review Filem Tebus di Prime Video

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera...

Hai korang... Teringat satu cerita sewaktu Hari Merdeka hari tu, so LeYa terasa nak menulis lah serba sedikit tentang review filem ni. Filem berjudul Tebus mula ditayangkan pada 31 Ogos 2023 lalu di Prime Video.

Nak dijadikan cerita dan sebab nak support filem tempatan yang menjadi filem pertama ditayangkan di Amazon Prime, so LeYa pun decide dan ajak la kawan-kawan ke panggung wayang The Starling Mall, Damansara untuk tayangan perdana sehari awal sebelum Merdeka.

Kalau korang nak tahu lagi, filem Tebus merupakan terbitan syarikat produksi Vian Media Sdn Bhd dan diarahkan oleh Jason Chong merangkap pencetus idea untuk naskhah ini serta nukilan skrip karya hasil tulisan Sky Khor.

Tebus ditunjangi oleh bintang hebat tanah air seperti Aedy Ashraf, Azhan Rani, Jay Iswazir dan Marisa Yasmin. Bersama mereka, pelakon baharu yang semakin meningkat naik, Ahirine Ahirudin dan Idan Aedan turut memberi kelainan dan sesuatu yang segar dalam filem ini.

Sinopsis Filem Tebus

Duit memberi definisi yang pelbagai oleh setiap manusia. Ada yang hidup mewah kerana duit malah tidak kurang juga yang masih bermati-matian bekerja mencari duit untuk digunakan sehari-harian.

Meski 'si kaya' mahupun 'si miskin', selagi namanya sebuah kehidupan, memiliki duit adalah satu keperluan untuk kelangsungan hidup.

Namun, adakah setiap manusia menggunakan 'jalan' yang 'lurus' dan betul untuk mendapatkan duit?

Filem Tebus mengangkat kisah tentang seorang pengawal keselamatan, Johan yang telah menculik pewaris barangan kemas, Ana untuk mendapatkan jantung di pasaran gelap bagi membantu adiknya, Jalil. Dek kerana terdesak, Johan melakukan perbuatan jahat tersebut namun perancangannya tidak berjalan lancar apabila Bakar (bapa tiri Ana) tidak mahu membayar walau satu sen pun hasil penculikan tersebut. Malah, dia pula menawarkan wang ringgit yang tinggi sekiranya Johan membunuh Ana.

Tetapi itu bukanlah sifat yang ada pada diri Johan. Dari kisah penculikan, akhirnya menjadi misi penyelamat iaitu jauhkan Ana daripada Bakar. Disebabkan itu, Johan terpaksa melupakan hasrat untuk membantu Jalil.

Adakah pada akhirnya Johan mendapat penderma jantung untuk adiknya? Atau Johan mengambil keputusan membunuh Ana untuk dapatkan wang dari Bakar demi menyelamatkan adiknya yang sedang nazak?

Review Filem Tebus

Berdasarkan situasi tersebut, Tebus yang berdurasi 114 minit ini membawa penonton masuk ke dalam dunianya yang penuh dengan aksi, kasih sayang, kemanusiaan, empati dan berkenalan dengan 'dunia gelap' yang sentiasa menanti untuk menjerumuskan seseorang ke dalam kemusnahan.

Dari awal, LeYa dah expect filem ni pasti gempak sebab ye lah kan nak dibawa ke pasaran luar tu di Amazon. But, LeYa is sedikit kecewa kerana selepas tontonan filem ni biasa-biasa sahaja. Terlalu Straight to the point dan tidak perlu bertanya-tanya apa yang akan berlaku seterusnya. Ianya diibaratkan seperti kita dah boleh jangka apa akan berlaku.

Tapi tak lah LeYa kata tak best kan. Filem Tebus ni best dan santai. Jadi, penat-penat balik kerja, santai depan TV ke Laptop, bolehlah tonton seisi keluarga. 

Di akhir cerita, kita boleh lihat ada dimasukkan plot twist, namun seperti yang LeYa bagitahu, ianya sudah boleh dibaca. Jadi, kita boleh tahu apa akan berlaku. Tapi plot twist part paling akhir tu memang diluar jangkaan juga lah. Ingatkan dah setel, tapi rupanya belum. So, that is why la LeYa cakap cerita tu ok dan best je untuk ditonton hingga akhir.

