Memaparkan catatan dengan label Artis Malaysia. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Artis Malaysia. Papar semua catatan

Selasa, 22 Oktober 2024

'Menang Atau Kalah' Evolusi Terbaharu Firdaus Rahmat

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera...

Firdaus Rahmat yang pernah melangkah ke pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) edisi ke-36, 37 dan 38, kini terus mengukuhkan namanya sebagai salah satu perngkarya terhebat di tanah air. Terbaharu, dengan rasa keterujaan dan bersedia untuk membakar semangat peminat, Firdaus mempersembahkan satu sisi baharu dalam muziknya melalui single 'Menang Atau Kalah', dengan mempertaruhkan bahagian 'rap' buat kali pertama!

Penglibatan dalam Penghasilan Lagu Menang Atau Kalah

'Menang Atau Kalah' bukan sekadar lagu, tetapi tanda evolusi Firdaus Rahmat sebagai penyanyi, penulis lirik, komposer dan penerbit. Dicipta bersama komposer berbakat Iqie Hugh, lagu ini turut menjadi lagu runut bunyi kepada drama aksi mendebarkan 'Skuad X' yang menghiasi slot Lestary di TV3 akan datang!

Lagu ini mengusung tema tentang semangat pantang menyerah dan tekad untuk menghadapi segala rintangan. "Lirik lagu ini terinspirasi dari semangat juang yang tak pernah luntur,"ujar Firdaus. "Saya mahu pendengar merasa bahawa dalam apa jua situasi, kita perlu terus berusaha tanpa putus asa. Sama ada kita menang atau kalah, yang penting ialah perjalanan yang kita tempuh dengan penuh tekad."

Lagu 'Menang Atau Kalah' membawa kelainan dengan gabungan genre pop rock yang dipacu dengan rentak yang laju serta bahagian rap. Ini adalah kali pertama Firdaus Rahmat mempertaruhkan rap dalam karya muziknya. "Saya teruja dengan konsep baharu ini. Mencuba sesuatu yang luar biasa dengan memasukkan unsur rap adalah seperti mencabar diri sendiri. Bahagian rap memberikan energi dan dimensi baharu yang saya harap akan diterima baik oleh para peminat."jelasnya.

Sesi rakaman lagu ini diselesasikan dalam masa satu jam, membuktikan keserasian kukuh antara Firdaus dan Iqie Hugh, "Chemistry antara saya dan Iqie sentiasa menjadi kunci kepada penghasilan karya yang unik. Saya amat kagum dengan kebolehan Iqie dan beliau adalah pencetus kepada idea-idea segar yang membantu setiap lagu kami menjadi lebih bermakna dan relevan."

"Terima kasih kerana menerima setiap karya yang dikeluarkan oleh saya. Dengan sokongan anda, saya dapat melangkaui garisan yang tak pernah dicapai sebelum ini. Walau jasa tak terbalas dengan kata-kata, saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Alternate Records kerana sentiasa percaya dengan karya saya selama ini. 'Menang Atau Kalah' adalah karya yang ke-24 saya bersama Alternate Records."tambah beliau. 

Beliau berharap agar karya terbaharu, 'Menang Atau Kalah' ini akan mendapat tempat di hati pendengar dan menjadi lagu yang menemani mereka dalam kehidupan seharian. Beliau turut berkongsi hasrat untuk mencipta lebih banyak kelainan dan memberi nafas yang segar dalam karya akan datang untuk memberikan dimensi yang lebih segar dan kepelbagaian dalam industri muzik tanah air.


Info Lagu Firdaus Rahmat - Menang Atau Kalah

Composer: Firdaus Rahmat, Iqie Hugh
Author: Firdaus Rahmat, Iqie Hugh
Producer: Firdaus Rahmat
Arranger: Firdaus Rahmat
Guitarist: Iqie Hugh
Mixing: Max Musa
Mastering: John Jeeves

Lirik Lagu Menang Atau Kalah

CHORUS
Juang di antara kita
Sesuatu akan menjelma
Luar daya
Siap sedia kah?
Menang atau kalah?

Juang bergabung tenaga
Kuasa perkasa 
Aku dan diri mu
Gegarkan mereka
Retakkan dunianya 

VERSE
Biru lawan merah
Sabar tahan marah
Api panas aku menggelegak naik marak
Hati-hati salah hari hari kau terhenti
Nahh 
Jaga diri taring tajam aku mendekati

Kira 1,2
3 dah bertandang
Empat penjuru menjadi saksi perang wira
Tuah pada jiwa, kau jebat derhaka
Tenaga sekerat, lawan debat, lawan hebat

PRE CHORUS
We gotta be fast
You don't wanna mess

VERSE2
Siapa tahu diam diam
Mungkin juga hadam malam malam dalam pendam
Makin gundah dalam gendam gegar hari siang
Debar degup dada ku bahana 

Ayuh! Dengarkan karya terbaharu Firdaus Rahmat, Menang Atau Kalah bermula pada 18 Oktober 2024. Untuk maklumat terkini mengenai Alternate Records & Talents, ikuti dan layari akaun rasmi media sosial Facebook, @alternate.my_ di Instagram, dan @alternate.rt_ di TikTok. 

Isnin, 21 Oktober 2024

Marsha Milan Terima Penghormatan 'Ahli Darjah Baru' di Istana Seri Kinabalu

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera...