Filem ni bagi LeYa bermula dengan baik. Then, mula agak sedikit perlahan dan santai. Jadi, aksi-aksi yang kita tonton di awal penceritaan tu, hampir hilang tiba-tiba. Part romantik dan kasih sayang pula muncul. Kemudian, di hujung-jujung eh! ada suspen pula! Wow!

Seperti kita tahu, Aedy Ashraf adalah seorang aktor yang baik dan mampu memainkan apapun peranan yang diberikan kepadanya. Walaupun dia perlu berlakon dengan pelakon baharu dalam industri, namun chemistry mereka cukup baik. 

Kesimpulan

Hasil dari penelitian menonton filem ni, LeYa rasa Malaysia perlu lebih berfikir di luar kotak lebih lagi dalam pembikinan filem. Nak setanding filem Hollywood, kena banyak lagi improvement. Tapi, sebab ia ditayangkan di Prime Video, jadinya LeYa rasa boleh la layan. Pemilihan pengarah untuk tidak dimasukkan ke panggung wayang adalah terbaik sebab jalan cerita simple walaupun aksi ada dan nampak baik. Rasanya pelakon pun boleh improve diri lagi.

Ramai yang dah tonton pun, watak Jalil adik Johan tu memang sangat sesuai dan berjaya menghidupkan watak tersebut. Watak Jalil berjaya menceriakan suasana dalam filem tu. 

So, korang yang belum menyaksikan lagi filem Tebus edaran MyContent Distribution ni, boleh la buat langganan Prime Video dan tonton kerana naskhah dari filem ini akan menemukan korang sebuah erti kehidupan dengan keputusan yang paling tepat agar menjadi sebuah kembara yang amat bermakna.

Jumaat, 16 Jun 2023

Review Filem Komedi Vik2Ria Secret

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera...

Dunia perfileman tempatan semakin hari semakin rancak. Mana tidaknya, banyak filem tempatan sudahpun ditayangkan di pawagam. Terbaru, filem komedi "Vik2Ria Secret" baru sahaja berlabuh di pawagam Malaysia. LeYa berkesempatan menghadiri majlis Tayangan Perdana & Sidang Media filem ini yang telah diadakan di TGV Cinema Suria KLCC baru-baru ini. Kenapa LeYa terpanggil dan berminat untuk hadir ke acara ini? Jawapannya adalah kerana LeYa diberitahu filem ini dijayakan bersama Metrowealth International Group (MIG), MDEC dan penampilan semula pengarah AR Badul yang telah lama berundur dari arena filem. 

Untuk pengetahuan korang lagi, Producer Richard Ung yang telah lama bekerjasama dengan AR Badul dalam penerbitan Program TV drama dan telemovie sejak Badul berundur dari pentas Filem era 90-an. AR Badul kemudiannya diminta pihak syarikat untuk mengarahkan Siri Animasi walaupun tanpa pengalaman. Ternyata AR Badul berjaya mengarah lebih dari 100 episod x 30 minit siri animasi untuk siaran TV.

Vik2Ria Secret merupakan filem pertama yang mendapat Geran DKD Finas oleh pihak penerbit selepas lebih dari 10 filem telah diproduksi oleh Richard. Penggambaran telah dijalankan sejurus tamat PKP di mana ia bertujuan memberi peluang pekerjaan kepada artis dan crew seperti yang disarankan pihak Finas. Vik2Ria Secret sudah dipelankan penerbitannya hasil idea dari Tuan Ata, pegawai khas mantan pengerusi Finas, Allahyarham Dato Kushairi yang memberi tajuk 'Bra Merah' dan ditukar kepada Vik2Ria Secret.


Filem
Vik2Ria Secret

Pengarah
AR Badul

Genre
Komedi

Pelakon
Ropie, Annie Arifin, Keena Mentor, Fiza Halim, AR Badul, Man Raja Lawak, Wan Gegau

Penerbit
Metrowealth International Group

Sinopsis Filem Vik2Ria Secret

Viki (anak yatim piatu) pergi ke Kampung Horni dalam kegembiraan tetapi perjalanan dia penuh dengan dugaan. Dia bertemu dengan Ria dan mereka menjadi kawan karib sehingga membuka butik pakaian dalam wanita yang mereka namakan "Vik2Ria Secret". Tok KK, ketua kampung flamboyant dan Cross Dresser mahu bertanding sebagai wakil rakyat (YB) kawasan itu dan pesaingnya Zamri. Peluang cerah timbul kepada Zamri dengan kehadiran Viki dan pembukaan butik itu. Pelbagai kontroversi buat Tok KK semakin bertindak tak rasional dan menimbulkan kemarahan kepada Viki yang rasa kurang senang mengapa dia dan butiknya menjadi sasaran Tok KK yang kononnya perbuatan mereka mempunyai agenda yang merosakkan akhlak orang kampung.