Penyanyi dan selebriti popular yang berasal dari Sabah, Marsha Milan, telah menerima penghormatan tertinggi negeri Sabah, Ahli Darjah Kinabalu (A.D.K.), sempena sambutan peringkat negeri Sabah bersempena dengan ulang tahun ke-71 Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin. Anugerah ini merupakan pengiktirafan yang diberi kepada individu yang telah menyumbang secara signifikan dalam bidang masing-masing dan Marsha diiktiraf atas pencapaiannya dalam industri hiburan serta sumbangannya kepada seni dan budaya Sabah.

Marsha, yang tidak menyangka akan menerima anugerah besar ini, meluahkan rasa syukur dan teruja ketika ditemu bual. “Saya amat terharu dan berbesar hati dengan anugerah ini. Saya tidak pernah membayangkan akan diiktiraf sebegini rupa. Ini adalah penghormatan yang sangat besar bagi saya dan memberi motivasi besar untuk saya terus berusaha menjadi lebih baik dalam kerjaya seni saya. Saya sangat berterima kasih kepada semua pihak yang telah menyokong saya selama ini,” kata Marsha dengan penuh rasa syukur.

Sebagai anak jati Sabah, pengalaman membesar di Sabah telah membentuk dirinya sebagai seorang penyanyi dan selebriti yang berjaya. Meskipun menghadapi cabaran untuk menembusi industri hiburan pada awal kariernya, Marsha berjaya membuktikan bakatnya dan kini menjadi salah satu ikon dalam industri ini.  Menurut Marsha, “Sebenarnya, saya tidak pernah membayangkan diri saya akan berada dalam industri hiburan kerana platform pada zaman saya sangat terhad. Tapi Alhamdulillah, saya berjaya menembusi industri ini. Sekarang, saya lihat semakin ramai bakat dari Sabah yang mendapat tempat, dan saya sangat gembira untuk berada di atas pentas bersama-sama mereka”.

Sebagai seorang ikon, Marsha ingin menyampaikan mesej kepada bakat-bakat muda Sabah agar terus mengejar impian mereka dengan dedikasi dan kegigihan. "Jangan hanya mengejar populariti, tetapi fokus pada bakat dan minat anda yang sebenar," pesan Marsha.

Sepanjang perjalanan kariernya, Marsha telah menghadapi pelbagai cabaran, termasuk mengambil pelbagai peranan untuk terus relevan dalam industri. Namun, kegigihan dan semangatnya telah membawanya ke tahap yang tinggi. “Untuk kekal relevan dalam industri, saya perlu mencuba pelbagai peranan, dari berlakon, mengacara TV, menjadi emcee, hingga menyanyi sebagai vokalis latar. Saya juga keluarkan duit sendiri untuk menerbitkan single saya. Tapi semuanya berbaloi, dan saya tidak pernah menyesal,” jelas Marsha.

Penerimaan Ahli Darjah Kinabalu ini telah memberikan Marsha inspirasi untuk terus berkarya dan menyumbang kepada industri hiburan Sabah.  Marsha berharap untuk terus mengangkat nama Sabah dalam industri hiburan dan sedang merancang projek-projek khas untuk peminatnya di Sabah, dan berharap dapat terus memperkenalkan budaya dan seni Sabah kepada dunia.  “Cinta saya kepada tanah air, Sabah, adalah keutamaan saya. Saya juga bercita-cita untuk membawa lebih banyak elemen kraf Borneo dalam karya-karya saya di masa akan datang, insyaAllah.”  tambah beliau.  

Ahli Darjah Kinabalu yang telah disampaikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, pada 16 Oktober 2024 di Istana Seri Kinabalu ini mengukuhkan lagi kedudukan Marsha sebagai ikon dalam industri hiburan dan inspirasi kepada bakat-bakat muda di Sabah yang bercita-cita untuk berjaya.  

Untuk maklumat terkini berhubung Alternate Records & Talents, layari akaun rasmi media sosial Facebook, @alternate.my_ di Instagram, dan @alternate.rt_ di TikTok.

Selasa, 6 Februari 2024

Pertunjukan Fesyen Fazura dan Koleksi Fazbulous Raya 2024

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera...

Tahniah buat Fazura, selebriti dan usahawan yang telah meluncurkan koleksi Fazbulous Raya 2024 sempena pertunjukan fesyen khas FAZURA yang dianjurkan di Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA. 

Acara tersebut telah dimeriahkan lagi bersempena kehadiran Ramadhan dan Syawal tahun ini yang dihadiri oleh suami, Fattah Amin, ahli keluarga Faz dan Fattah, rakan artis, para pempengaruh media sosial tempatan, agen FAZURA dan rakan media yang berkumpul untuk menyaksikan koleksi Fazbulous Raya 2024.

Baru-baru ini, Tudung FAZURA Black Label telah menawarkan koleksi ALhambra, shawl bersulam dari fabrik premium chiffon yang mengambil inspirasi keindahan seni bina Islam di Sepanyol abad ke-13, sebagai koleksi sulung tahun 2024.




Menurut Fazura atau mesra dikenali dengan Faz, beliau rasa sangat bersyukur kerana diberikan rezeki pada tahun 2024 untuk melanjutkan semula pertunjukan fesyen Fazbulous Raya yang sentiasa dinantikan peminat jenama FAZURA. Ia juga adalah ruang dan peluang kepada Faz dan Fattah untuk terus mendekati para peminat produk FAZURA dan perjalanan kerjaya professional mereka.

Koleksi Fazbulous Raya 2024 kali ini antara lainnya mengetengahkan tiga koleksi Tudung FAZURA iaitu Citra Zahraa dan Kesuma Warna yang berinspirasikan bunga-bungaan manakala Rona Peterana pula dengan corak abstrak dan geometri moden. Kesemua 30 corak menarik ini bakal menemui peminat Tudung FAZURA berserta dengan barisan baju Kurung Kedah, Kurung Moden dan Kebaya dan Ready-to-Wear yang mana sesuai untuk suri teladan yang anggun menawan.

"Alhamdulillah Faz dan Fattah masih belum sempat merancang sepenuhnya kerana kami sekeluarga termasuk Fatima sangat sibuk dengan penggambaran drama terbaharu yang akan ditayangkan pada bulan Ramadan yang kian hampir. Tahun 2024 adalah tahun yang istimewa kerana Faz dan Fattah tampil bersama dalam filem Pendekar Awang, kemudian kami juga dianugerahkan projek oleh satu stesen televisyen tempatan untuk menerbitkan drama yang buat julung kalinya dibintangi oleh kami berdua dan Fatima. Faz sangat terkejut melihat Fatima sangat selesa berlakon dan kehadiran Fatima di set penggambaran sangat menghiburkan semua kru kerana keletahnya yang pandai melayan dan tidak kurang disiplin sebagai pelakon baharu di usia muda."

Koleksi Fazbulous Raya 2024 boleh didapati di 

Website

Aplikasi Fazura

ShopeeMall 'fazuraofficialstore'

atau dari Besties dan agen FAZURA dalam bulan Mac 2024

Rabu, 29 November 2023

Malam Penuh Inspirasi dan Keajaiban Muzik Dalam Sound Spirit Zainalabidin: The Legacy of Sound

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera...

Siapa tak kenal dengan penyanyi terkenal Datuk Zainalabidin Mohamed ni kan? Beliau yang juga seorang tokoh dalam industri muzik bakal memukau penonton dengan konsert edutainment luar biasa berjudul, Sound Spirit Zainalabidin: The Legacy of Sound (Sound Spirit). Acara unik ini akan berlangsung pada hari Sabtu, 20 Januari 2024 di Pentas 1, The Kuala Lumpur Performing Arts (KLPAC), menjanjikan malam yang penuh inspirasi, kisah yang memukau dan muzik yang penuh jiwa.

Malam Penuh Inspirasi dan Keajaiban Muzik Dalam Sound Spirit Zainalabidin: The Legacy of Sound

Sound Spirit adalah sebuah acara yang menggabungkan muzik dan pendidikan, yang bakal menarik peminat dan penggiat muzik serta golongan profesional dari seluruh industri muzik. Acara ini bukan sahaja menjadi platform untuk membina hubungan sesama rakan seindustri malah membuka peluang untuk organisasi yang terlibat dalam industri muzik untuk mempamerkan produk dan perkhidmatan mereka. 

Konsert ini yang disokong oleh MyCreative Ventures bersama rakan rasmi CIMB Artober akan menyaksikan Datuk Zainalabidin sebagai peneraju utama yang akan berkongsi pengalamannya bersama ikon muzik terkenal termasuk Michael Veerapen, Sunil Kumar dan Steve Thornton.

Selain itu, konsert ini turut menampilkan persembahan oleh Pija Yasin, pemenang program TV3 'Mentor', yang merupakan protege kepada Datuk Zainalabidin, di samping penyanyi baharuOne Juicy, yang juga merupakan salah seorang Penari B-Boy Terbaik Asia dan juara program realiti Astro Ria 'The Band'.

Datuk Zainalabidin juga ada memberitahu yang konsert ini diinspirasikan untuk menarik penonton daripada pelbagai latar belakang, sama ada di dalam dan luar negara dengan menawarkan gabungan istimewa hiburan dan pendidikan. Ia turut menjanjikan sebuah pengalaman yang tidak dapat dilupakan buat penonton dengan mengetengahkan bakat, bimbingan dan kuasa keajaiban muzik.

Sound Spirit menerusi fokus utamanya iaitu kepada kumpulan pelajar dari latar belakang B40, menyasarkan untuk memberi peluang para pelajar muzik yang kurang berkemampuan mengalami dan merasai pengalaman transformatif muzik dan seni. Sound Spirit telah bekerjasama dengan lima universiti tempatan terkemuka iaitu Universiti Teknologi MARA, Universiti Malaya, Universiti UCSI, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) serta Universiti Limkokwing yang akan mempromosikan acara itu secara aktif dalam kalangan pelajar mereka, khususnya pelajar jurusan muzik.

Datuk Zainalabidin percaya pendedahan kepada acara kebudayaan sebegini boleh memberi impak positif yang berpanjangan kepada kehidupan para pelajar ini, di samping menawarkan inspirasi dan kegembiraan yang mungkin sukar diakses tanpa acara seumpama ini. Beliau berkata konsert itu adalah bukti muzik sebagai satu kuasa yang mampu untuk memberi perubahan positif, menyatukan orang ramai daripada semua lapisan masyarakat dalam meraikan seni dan budaya.

"Kami teruja untuk menganjurkan sebuah acara yang bukan sekadar hiburan, malah ianya menjadi platform untuk pembelajaran dan menjalinkan hubungan dalam industri muzik. Dengan melibatkan individu berbakat dan memberi tumpuan kepada pelajar muzik yang kurang berkemampuan, kami berharap dapat menyumbang kepada pembangunan generasi seterusnya dalam bidang muzik dan seni,” ujar Datuk Zainalabidin. 