Pembukaan Vik2Ria Secrets mengundang gelagat lucu kepada penduduk Kampung Horni dan disambut baik. Ini buat Tok KK rasa lebih gelisah kerana hasrat dia bagi menghindarkan Viki terus tinggal di kampung makin susah kerana Viki mungkin merupakan anaknya hasil hubungan intim dengan pelayan bar tempat dia menyanyi sebagai "paperdoll" waktu dulu-dulu. Bagi mengelakkan perkara anak luar nikahnya diketahui yang boleh merosakkan imejnya, kuncu-kuncu dia telah bertindak sabotaj butik Vik2Ria Secrets tanpa pengetahuannya. Banyak insiden lucu berlaku akibat dari tindakan sebegitu terutama sekali Saad, pembantu Tok KK sehingga Viki hampir menyerah kalah dan tinggalkan Kampung Horni. Apapun air yang dicincang takkan putus dan Tok KK akhirnya terima kenyataan Viki adalah anaknya dan semua perancangan buruk Zamri terbongkar. Tok KK tetap diterima orang kampung sebagai YB. 


Berbaloi Tak Tengok? Review Filem Vik2Ria Secret

Sejujurnya LeYa bukanlah peminat tegar filem Malaysia, namun bukanlah bermaksud LeYa tidak suka menonton filem tempatan. Senang cerita LeYa boleh pilih bilamana nak tonton filem. LeYa membuat pilihan untuk menonton filem ini kerana memikirkan asyik-asyik filem cinta ataupun kisah orang kaya. Jadi, LeYa berfikiran dan berpendapat untuk kali ini pergi menonton filem komedi dan lihat hasil positif filem ini.

Kita mula dengan ulasan positif dulu lah kan. Filem Vik2Ria Secret cukup santai dan plot twist seperti sudah dijangka. Gandingan Ropie dan Man Raja Lawak memang memainkan watak mereka dan menghidupkan suasana dalam filem tersebut. Terus terang LeYa katakan tanpa watak mereka berdua, filem ini pasti bosan. Namun, tidaklah bermaksud pelakon lain tidak bagus. Pada LeYa, kesemua pelakon dalam filem ini telah memberi komitmen yang terbaik.

Yang membuatkan LeYa kurang suka tentang filem ini ialah bilamana watak-wataknya bercakap agak sedikit menjerit berbanding bercakap biasa membuatkan telinga LeYa bingit. Selain itu, penamaan tajuk filem dan Kampung Horni juga agak menimbulkan kontroversi. Cukuplah sekadar apa yang LeYa cuba isukan sedikit kekurangan pada filem ini. Ini kerana LeYa bukanlah pakar dan pada pandangan LeYa sendiri setiap pengarahan filem itu mempunyai maksudnya tersendiri.

Jadi kepada korang yang belum tengok dan ingin santai serta bergelak tawa, apa kata pergi tonton Filem Vik2Ria Secret di pawagam berdekatan korang sekarang! Jangan lupa tonton tau!

Isnin, 27 Februari 2023

Review Filem Sumpahan Syaitan

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera...

Baru-baru ini LeYa berpeluang menyaksikan tayangan perdana filem Sumpahan Syaitan yang telah diadakan pada 23 Februari 2023 di DADI Cinema Pavilion Kuala Lumpur.

Filem Sumpahan Syaitan merupakan filem arahan Roy Krishna, terbitan D-Bay Film Factory & Redfiress Film Production. Filem ini adalah sebuah filem seram komedi yang dibarisi pelakon-pelakon hebat seperti Dato' AC Mizal, Dato' Jalaludin Hassan, Farid Kamil dan ramai lagi termasuk kumpulan lawak Senario.