Tambah beliau lagi, "pasukan produksi Sound Spirit sedang berusaha untuk bekerjasama dengan beberapa penaja berpotensi yang akan memberikan sokongan kewangan bagi menampung kos tiket konsert, demi memastikan pelajar-pelajar muzik yang kurang berkemampuan ini berpeluang untuk menghadiri acara ini.

Bagi yang berminat untuk dapatkan tiket, boleh membeli secara atas talian di https://www.cloudjoi.com/shows/zainalabidin-sound-spirit-concert dengan harga RM110 dan RM210.

Tempahan awal amatlah digalakkan bagi memastikan peminat-peminat muzik dapat menghadiri konsert ini. Untuk maklumat lanjut tentang Sound Spirit, boleh ikuti @soundspirit.zainalabidin di Facebook dan Instagram.

Khamis, 9 November 2023

Penyanyi Sensasi Ernie Zakri Tampil Sebagai Duta Jenama Ayuwan

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera...

Ayuwan, jenama tudung dan skarf tempatan dikenali dengan dedikasinya yang menjunjung kualiti tanpa mengetepikan rekaan dalam menuruti trend semasa. Demikian, Ayuwan berbesar hati mengumumkan usaha samanya dengan melantik penyanyi bervokal lantang, Ernie Zakri sebagai duta jenama rasminya. Lantas, melayangkan era baharu buat jenama dengan mempertaruhkan himpunan rekaan yang sofistikated dalam memperkasakan fesyen Muslimah tempatan. 

Penyanyi Sensasi Ernie Zakri Tampil Sebagai Duta Jenama Ayuwan

Pengumuman dibuat sewaktu pelancaran album baharu Ernie Zakri yang berjudul "AURA". Pada majlis itu, penyanyi bersuara emas ini menandatangani sebuah plak khas yang dihiasi dengan gambar dirinya yang tampil menggayakan skarf menawan kreasi kreatif Ayuwan. Pengendorsan bersama Ernie ini meneruskan kesinambungan kualiti juga nilai estetika himpunan tudung Ayuwan yang mempesonakan.

Kolaborasi bersama Ernie Zakri menjadi detik bersejarah bagi Ayuwan, lalu membuka peluang buat pangkalan pelanggan yang lebih meluas lagi pelbagai. Kehadiran Ernie mewarnai lapangan seni hiburan tempatan, merangkumi intipati komitmen Ayuwan yang mana menjulang keanggunan, keperibadian serta kecantikan abadi. Berkarisma lagi bersopan-santun menjadikannya pilihan ideal sebagai wajah Ayuwan.

Gaya peribadinya ditambah pula dengan cara penataan skarf yang tersendiri, imej Ernie Zakri selari dengan barisan produk Ayuwan. Dengan kehadiran Ernie Zakri, Ayuwan teruja untuk meneroka lalu melaksanakan koleksi eksklusif yang menggabungkan gaya penghibur terkemuka itu. Kolaborasi ini bakal menawarkan pelanggan Ayuwan akses kepada pengalaman fesyen yang benar-benar unik dengan rekaan yang mngikuti trend semasa.

Saya sangat gembira dalam masa yang sama juga teruja. Ayuwan mencerminkan minat saya dalam fesyen dan membolehkan saya berkongsi gaya peribadi serta kreativiti saya dalam menggayakan tudung. Saya juga bakal mengongsi cara penggayaan yang saya gemari secara peribadi dengan peminat dalam masa ke semasa. Jadi, tunggu akan tutorial saya,” kata Ernie Zakri. 

Mengambil lokasi di Sunway Putra Mall, peminat Ernie Zakri berhimpun bagi menyaksikan pengumuman usaha sama serta pelancaran album baharunya. Para tetamu yang hadir dipersembahkan dengan pementasan peragaan himpunan skarf yang membiaskan aura glamor Ayuwan. Pementasannya memperlihatkan barisan produk utamanya; termasuk koleksi Desa, Spora, Pancawarna, Birai dan Gemala. Selain itu, Ernie turut membuat persembahan dengan menyampaikan lagu baharunya secara langsung buat pertama kali. Ia sememangnya detik yang dihargai bagi kedua-dua pelanggan yang dihargai Ayuwan juga buat peminat setia Ernie Zakri.

Terokai dunia Ayuwan yang anggun lagi bergaya di 

www.ayuwan.com.my

Khamis, 2 November 2023

Noraniza Idris dan Hazama Bersatu Hati Dalam "Penawar Kita"

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera...

Dua penyanyi terkenal industri muzik Malaysia, Ratu Pop Etnik Negara, Noraniza Idris serta penyanyi lelaki popular Malaysia, Hazama kini bersatu dalam karya muzik terbaru mereka berjudul Penawar Kita.

Menerusi konsep muzik kali ini, Luca Sickta telah menghasilkan muzik yang menggabungkan elemen tradisional dan moden yang sinonim dengan perwatakan nyanyian dari Noraniza Idris & Hazama. Penggabungan ini mencipta dinamika muzik yang membawa perpaduan elemen tradisional dan moden.

Menurut Hazama. "Saya rasa sangat bertuah kerana dapat berpeluang berkolaborasi bersama lagenda Irama Malaysia, Noraniza Idris. Kali pertama dapat panggilan projek ini saya terus setuju dengan tawaran dari Kak Ani. Kebetulan pula saya memang peminat Kak Ani dari kecil lagi. Projek ini merupakan kali pertama saya merakamkan lagu yang bergenre Irama Malaysia. Tanpa tawaran ini, tidak mungkin berpeluang untuk merakamkan lagu yang berunsurkan Irama Malaysia kerana saya sememamangnya membawakan genre Rock. Terima kasih juga tak terhingga kepada semua yang terlibat dan juga pihak Luncai Emas yang banyak membantu sepanjang proses projek ini dijalankan."

PENAWAR KITA” adalah terbitan bersama Luncai Emas Sdn Bhd dan NIPV Management Sdn Bhd. Lirik ditulis oleh penerbit muzik, penyanyi & rapper Kmy Kmo, dan dilengkapkan dengan konsep muzik yang mendalam oleh Luca Sickta, bertujuan untuk memikat penonton dengan lirik yang bermakna dan melodi yang meremajakan jiwa. Lagu ini menggabungkan elemen muzik tradisional yang terpilih dengan hikmah pantun nasihat, mencipta perpaduan menawan antara tradisi dan moden.

Walaupun lirik dan lagunya oleh Kmy Kmo dan Luca Sickta, Noraniza Idris tetap membawa pesanan mendalam melalui persembahan suara yang menggugah hati. Lirik yang ditulis membawa pendengar dalam perjalanan yang menyentuh hati, di mana ujian dan cabaran kehidupan berfungsi sebagai pengajaran praktikal dalam memahami hakikat hubungan manusia. 

 

Kmy Kmo menambah lagi, "Apabila zaman berganti zaman kita semua memerlukan udara-udara baik dan harmoni, menekankan keperluan berkekalan untuk bersatu dan harmoni dalam kehidupan kita.’’
"Setelah siap rangka susunan muzik, saya cadangkan agar lagu ini diduetkan dengan artis baru atau sedang aktif dan sesuai dengan vocal saya. Ambil masa lama juga meninjau, satu hari saya buat satu program melibatkan Hazama dan saya terus terfikir untuk calonkan Hazama sebagai rakan duet. Usulan itu disambut baik oleh pengurusan Hazama. Bermulalah rakaman single ini." Kata Noraniza Idris.

"Penerbitan single ini dipantau sepenuhnya oleh Datuk M.Nasir selaku penasihat single ini. Saya sangat berbesar hati dapat khidmat nasihat dari Datuk sebuah nama besar yang dihormati dalam industri muzik hingga kini." Tambah Noraniza Idris lagi.
Sejajar dengan evolusi muzik dalam peredaran masa kini, Noraniza Idris & Hazama berharap semoga lagu duet ini di terima peminat muzik di Malaysia dan mendapat tempat di dalam hati masing - masing.


Penawar Kita diharapkan agar dapat juga merentasi peringkat umur dan memberikan pengalaman bermakna kepada semua pendengar. Dengan semangat kolaboratif, mempersembahkan Penawar Kita sebagai nyanyian bersama yang berkuasa. Single ini meresap secara mendalam dalam hati mereka yang mencari keselesaan dan hubungan dalam bahasa muzik yang universal.

Penawar Kita kini boleh didapati di semua platform muzik utama, seperti Spotify , Apple Music, Itunes dan juga Muzik Video akan mula ditayangkan di saluran Luncai Emas mulai 10 November 2023.  Diharap semua dapat mendengar  untuk mengalami perpaduan menawan melodi tradisional dan moden yang membawa kedamaian. 

LIRIK LAGU PENAWAR KITA

ARTIST : NORANIZA IDRIS FT. HAZAMA
COMPOSER : KMY KMO, LUCA SICKTA
LYRICS : KMY KMO, LUCA SICKTA

CHORUS :

[NORANIZA IDRIS & HAZAMA]

ALA EWAH EWAH
NAK GEMBIRAKAN HATI
LUKA LUKA SELISIH SEMUA USAH BAWA MATI

[HAZAMA]

NAK GELAK KETAWA
BERHIBUR DAN MENARI
SUASANA BERWARNA WARNI 
BUMI HARMONI

VERSE 1:

[NORANIZA IDRIS & HAZAMA]

TUMANG-MENUMANG,
SESAMA KITA,

[HAZAMA]
ITU BAHAYA KAN UNDANG SENGKETA

[NORANIZA IDRIS]
ELAK BERULANG,PERLU BERSAMA,

[NORANIZA IDRIS & HAZAMA]
KASIH DAN SAYANG KAN WUJUDKAN CINTA,

[NORANIZA IDRIS & HAZAMA]

BIAR,
RASAKAN GEMBIRA,
SEPERTI PENAWAR 

[HAZAMA]
CERIA DI UDARA

HAA HAA HAAA HA

[NORANIZA IDRIS & HAZAMA]
JANJI
BIARLAH BERSAMA
SEHIDUP SEMATI

[NORANIZA IDRIS]

SEBAR CINTA SENTIASA

REPEAT CHORUS 1X


VERSE 2:

[HAZAMA]

DAH DI PESAN DARI,
SEBELUM PANDAI BERLARI,
BILA DEWASA NANTI 
JANGAN BERANI MAIN API

[NORANIZA IDRIS]

HADIAHKAN MAWAR,
BUKAN SEKALI DURI,
SEMUA PASTI SENTOSA, LESTARI, DAN HARMONI.