Filem
Sumpahan Syaitan

Pengarah
Roy Krishna

Genre
Seram Komedi

Pelakon
Farid Kamil, Dato' AC Mizal, Dato' Jalaudin Hassan, Nynaa Harizal, Saiful Apek, Azlee Senario, Pak Ya Sepahtu, Yassin Senario, Epy Kodiang, Syaiful Zero, Amai Kamaruddin, Arin Raja Lawak, Adam Shahz, Azlan Komeng, Kenji Sawahii & ramai lagi

Penerbit
D-Bay Film Factory & Redfiress Film Production

Tarikh Tayangan (Malaysia, Singapura & Brunei)
02 Mac 2023

Sinopsis Filem Sumpahan Syaitan

Filem ini mengisahkan tentang Sam (Farid Kamil) yang diperdaya untuk membuat pelaburan MLM yang dikendalikan oleh Ray (Adam Shahz). Sam terpaksa meminjam wang dengan seorang peminjam wang yang ganas iaitu Branco (Dato' Jalaludin Hassan).

Malik (Dato' AC Mizal) tidak bersetuju dengan cadangan itu. Namun, Sam tetap dengan pendiriannya untuk terus meminjam wang itu dan yakin yang bisnes dibuatnya berjaya memberi pulangan lumayan.

Setelah Sam menyedari beliau ditipu dari pelaburan MLM, Sam membawa keluarganya berjumpa Malik untuk melarikan diri dari Branco. Malik telah mengarahkan Sam & keluarganya pergi ke sebuah hotel lama yang baru dibelinya untuk menyembunyikan diri.

Sam, isterinya (Nynaa Harizal) dan anaknya, Angel (Lala) disambut baik oleh pekerja hotel ketika sampai di sana. Namun, selepas Sam memulakan operasi di hotel tersebut, pelbagai kejadian aneh berlaku di hotel tersebut. Rupa-rupanya hotel itu telah di sumpah oleh syaitan yang pernah dipuja pada satu ketika dulu.

Apakah yang akan terjadi kepada Sam dan keluarganya?

Adalah Branco berjaya mendapatkan kembali wangnya?

Di sebalik kisah seram, pasti ada juga kisah komedi yang perlu korang saksikan. Filem ini bakal ditayangkan di seluruh pawagam termasuk Brunei dan Singapura bermula 02.03.2023.

Review Filem Sumpahan Syaitan

First impression bila selesai tonton filem ni, memang banyak plot twist yang digambarkan. Lagi-lagi kita tahu ada lakonan hebat dari Dato' AC Mizal, Dato' Jalaludin Hassan, Farid Kamil dan barisan pelawak tanah air. 

Kali ni, Dato' AC Mizal menampilkan watak serius yang sememangnya berbeza dari watak sebelumnya yang lebih memainkan watak komedi. Lakonan Dato' Jalaludin Hassan juga amat berbeza dalam filem ini yang turut memainkan watak serius sebagai Branco.

Dari segi komedi, LeYa memang boleh bagi 4 bintang sebab LeYa jamin korang tidak kering gusi menonton filem ini. Namun, dari segi cerita seramnya pula, agak kurang menyerlah dan grafik CGI nya juga perlu diperbaiki lagi. Contohnya kemunculan hantu tu sepatutnya kalau boleh shoot lebih dekat lagi dan tambahkan jump scare untuk tampak hidup jalan cerita seramnya. Walau bagaimanapun, LeYa puji dengan make-up artist yang solek lakonan hantu-hantu dalam filem ni. Solekan dia tu nampak creepy lah jugak.

Overall bagi LeYa tak lah teruk sangat filem ni. Yang kurang tu boleh diperbaiki. Yang penting LeYa enjoy dan ketawa tonton filem ni. Cukup terhibur dengan lawak spontan yang ditampilkan pelawak-pelawak tanah air kita.

Contest Tonton & Menang

Berita baik untuk semua yang bakal menonton filem "Sumpahan Syaitan" di mana korang berpeluang untuk memenangi motorsikal.

Terdapat 5 buah motor untuk diberikan kepada penonton bertuah!!!

Mudahkan???

Tunggu apa lagi! Jom ramai-ramai saksikan filem "Sumpahan Syaitan" di pawagam berhampiran korang bermula 02.03.2023 ini!

Jangan risau, hadiah-hadiah ini semuanya tiada Sumpahan Syaitan ya...