[NORANIZA IDRIS]

BRIDGE :
LAT TALILAT TALILAT TALI TAMPLOM,
SIAPA GANJIL KELUAR,
RASA LEGA JANTUNG,
LAI LAI LI TAM PLOM WAN TU SOM,
LEPAS UNDI KELUAR JAWAPAN TAK TERGANTUNG.

[HAZAMA]

VERSE 3:
MAKAN HATI JANGAN,
LELAMA MAKAN BADAN

[NORANIZA IDRIS]

JADI RERAMA TERBANG TINGGI PUSING SATU TAMAN,

[HAZAMA]

MULA DARI MIMPI
KEMUDIAN BERANGAN

[NORANIZA IDRIS & HAZAMA]

HINGGA USAHA DIRI SAMPAI RAMAI SAMBUT TANGAN.

[NORANIZA IDRIS & HAZAMA]

BRIDGE :
LAT TALILAT TALILAT TALI TAMPLOM,
SIAPA GANJIL KELUAR,
RASA LEGA JANTUNG,
LAI LAI LI TAM PLOM WAN TU SOM,
LEPAS UNDI KELUAR JAWAPAN TAK TERGANTUNG.

[HAZAMA]

POST VERSE 1:
BIAR,
RASAKAN GEMBIRA,
SEPERTI PENAWAR
CERIA DI UDARA,
HAA HAA HAAA HA,

[NORANIZA IDRIS & HAZAMA]

JANJI
BIARLAH BERSAMA
SEHIDUP SEMATI

[NORANIZA IDRIS]

SEBAR CINTA SENTIASA

REPEAT CHORUS 

[HAZAMA]

POST VERSE 1:
BIAR,
RASAKAN GEMBIRA,
SEPERTI PENAWAR 
CERIA DI UDARA,
HAA HAA HAAA HA,

[NORANIZA IDRIS & HAZAMA]

JANJI
BIARLAH BERSAMA
SEHIDUP SEMATI

[NORANIZA IDRIS]

SEBAR CINTA SENTIASA

Sabtu, 21 Oktober 2023

"Queendom Fest" - Festival Muzik Wanita Pertama Di Malaysia

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera...

Mengambil semula tampuk pemerintahan, penyanyi rap wanita terkenal dan juga pendukung hip-hop Malaysia, Zamaera mengumumkan "Queendom Fest" yang mana ia merupakan festival muzik wanita pertama akan dipersembahkan di khalayak ramai pada tahun ini. 

Dilahirkan dari rasa antusias dan berlandaskan matlamat Zamaera sendiri iaitu untuk mewakili landskap seni yang diwakilinya dalam scene tempatan, Queendom Fest merupakan usaha indipenden yang bersedia untuk mencipta sejarah yang mana ia adalah sebuah pementasan yang ditempa untuk wanita kreatif di seluruh negara.

Pada terasnya, Queendom Fest berusaha untuk meningkatkan wanita dan mengeratkan hubungan komuniti seni melalui platform untuk usahawan dan kreativiti wanita. 

Queendom Fest ini dijadualkan berlangsung pada 16 Disember 2023 di Lalaport BBCC Central Rooftop Garden di tengah-tengah Pusat Bandar Kuala Lumpur. Queendom Fest turut bersedia untuk menjadi acara yang electrifying bagi mempamerkan wanita-wanita yang bertenaga dan paling digemari di Malaysia pada masa kini. Dalam masa yang sama, ia juga merupakan sebuah festival yang menawarkan hub-market serta lokasi bersosial yang mengandungi lebih 40 perniagaan dan vendor tempatan milik wanita.

Festival ini akan ditunjangi oleh Zamaera sendiri dan disokong oleh barisan wanita hebat seperti DOLLA, Hullera, Joyynn, Yunohoo, Lil Asian Thiccie, Meliha, The Impatient Sisters, MJ dan SYA.

Queendom Fest berdiri sebagai bukti sebenar kepada semangat dan potensi tanpa had landskap muzik tempatan semasa dan menandakan babak penting dalam legasi Zamaera yang kekal sebagai Ratu Hip-Hop Malaysia. Melihatkan impian Queendom Fest bakal menjadi kenyataan, dan memberi makna dalam kerjayanya, Zamaera secara terang-terangan memberitahu bahawa:

"Sebagai salah seorang daripada segelintir penyanyi rap wanita yang berpeluang membuat persembahan di pentas besar seperti Good Vibes Festival, Round Fest dan Baybeats, saya dapati perwakilan artis wanita di festival muzik tempatan dan showcase sentiasa dikalahkan oleh rakan lelaki industri. Pada tahun lepas sahaja daripada lebih 14 festival dan showcase, 84% daripada penghibur adalah lelaki. Senario muzik semakin berkembang dan kami melihat semakin ramai artis wanita yang muncul. Saya rasa itu harus mencerminkan peluang yang kami sediakan kepada wanita dalam industri kreatif. Atas nama keterangkuman, kesaksamaan dan cinta yang tulen terhadap seni & budaya, saya mahu melihat masa depan yang lebih cerah untuk tenaga kreatif wanita negara ini."

 

Konsep awal Queendom Fest mula dihasilkan hampir 2 tahun lalu, sewaktu Zamaera menganjurkan jelajah Pop-Upnya sendiri yang merentasi Pulau Pinang, Kuching, Ipoh dan Kuala Lumpur. Beliau turut bekerjasama rapat dengan Avinash Retnam dari Kaia Collab yang mana ia merupakan cara beliau memahami peminat tempatannya serta menilai impak dan menguji kuasa pasar untuk "Queendom Fest".

Menurut Zamaera lagi, platform muzik dan vendor yang wujud bersama benar-benar mendorong beliau ke arah idea peralihan budaya melalui konsep yang didorong komuniti. Peralihan budaya itu adalah untuk mempunyai lebih ramai artis wanita membuat persembahan di festival muzik dan untuk wanita melangkah keluar dari norma gender masyarakat dalam industri yang didominasi lelaki.

Selain itu, beliau turut menekankan bahawa, walaupun barisan artis merupakan wanita secara keseluruhan, Queendom Fest juga bekerjasama dengan ramai tenaga profesional lelaki dalam industri yang menyokong idea untuk mendorong wanita ke hadapan dengan memberikan kepakaran dan pengetahuan mereka seperti penganjur bersama TONGTONG Asia, Old Head Jin (FKA Jin Hackman). Berbanding dengan beberapa negara lain di mana hak wanita sebahagian besarnya didiskriminasi, Malaysia mempunyai pelbagai laluan untuk wanita berjaya. 

Bagi korang yang ingin berkongsi kepercayaan bersama Queendom, apa kata sama-sama memberikan galakan tidak kira lelaki dan wanita dalam menjadi sebahagian daripada acara monumental ini kerana pada 10 atau 20 tahun ke depan, mungkin korang boleh berkata. 'Saya pernah berada di Queendom Fest yang pertama pada tahun 2023!' Ini mungkin boleh dijadikan sebahagian daripada sejarah kalian.

Queendom Fest disokong sepenuhnya oleh Kementerian Komunikasi dan Digital melalui My Creative Ventures, sebagai sebahagian daripada usaha mereka di seluruh negara untuk meningkatkan industri kreatif Malaysia melalui Dana Kandungan Digital Persembahan Muzik 2023.

Tiket terdiri daripada 4 kategori

Early Bird >> RM118

GA >> RM138

Go Kart Bundle >> RM178

Door >> RM188

Semua harga tiket adalah tertakluk kepada yuran tiket sebanyak 3% yang boleh didapati untuk pembelian di laman web rasmi mulai Isnin, 23 Oktober 2023.

Sertai kami di Queendom Fest pada 16 Disember 2023.


 Untuk maklumat lanjut, kemas kini dan butiran tiket, sila lawati 

  www.queendomfest.info


Isnin, 24 Julai 2023

Konsert Hausboom Music 2023 Bakal Melakar Sejarah di Litar Antarabangsa Sepang

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera...

Tidak dinafikan bahawa jenama terkenal HAUSBOOM semakin meningkat saban waktu. Ini dapat dilihat dengan penjualannya yang berleluasa di kedai-kedai serbaneka dan runcit. Kini, jenama Hausboom berjaya menghidupkan sebuah pesta yang diberi nama Hausboom Music. 

Bagi mengekalkan dan konsisten dengan sesuatu yang telah dicipta bukanlah mudah. Buat pertama kali diperkenalkan pada tahun 2018, Konsert Hausboom Music 2023 bakal berlangsung buat kali ketiga dengan sebuah konsep yang lebih hebat serta dibarisi 35 penghibur dan pemuzik yang sangat mantap.


Melihatkan barisan penghibur dan para pemuzik yang terlibat, pastinya semua peminat tidak mahu melepaskan peluang untuk ikut serta berpesta di konsert Hausboom Music 2023 yang dijadualkan berlangsung pada 9 dan 10 September 2023.

Antara barisan penghibur yang bakal menggegarkan pentas konsert adalah legenda seperti kumpulan Search, Ratu Rock Ella, Maestro Datuk M. Nasir diikuti The President Joe Flizzow, Hujan, Exists, Spider, Bunkface dan SonaOne.

Nama-nama lain seperti SOG, Masdo, Alif Satar & The Locos, Dolla, Baby Shima, Iamneeta, Toko Kilat, 53 STU, Salam Muzik, Budak Nakal Hujung Simpang, Iqbal M, Insomniacks, Midnight Fusic, Gerhana Ska Cinta dan Grey Sky Morning pula akan turut beraksi menambahkan lagi hype pada konsert itu nanti.

Selain itu, pemuzik dari Indonesia, Hyndia akan menjadi wakil dari republik tersebut manakala Alyph & Akeem Jahat, dua nama kelahiran Singapura yang tidak asing lagi dengan genre hip hop bakal beraksi juga dalam konsert Hausboom Music 2023.

Tidak dilupakan juga yang akan turut serta dalam konsert Hausboom Music 2023 adalah Naratu, No Good, Orkes Hizaidin, Chronicalz, Shila Amzah, Forceparkbois, Luqman Podolski dan GARD WUZGUT akan menarik penonton tersendiri.


Menurut kata Ketua Pegawai Eksekutif Hausboom, Azri Zahier Azmi yang juga dikenali sebagai "John Lemon", Hausboom ingin terus meraikan dan menyokong pemuzik tempatan untuk terus kekal aktif serta memberi peminat hiburan yang berkualiti, terbaik serta berbaloi buat semua dengan kehadiran penghibur daripada Indonesia dan Singapura.