Maklumat lanjut mengenai peraduan, korang boleh scan QR Code yang tertera atau layari laman web

www.sumpahansyaitan.com

Jangan lupa juga tauuu... Tiket wayang harus disertakan semasa mengisi borang peraduan.


Untuk maklumat lanjut, layari

Facebook

Instagram

Tiktok


SELAMAT MENONTON !!! 

Khamis, 26 Januari 2023

Siri Animasi 3D 'Nabi Musa a.s Kalimullah The Journey of Humankind' Ditayangkan di Nurflix

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera...

Menjelang Ramadan, kita akan dipertontonkan dengan satu siri animasi 3D istimewa menerusi platform penstriman Nurflix bermula 27 Januari 2023 ini. LeYa juga telah berkesempatan turut serta dalam Majlis Pelancaran The Journey of Humankind anjuran Nurflix Productions Sdn Bhd ini di Pawagam Mini P Ramlee, Finas, Ampang. The Journey of Humankind akan memaparkan secara menyeluruh kisah ketamadunan manusia sejak bermulanya penciptaan Nabi Adam a.s berdasarkan rujukan Al Quran, Hadith dan sumber-sumber Islam yang sahih.

Sejak pelancaran inisiatif Nurflix pada Julai 2020, Nurflix kekal komited dan terus mencapai visi penubuhannya untuk menjadi pusat kepada kandungan ilmu Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah dan hiburan sopan yang boleh dicapai dari seluruh dunia. Oleh itu, Nurflix memulakan pembangunan katalog penerbitan filem dari siri animasi 3D menggunakan teknologi Unreal Engine dan Virtual Actor

Siri Animasi Nabi Musa a.s Kalimullah Edisi Bahasa Melayu

Inisiatif pertama dalam penerbitan kisah-kisah 25 Rasul berdasarkan rujukan utama Kitab Qisas Al Anbiya' karya Ibnu Katsir. Siri animasi 'Nabi Musa a.s Kalimullah The Journey of Humandkind' karya penerbit dari Mesir ini mendapat sentuhan istimewa alih suara dari artis tempatan, antaranya Irma Hasmie dan Heliza Helmi.

Menurut CEO Nurflix, Syah Mohamed, "Kisah-kisah ini disampaikan daripada Allah SWT kepada Rasulullah SAW telah ditafsir oleh ulama sejak ribuan tahun dahulu, jadinya kami memfokuskan penyampaian kepada generasi hari ini menerusi pendekatan terkini." Penerbitan animasi ini adalah satu langkah besar untuk menguasai teknologi penerbitan virtual (virtual production) bagi membuka ruang penerokaan teknologi dan kepakaran baru kepada bakat tempatan untuk menghasilkan karya bertaraf dunia.

 

Sebanyak 13 episod untuk musim pertama diterbitkan dalam Bahasa Melayu agar dapat memenuhi kehendak pasaran di Malaysia. Ini akan dapat memberikan kefahaman jalan cerita yang jelas serta sesuai untuk ditonton oleh semua peringkat umur.

Istimewanya siri animasi ini menampilkan Rawi Al Hakim, watak pelakon maya (virtual actor) selaku penyampai cerita dan pengembara (lakon suara oleh Alwi Mustafa) yang dicipta untuk menyampaikan kisah-kisah dari dalah kitab Qisas Al Anbiya.

Selain itu, para penonton juga berpeluang untuk memenangi pelbagai hadiah menarik dengan menjawab soalan kuiz setiap minggu tayangan animasi 'Nabi Musa a.s Kalimullah'.

Tiga penonton bertuah yang berjaya menjawab kuiz di kesemua episod akan menerima hadiah utama pakej umrah. Manakala pemenang kuiz mingguan akan menerima hadiah seperti mini goldbar tajaan KABGold Sdn Bhd dan Al Quran edisi Al Ghufran tajaan Telaga Biru Sdn Bhd serta set buku Kembara Mahsyar tajaan Mahsyar Group.

Turut hadir dalam majlis pelancaran, barisan pelakon suara Irma Hasmie, Hazwani Helmi, Heliza Helmi, Dai' Syed Iqmal, Hana Ismail dan Ustazah Asni Mansor.


So korang, jangan lupa saksikan Siri Animasi 3D 'Nabi Musa a.s Kalimullah The Journey of Humankind' di platform penstriman Nurflix bermula 27 Januari 2023 ini. Jangan tak tonton tau!