Penganjuran konsert kali ketiga ini merupakan kolaborasi bersama AFFIN dan konsert Hausboom Music 2023 ini juga bakal melakar sejarah sebagai konsert lokal terbesar yang pernah dianjurkan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC - Sepang International Circuit).

Apa yang lebih menarik lagi mengenai penganjuran konsert kali ini, Hausboom telah mengeluarkan 200,000 botol Hausboom Sparkling Juice dengan label edisi terhad versi konsert Hausboom Music 2023, Bukan itu sahaja, setiap label edisi terhad itu mempunyai kod QR di mana setiap pembeli yang mengimbas kod tersebut berpeluang memenangi hadiah seperti:

  • Tiket-tiket VVIP yang berjumlah RM1,200 untuk sekeping tiket
  • Barangan rasmi konsert Hausboom Music 2023
  • Potongan harga bagi pembelian tiket "General" konsert Hausboom Music 2023
 

Hausboom Sparkling Juice dengan edisi terhad versi konsert Hausboom Music 2023 boleh didapati di kedai rangkaian terkemuka iaitu 7 Eleven Malaysia, stesen minyak di seluruh Malaysia - Petronas, Shell, Petron dan pasaraya besar seperti Aeon, Aeon Big dan kedai-kedai lain yang turut serta,


Kepada korang yang dah tak sabar dan ingin mendapatkan tiket-tiket ke konsert Hausboom Music 2023, boleh lakukan pembelian melalui 2 cara ini:
  1. Ticket2u.com
  2. Laman web rasmi Hausboom bagi pembelian tiket secara ansuran
HARGA TIKET

RM199 (General), RM359 (Rockzone) dan RM1,200 (VVIP)


Atau korang yang nak tahu lebih informasi mengenai konsert Hausboom Music 2023, boleh menerusi tandapagar #hausboommusic23

Khamis, 9 Mac 2023

Datuk M.Nasir dan Datuk Hattan, Dua Lagenda Hebat Akan Menggegarkan Borneo di Konsert 'Sifu & Aku 38'

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera...

LeYa pasti korang kenal dengan dua figura hebat ini. LeYa nak perkenalkan dua figura hebat ini, Datuk M.Nasir dan Datuk Hattan yang akan berkongsi pentas untuk melaksanakan Konsert 'Sifu & Aku 38' buat peminatnya di Sarawak dan Sabah.


Bukan sekadar konsert, dua pesohor, dua seniman dan dua sinergi terkenal di Nusantara ini akan beraksi di dua buah lokasi yang belum pernah buat mereka sepanggung. Buat julung kalinya, mereka akan berkongsi pentas di dua lokasi berbeza dengan tarikh berbeza yang akan menghiburkan para peminatnya di luar Semenanjung. Berikut merupakan butiran Konsert 'Sifu & Aku 38':
  • Borneo Convention Centre Kuching, Sarawak (BCKK) - 25 Mei 2023
  • International Convention Centre, Sabah - 1 Jun 2023

Sang Sifu (M.Nasir) dan si pemilik Aku (Hattan) sudah pun bersedia dengan peluru-peluru terhebat yang dimiliki sepanjang tiga dekad dalam karier seninya. 

Dengan hanya memutar memori sekadar menyebut beberapa lagu mereka, peminat pasti sudah 'terperangkap' dengan jerangkap sakti sang Sifu. Antara lagunya adalah Sahabat Gua, Mentera Semerah Padi, Hati Emas, Bonda, Tanya Sama Itu Hud Hud dan banyak lagi. Tidak kurang juga hebatnya, Hattan yang menyambung kesaktian dengan karya-karya sentuhan sang Sifu dan miliknya seperti Memburu Rindu, Mahligai Syahdu, Rendang Tak Berbuah dan banyak lagi.

 

Bagi memastikan kelancaran konsert yang bakal berlangsung itu, banyak perkara perlu diperhalusi dan terlaksana dengan kemas oleh pihak penganjur mahupun produksi. Hal ini kerana kedua-dua figura ini mempunyai aura yang sangat kuar dan mampu membuatkan para penonton yang hadir kelak untuk turut sama merasai aura yang sama. 

Justeru, penganjur berjanji apa yang disajikan menerusi Konsert 'Sifu & Aku 38' berbaloi dengan penantian peminat dan aura yang dipancarkan oleh Datuk M.Nasir dan Datuk Hattan sendiri.


Menurut Datuk M.Nasir sendiri, persetujuan yang diberi mempengaruhi betapa seriusnya projek ini akan dilaksanakan, sementelah ia memakai kata Konsert 'Sifu & Aku 38'.

Sementara Datuk Hattan pula melihat penganjuran Konsert 'Sifu & Aku 38' sebagai sebuah epik dalam dunia seni bagi kariernya dan figura yang dihormati.

Jelas telah membuktikan walaupun banyak mana lambakan penyanyi luar, penghibur tempatan tetap mempunyai ruang eksklusif yang tidak pernah terbuang dan dilupakan peminat.

 

Untuk menyaksikan Konsert 'Sifu & Aku 38', tiket-tiket dengan harga serendah RM188 (Cat 5), RM288 (Cat 4), RM388 (Cat 3), RM488 (Cat 2) dan RM1,000 (Cat 1) boleh didapati menerusi laman web www.myticket.asia atau hubungi talian +603 8605 0195 atau dapatkan maklumat di Hotline +6012 649 7240.


Apa tunggu lagi?

Jom beli sekarang kerana konsert sehebat ini hanya berlangsung satu malam!